Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS, UiTM perkukuh kerjasama tingkat kemahiran petugas

SHAH ALAM, 27 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan konvokesyen bagi 17 petugasnya yang tamat pengajian dalam Diploma Eksekutif Pengurusan Fasiliti hari ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS Suhaimi Kasdon berkata majlis konvokesyen tersebut adalah bukti kejayaan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKNS melalui anak syarikatnya, Akademi PKNS dengan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM pada 2 Nov 2019.

“Melalui program ini, mereka bukan sahaja memperoleh sijil diploma tetapi meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengurusan bangunan yang sudah pasti akan menjadikan mereka petugas yang lebih cekap dan berkemahiran.

“Kita melihat kejayaan program in akan menjadi satu titik tolak untuk ruang kerjasama yang lebih luas pada masa akan datang seperti mendapatkan konsultasi secara terus daripada pakar akademik di UiTM,” katanya dalam ucapan perasmian istiadat khas di Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Dekan FSPU Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata kesemua 17 peserta memberikan sepenuh komitmen sejak hari pertama program berjalan dan hari ini, mereka dapat menuai hasil kerja keras mereka selama dua tahun.

“Kami percaya kerjasama yang dimeterai pada 2019 telah memberikan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya yang turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut.

Bagi pelajar terbaik Zairulanuar Mohd Yusof, 38, yang berkongsi kegembiraan bersama isteri pada majlis konvokesyen tersebut berkata jalinan kerjasama PKNS-UiTM membolehkan beliau berpeluang menyambung pelajaran.

“Fasa permulaan menyambung pelajaran agak sukar, tetapi saya bertungkus lumus dan pada masa yang sama PKNS turut memberikan pelepasan waktu sewajarnya sehingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

Akademi PKNS, unit PKNS menjalinkan kerjasama strategik bersama FSPU, UiTM sewaktu pelaksanaan Program Business Symposium: ‘Learning The Challenge Of Change In The Construction Industry & IR 4.0’ di Bangunan Ibu Pejabat PKNS pada 2019.

Diploma Eksekutif Pengurusan Fasiliti dibangunkan bagi tujuan meningkatkan kompetensi dan kecekapan anggota Bahagian Urus Harta PKNS yang terlibat dengan pengurusan bangunan dan penyelengaraan kemudahan-kemudahan PKNS.

-BERNAMA