Categories
KENYATAAN MEDIA

1 lawan 1 : KEADILAN Selangor sokong pendirian PAS

OLEH SHUHAIMI SHAFIEI

KEADILAN Selangor sangat mengalu-alukan dan menyokong pendirian PAS yang telah menzahirkan persetujuan dengan konsep satu lawan satu bagi berdepan UMNO / BN dalam PRU 14 seperti yang dinyatakan Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin baru-baru ini.

Strategi satu lawan satu adalah pendirian KEADILAN sejak awal lagi bagi memastikan kemaraan Kerajaan Rakyat ke Putrajaya dapat direalisasikan. Ini dapat dilihat daripada kajian Institut Darul Ehsan IDE yang menyatakan bahawa pertembungan satu lawan satu akan lebih menguntungkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Menurut kajian, Pakatan mempunyai peluang untuk menang sebanyak 59% jika satu lawan satu disepakati dalam PRU 14 bagi menentang BN berbanding peluang BN hanya sekadar 29% untuk menang khususnya di Selangor.

Pentadbiran ‘smartstate & good governance’ di Selangor sebagai kompas pentadbiran yang berhemah, wajar diteruskan dengan kemenangan ke atas BN melalui strategi satu lawan satu.

Kerajaan Rakyat ini harus dipertahankan dengan muafakat yang jitu dan menyeluruh pada semua peringkat termasuk di Kelantan dan Pulau Pinang.

Keterbukaan PAS untuk merealisasikan satu lawan satu adalah sangat wajar untuk disambut dengan tangan terbuka oleh KEADILAN dan komponen parti-parti pembangkang yang lain selaras dengan pendirian Pakatan Harapan yang turut mencadangkan satu lawan satu sebagai konsep yang perlu disepakati oleh semua parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO / BN dalam PRU 14 akan datang.

KEADILAN Selangor berpandangan bahawa hasrat rakyat untuk memilih dan membentuk Kerajaan baru perlu direalisasikan dengan permuafakatan bijak dalam kalangan pakatan parti KEADILAN, PAS,DAP, Bersatu, Amanah serta parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Kesepakatan inilah sebenarnya satu senjata dan kekuatan yang sangat ditakuti oleh UMNO / BN.

Shuhaimi Shafiei adalah Ketua Penerangan Keadilan Selangor / ADUN Sri Muda