Categories
SELANGOR

Bekalan air di kawasan terjejas pulih sepenuhnya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Bekalan air yang terjejas di beberapa kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur pulih sepenuhnya, pada jam 10 pagi tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, kawasan itu sebelum ini terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik di Rumah Pam Kolam Bukit Tadun.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran menghadapi gangguan bekalan air sepanjang insiden di luar jangkaan ini.

“Pengguna dinasihati untuk sentiasa menggunakan air secara berhemat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Air Selangor memaklumkan terdapat gangguan bekalan air tidak berjadual di 11 kawasan daerah Hulu Langat ekoran paip pecah bersaiz 250mm AC, hari ini.

Walaubagaimanapun, bekalan akan dibuka sejurus kerja pembaikan yang dijangka siap, pada jam 6 petang dengan pemulihan keseluruhan kawasan adalah secara berperingkat.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan air melalui www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar mySyabas.

-AA-

Categories
NASIONAL

BERSIH Kutuk Keras BN Pancing Undi Guna Dana Awam

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 23 JULAI : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya usaha memancing undi oleh Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan dana awam di Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

BN didakwa menawarkan peruntukan sejumlah RM337 juta menjelang hari ke-sepuluh kempen.

Dengan pengundi berdaftar seramai 17,679 orang, ini bermakna setiap undi bernilai lebih RM19, 000; sekiranya setiap janji yang ditaburkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu dipenuhi.

“Bersih juga tidak menolak kemungkinan berlaku lonjakan jumlah ini dalam tempoh tiga hari baki kempen sebelum hari membuang undi pada 24 Julai ini.

“Amalan memancing undi dengan menyalahgunakan dana awam, bukan sahaja melanggar etika pilihan raya, tetapi turut menunjukkan perancangan pembangunan secara ad-hoc didorong oleh kepentingan politik semata-mata,” tegas Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, BERSIH 2.0 menyeru para pengundi Kuala Besut untuk menolak amalan rasuah dan usaha kotor memancing undi memandangkan rakyat sebenarnya berhak untuk menerima dana pembangunan secara sihat.

“Bagi menjamin perjalanan pilihan raya yang bersih, kami juga menggesa semua pengundi Kuala Besut samada yang tinggal di sana atau yang bekerja di luar untuk keluar mengundi bagi menghalang percubaan penyamaran di kalangan pengundi hantu mahupun cubaan pihak lain untuk mengundi bagi pihak mereka,” katanya lagi.

Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang didakwa terlibat dalam kempen kali ini ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, Kerajaan Negeri Terengganu serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sepanjang tempoh kempen, sebanyak sembilan projek dijanjikan BN, antaranya projek mendalamkan Sungai Besut yang bernilai RM 250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM 10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM 28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM 12 juta.

Terbaru, kerajaan turut mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM 35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.