Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB Nafi Dakwaan MCA Berhubung Status Tanah Bistari Jaya

SHAH ALAM 7 OGOS : Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menafikan dakwaan MCA berhubung pembelian tanah di Bistari Jaya yang dikatakan mempunyai komplikasi kerana 80 peratus ditenggelami air.

Ketua Pengarah Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar berkata plot tanah yang berkeluasan 1,312.89 ekar itu hanya meliputi 32 peratus air manakala selebihnya adalah tanah dan hutan.

Katanya, kedalaman air itu juga hanya mencecah dua hingga 10 meter.

“Saya berani mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah untuk membeli tanah itu bagi tujuan pembangunan berdasarkan pengalaman saya sebagai jurutera dalam industri kapal korek selama 15 tahun.

“Kami yakin pelan pembangunan ‘Bistari Lakeside’ yang dirancangkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.9 bilion mampu menarik pembeli,” katanya dalam sesi taklimat mengenai isu air dan isu hutang Talam di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa jumlah keseluruhan tanah berkenaan merupakan lombong yang dipenuhi dengan air.

Katanya, tanah tersebut langsung tidak memberi pulangan menguntungkan sebaliknya lebih banyak kerugian kepada kerajaan negeri kerana kawasan tanah tersebut langsung tidak ada pembangunan atau infrastruktur asas.