Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 8 FEB: Satu usaha bersepadu perlu digerakkan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang celik dengan isu pengurusan sampah bagi mengatasi masalah berulang.
Penduduk Petaling Jaya, Zaim Zainuddin, 41, berkata, pengetahuan berkenaan program kitar semula juga penting untuk didedahkan secara berterusan kepada masyarakat.
“Bila rakyat ada ilmu, maka lebih mudah untuk mereka mempraktikkan dalam kehidupan seharian seterusnya menepati hasrat mewujudkan persekitaran bersih dan sihat,” katanya kepada Selangor Kini.
Turut berkongsi pendapat sama, Nazmi Ghazi, 42, yang mengakui amalan menjaga kebersihan masih gagal dibudayakan dalam kalangan masyarakat negara ini.
Katanya, usaha mendidik mungkin boleh dilaksanakan menerusi penguatkuasaan yang lebih tegas dalam isu kebersihan termasuk pengurusan sampah.
Sementara itu, Din Ishak, 48, dari Shah Alam berharap sistem baru dilancarkan Kerajaan Negeri nanti bersifat lebih proaktif dan berkesan untuk dipraktikkan oleh rakyat Selangor secara khususnya.
“Penting juga dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam,” katanya.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah mengumumkan Kerajaan Negeri kini sedang merangka sistem dan mekanisme baru pengurusan sampah di Selangor.
-NFN-