Categories
SELANGOR

Penduduk Beri Kerjasama Bersihkan Sistem Perparitan PJS4/10

PETALING JAYA 12 APRIL : Pemilik 25 buah rumah di Jalan PJS 4/10 bersetuju untuk mengosongkan bahagian rumah yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan berhampiran sistem perparitan bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan bagi mengelakkan banjir besar pada masa akan datang di samping menaiktaraf bahagian tepi perparitan sepanjang 528 meter itu  menjadi laluan penjalan kaki dan basikal.

Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata, penghuni rumah terbabit bersetuju dengan cadangan berkenaan dalam satu perbincangan yang diadakan penduduk bulan lalu.

Oleh itu, satu notis dikeluarkan dan penduduk mesti mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh tiga bulan bermula April hingga akhir Jun depan.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk yang terlibat menyatakan perasaan takut dan bimbang sekiranya banjir besar berlaku. Kawasan berkenaan agak padat serta sistem saliran yang tidak berapa baik.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif itu demi keselamatan penduduk setempat.

“Tujuan kita lakukan ini bukan untuk menjadikan kawasan rekreasi seperti yang didakwa sesetengah pihak, tetapi kita hanya mahu membersihkan demi keselamatan penduduk di masa akan datang,” katanya selepas membuat lawatan di kawasan itu bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Selangor, Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Kawalan Bangunan.

Tambah Haniza, sistem perparitan utama yang bermula di Jalan PJS 4/4 mengalir terus ke Sungai Klang itu dibersihkan kali terakhir pada tahun 2005.

“Selepas tahun itu, penduduk di kedua-dua bahagian membina garaj dan membina rumah di atas tanah rizab itu. Ini menyebabkan kesukaran Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan negeri akan menanda kawasan bagi membezakan kawasan perumahan dan tanah rizab,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.