Categories
NASIONAL

Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ dasar baharu negara

KOTA BHARU, 26 APRIL: Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ akan menjadi dasar baharu negara dalam usaha kerajaan membentuk citra baharu Malaysia pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, kertas cadangan berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), pada 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia dijangka akan menjadi antara agenda untuk diluluskan pada mesyuarat kabinet bulan depan dan sebaik diluluskan, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baharu yang perlu disokong semua pihak kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan.

“Walaupun cadangan ini belum dibawa ke Kabinet, namun saya sudah menjelajah lima kementerian sebelum ini untuk menjelaskan berkenaan gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri dan saya akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (dalam masa terdekat) untuk memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap setiap kementerian dapat membawa konsep berkenaan dalam setiap aktviti yang dianjurkan mereka untuk mencapai sasaran negara rahmat.

Mengulas berkenaan Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ itu, Mujahid berkata pihaknya akan mewujudkan satu landasan bagi membolehkan mahasiswa dari Universiti Awam (UA) untuk berkongsi pandangan mereka berhubung perkara semasa.

“Landasan ini akan dibentuk mewakili setiap kampus masing-masing dan mungkin sekali atau dua kali sebulan kita akan berhimpun menerusi sesi perbincangan supaya dapat maklum balas yang bernas,” katanya.

-BERNAMA

PAS : Gaji menteri potong 20% dan pecat menteri kontroversi

PAS cadang gaji menteri dan timbalan menteri dipotong 20% untuk penjimatan wang kerajaan.

Categories
NASIONAL

Idris Jala perlu dedah struktur bayaran Pengarah PEMANDU

ong-jala
KUALA LUMPUR 31 OKT – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemandu (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala diminta mendedahkan struktur bayaran pengarah agensi berkenaan atas faktor ketelusan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, menegaskan pendedahan itu perlu dibuat memandangkan perbelanjaan besar yang berlaku di Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM16.45 bilion.
“Saya turut menuntut Idris mendedahkan sama ada terdapat pengarah di PEMANDU menjadi pengarah di syarikat berkenaan kerajaan, syarikat tersenarai awam atau agensi kerajaan.
“Rakyat mahu tahu sama ada akan timbulnya konflik kepentingan berpunca daripada memegang jawatan yang banyak dalam sektor awam juga swasta,” katanya di Lobi Parlimen.
Kian Ming turut memetik kenyataan seorang daripada pengarah di PEMANDU, Goh Wei Liang, dalam portal Malaysiakini yang menyatakan pendapatan di agensi berkenaan adalah kecil.
Laporan terbabit turut menyatakan pendapatan pengarah di PEMANDU di bawah kadar semasa, berbanding penjawat awam lain dengan gaji bulanan RM40,000 dan pendapatan bersih sebanyak RM30,572.92 selepas ditolak cukai berbanding pegawai Jusa A yang menerima gaji bersih RM29,631.53.
Daripada jumlah itu, Wei Liang memperincikan sejumlah RM17,331.46 adalah gaji pokok dengan cukai dikenakan sebanyak RM3,533.26, termasuk beberapa elaun antaranya Elaun Hiburan berjumlah (RM4,000), Elaun Perumahan (RM2,000), Elaun Tetap (RM2500), Elaun Mesyuarat bagi ahli Lembaga Pengarah (RM2,500) dan Elaun Tetap sebagai Lembaga Pengarah (RM2,916.67).
Sehubungan itu, Kian Ming menegaskan, Idris perlu memberikan penjelasan berhubung perkara itu serta menjawab dakwaan yang didedahkan Wei Liang. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Iktiraf jawatan Ketua Pembangkang setaraf menteri

nga

KUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengiktiraf jawatan dan peranan Ketua Pembangkang di Parlimen dengan menawarkan status bertaraf Menteri Kabinet ketika membentangkan Bajet 2014, pada 25 Oktober ini.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata, selain pengiktirafan rasmi, jumlah emolumen dan elaun yang dinikmati Menteri Kabinet juga perlu diberikan secara saksama kepada Ketua Pembangkang.

Katanya, kakitangan yang mencukupi juga perlu disediakan di pejabat Ketua Pembangkang bagi membolehkan tugas dapat dilaksanakan ke atas Kerajaan Pusat secara efektif.

