Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Tanaman padi di Kuala Selangor dibenar, elak bekalan kurang

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Aktiviti penanaman padi di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan bagi mengelak masalah kekurangan bekalan beras dalam negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun petani yang mengusahakan sawah padi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengelak jangkitan Covid-19.

“Dengan kebenaran ini, kelangsungan rantaian bekalan makanan terutamanya padi tidak terjejas. Kawasan penanaman padi yang terlibat PKPD seperti Ijok di Kuala Selangor boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula hari ini hingga 16 Julai ekoran trend jangkitan Covid-19 yang tinggi di negeri dan wilayah persekutuan itu.

Turut diumumkan adalah kebenaran operasi bagi firma guaman untuk memudahkan urusan dokumentasi memandangkan mahkamah akan mula dibuka mulai Isnin ini.

“Ini kerana banyak urusan dokumentasi melibatkan jabatan kerajaan termasuk pejabat tanah, institusi perbankan dan prosiding mahkamah serta lain-lain perlu dilaksanakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata SOP terperinci akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam masa terdekat.

Mengenai rungutan orang ramai berhubung penutupan masjid ketika ini, Ismail Sabri berkata SOP pembukaan masjid ditentukan oleh kerajaan negeri dan bukannya Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP masjid meliputi kebenaran jemaah serta aktiviti tidak dikawal oleh MKN di peringkat persekutuan kerana aktiviti berkaitan agama adalah di bawah kerajaan negeri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan bantu tingkatkan hasil penanam padi

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 11 JUN: Kerajaan sedang memikirkan langkah terbaik untuk membantu meningkatkan hasil pendapatan penanam padi termasuk mempertimbangan prospek penanaman lain yang sesuai.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, banyak penanam padi hanya memperoleh hasil sekitar empat tan padi di atas tanah seluas satu ekar sedangkan mampu mengeluarkan lapan tan jika dilakukan mengikut kaedah yang betul.

Katanya, masalah ini penting untuk diselesaikan kerana penanam padi kini berdepan risiko kemiskinan susulan pendapatan hasil yang rendah.

“Kita perlu lihat perkara ini secara menyeluruh dan dalam masa sama kita perlu jaga keselamatan makanan.

“Keperluan sekarang adalah melihat kepada keselamatan makanan dan petani berdepan kemiskinan.

“Kita perlu menyelesaikan perkara ini dan mengenal pasti tempat (sesuai) untuk pembangunan hasil pendapatan mereka serta pada masa sama tidak membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pejabat Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-3 Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Katanya, langkah lain yang akan turut ditumpukan termasuk teknik penanaman lebih efisyen supaya dapat meningkatkan hasil pengeluaran berbanding sebelum ini.

“Di Kedah, padi boleh ditanam dua kali setahun berbanding sekali sahaja di kawasan lain. Di Kedah misalnya ada tanaman lain seperti harum manis yang membantu meningkatkan pendapatan.

“Jika kita mampu menjana lebih pendapatan menerusi tanaman lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka (petani) perlu memperuntukkan sedikit tanah mereka,” katanya

Dr Mahathir berkata, kerajaan memperuntukkan subsidi berjumlah RM1.8 bilion kepada 200,000 penanam padi setahun.

Dalam masa sama, negera turut mengimport makanan berjumlah USD60 bilion setahun dan jumlah itu perlu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga USD30 bilion tanpa menjejaskan keselamatan makanan negara.

FOTO: FIKRI YUSOF ( SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Cuaca panas: Aktiviti penanaman padi tidak terjejas

OLEH : HAFIZAN TAIB

TANJONG KARANG, 21 MAC: Kerajaan Negeri menjalankan pemantauan rapi berkaitan isu bekalan air untuk pertanian berikutan keadaan cuaca panas dialami ketika ini.

Bagaimanapun, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata tiada masalah kekurangan air dihadapi kerana bekalan air di Selangor mencukupi.

PERTANIAN“Kita memang menjalankan pemantauan mengenai situasi berlaku kini dan melihat sejauh mana cuaca panas ini memberikan kesan kepada petani.

“Setakat ini belum lagi dan kita hanya memberikan bantuan input pertanian kerana masalah air belum lagi mendesak,” katanya kepada media selepas Program Peningkatan Hasil Padi dan Penyerahan Bantuan Baja Mikrob di sini, semalam.

Seramai 800 petani menerima bantuan baja mikrob dalam majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun keadaan dihadapi kini diberi perhatian serius kerana sedikit sebanyak mungkin memberi kesan.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Pertanian Negeri perlu memainkan peranan berkesan menerusi pengagihan air secara terbaik.

“Seperti mana kawasan di sini, sungai berhampiran menyalurkan air ialah Sungai Bernam maka kita ingin melihat kebarangkalian untuk membuat program atau projek sebagaimana kita lakukan di Sungai Selangor dengan Hybrid Off River Augmentation System (HORAS).

“Ia konsep kolam takungan dari sungai pada musim tengkujuh untuk digunakan kembali pada musim kering dan dikira wajar untuk kita mengenal pasti fasa dan juga tanah yang sesuai untuk kita bangunkan kolam sebegini,” katanya.

Katanya, konsep itu boleh dilaksanakan untuk pertanian dan ia dikaji kerana sebelum ini konsep terbabit tidak dijalankan bagi tujuan berkenaan.

Namun, beliau menjelaskan keadaan panas berlaku kini tidak menjejaskan penanaman padi kerana kepanasan juga diperlukan untuk kaedah penanaman.

“Ia tidak memberi kesan penurunan berbanding dengan jerebu dialami sebelum ini.

“Ini kerana padi memerlukan air untuk menanam tetapi cuaca panas juga baik kerana ia perlukan cahaya matahari,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

BERSIH Kutuk Keras BN Pancing Undi Guna Dana Awam

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 23 JULAI : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya usaha memancing undi oleh Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan dana awam di Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

BN didakwa menawarkan peruntukan sejumlah RM337 juta menjelang hari ke-sepuluh kempen.

Dengan pengundi berdaftar seramai 17,679 orang, ini bermakna setiap undi bernilai lebih RM19, 000; sekiranya setiap janji yang ditaburkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu dipenuhi.

“Bersih juga tidak menolak kemungkinan berlaku lonjakan jumlah ini dalam tempoh tiga hari baki kempen sebelum hari membuang undi pada 24 Julai ini.

“Amalan memancing undi dengan menyalahgunakan dana awam, bukan sahaja melanggar etika pilihan raya, tetapi turut menunjukkan perancangan pembangunan secara ad-hoc didorong oleh kepentingan politik semata-mata,” tegas Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, BERSIH 2.0 menyeru para pengundi Kuala Besut untuk menolak amalan rasuah dan usaha kotor memancing undi memandangkan rakyat sebenarnya berhak untuk menerima dana pembangunan secara sihat.

“Bagi menjamin perjalanan pilihan raya yang bersih, kami juga menggesa semua pengundi Kuala Besut samada yang tinggal di sana atau yang bekerja di luar untuk keluar mengundi bagi menghalang percubaan penyamaran di kalangan pengundi hantu mahupun cubaan pihak lain untuk mengundi bagi pihak mereka,” katanya lagi.

Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang didakwa terlibat dalam kempen kali ini ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, Kerajaan Negeri Terengganu serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sepanjang tempoh kempen, sebanyak sembilan projek dijanjikan BN, antaranya projek mendalamkan Sungai Besut yang bernilai RM 250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM 10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM 28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM 12 juta.

Terbaru, kerajaan turut mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM 35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.