SHAH ALAM, 5 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka bilangan asnaf fakir dan miskin meningkat kepada 72,000 orang pada tahun ini.
Agensi itu menerusi Facebook memberitahu peningkatan 7,000 orang daripada jumlah direkodkan tahun lalu itu susulan penularan pandemik Covid-19 serta penamatan moratorium.
Justeru, LZS menyeru orang ramai untuk bersama membantu dan menyumbang dengan membuat bayaran secara dalam talian bagi memudahkan urusan.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata tahun lalu seramai 65,000 asnaf fakir dan miskin direkodkan dan menjangkakan peningkatan pada tahun ini.
Pada Julai tahun lalu LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan bagi memanfaatkan hampir 60,000 penerima serta lebih 400 institusi.