“Layanan kepada institusi Ketua Pembangkang amat ketinggalan berbanding negara lain yang mengamalkan sistem ?Westminister? iaitu demokrasi berparlimen yang sama. Bukan sahaja tiada sebarang peruntukan, pejabat Ketua Pembangkang juga hanya mempunyai tiga orang pembantu.

?Ini menyukarkan beliau menjalankan pemeriksaan ke atas kerajaan kerana jika dibandingkan dengan Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai lebih 90,000 pekerja dengan jumlah bajet pengurusan melebihi RM4.2 bilion setahun,? katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, institusi Ketua Pembangkang harus diberi pengiktirafan rasmi, emolumen dan elaun setaraf menteri seperti yang diamalkan di Britain membabitkan perbezaan empat peratus, manakala Australia pula memberikan peruntukan tahunan dan pasukan petugas seramai 39 orang, selain status Menteri serta kakitangan tetap.

“Kerajaan Pusat perlu mengamalkan sistem demokrasi yang adil dengan mencontohi Selangor dan Pulau Pinang yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dengan baik.

“Kerajaan Selangor memutuskan untuk memberi elaun tetap, pemandu, setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan lain-lain elaun berjumlah RM8,620 sebulan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri daripada Barisan Nasional (BN). Pulau Pinang pula memberikan 10 Adun pembangkang BN peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun bermula tahun depan,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN tidak profesional tangani isu ijazah palsu

ijazah palsuKUALA LUMPUR 2 OKT: Kerajaan Pusat tidak bersikap profesional dalam menangani isu penggunaan ijazah palsu dari luar negara yang dimiliki sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming kesal apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menjawab soalan itu secara terperinci meskipun pelbagai bukti dikemuka.

“Beliau (Shahidan) tidak jawab soalan berhubung penggunaan ijazah palsu di kalangan menteri, sebaliknya hanya merujuk kepada penjawat awam sahaja.

“Beliau cuma kata kerajaan hanya bertindak apabila ada individu yang menggunakannya untuk mendapatkan kerja dalam perkhidmatan awam.

“Jawapan itu tidak profesional,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ong sebelum ini mendedahkan dua ahli parlimen dari BN yang mendapatkan kelulusan akademik mereka daripada institusi yang diragui.

Categories
NASIONAL

BERSIH Kutuk Keras BN Pancing Undi Guna Dana Awam

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 23 JULAI : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya usaha memancing undi oleh Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan dana awam di Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

BN didakwa menawarkan peruntukan sejumlah RM337 juta menjelang hari ke-sepuluh kempen.

Dengan pengundi berdaftar seramai 17,679 orang, ini bermakna setiap undi bernilai lebih RM19, 000; sekiranya setiap janji yang ditaburkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu dipenuhi.

“Bersih juga tidak menolak kemungkinan berlaku lonjakan jumlah ini dalam tempoh tiga hari baki kempen sebelum hari membuang undi pada 24 Julai ini.

“Amalan memancing undi dengan menyalahgunakan dana awam, bukan sahaja melanggar etika pilihan raya, tetapi turut menunjukkan perancangan pembangunan secara ad-hoc didorong oleh kepentingan politik semata-mata,” tegas Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, BERSIH 2.0 menyeru para pengundi Kuala Besut untuk menolak amalan rasuah dan usaha kotor memancing undi memandangkan rakyat sebenarnya berhak untuk menerima dana pembangunan secara sihat.

“Bagi menjamin perjalanan pilihan raya yang bersih, kami juga menggesa semua pengundi Kuala Besut samada yang tinggal di sana atau yang bekerja di luar untuk keluar mengundi bagi menghalang percubaan penyamaran di kalangan pengundi hantu mahupun cubaan pihak lain untuk mengundi bagi pihak mereka,” katanya lagi.

Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang didakwa terlibat dalam kempen kali ini ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, Kerajaan Negeri Terengganu serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sepanjang tempoh kempen, sebanyak sembilan projek dijanjikan BN, antaranya projek mendalamkan Sungai Besut yang bernilai RM 250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM 10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM 28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM 12 juta.

Terbaru, kerajaan turut mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM 35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.