Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,128 pelajar universiti dihantar pulang mulai malam ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Seramai 1,128 pelajar daripada sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan dihantar pulang ke kampung masing-masing mulai malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini manakala 265 pelajar dari zon utara ke zon tengah pada malam 28 April.

“Untuk itu, sebanyak 49 bas disediakan bagi membawa pulang mereka ke 17 destinasi.

“Bas-bas dan semua barang pelajar akan dinyahkuman tiga jam sebelum bertolak,” katanya ketika sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail turut mengingatkan, hanya seorang ahli keluarga dibenarkan mengambil pelajar yang tiba di lokasi hentian iaitu balai polis atau pejabat daerah.

“Bagi mereka yang tiada kenderaan, petugas barisan hadapan akan menghantar pelajar terus ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah akan bermula 1 Mei 2020. Bagi pelajar yang berada di Terengganu dan Kelantan, mereka akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Pelajar di zon tengah termasuk Pahang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Zon utara pula diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan zon selatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: 1,003 permohonan nikah ditunda dalam tempoh PKP

SHAH ALAM, 29 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan sebanyak 1,003 permohonan pernikahan di negeri itu terpaksa ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit korporat Jais berkata semua bakal pengantin memahami situasi itu dan memberi kerjasama baik walaupun mereka terpaksa menunda pernikahan atas penularan Covid-19.

“Kita berharap pasangan bakal pengantin termasuk keluarga bersabar dan terus beri kerjasama dalam sama-sama mematuhi undang-undang sepanjang tempoh PKP,” katanya kepada SelangorKini.

Baru-baru ini, Jais mengeluarkan arahan penangguhan segala urusan permohonan dan majlis akad nikah sehingga tempoh PKP tamat pada 14 April ini.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan keharusan melaksanakan akad nikah menerusi sidang video hanya sebagai panduan hukum namun tidak akan dilaksanakan buat masa ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB Nafi Dakwaan MCA Berhubung Status Tanah Bistari Jaya

SHAH ALAM 7 OGOS : Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menafikan dakwaan MCA berhubung pembelian tanah di Bistari Jaya yang dikatakan mempunyai komplikasi kerana 80 peratus ditenggelami air.

Ketua Pengarah Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar berkata plot tanah yang berkeluasan 1,312.89 ekar itu hanya meliputi 32 peratus air manakala selebihnya adalah tanah dan hutan.

Katanya, kedalaman air itu juga hanya mencecah dua hingga 10 meter.

“Saya berani mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah untuk membeli tanah itu bagi tujuan pembangunan berdasarkan pengalaman saya sebagai jurutera dalam industri kapal korek selama 15 tahun.

“Kami yakin pelan pembangunan ‘Bistari Lakeside’ yang dirancangkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.9 bilion mampu menarik pembeli,” katanya dalam sesi taklimat mengenai isu air dan isu hutang Talam di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa jumlah keseluruhan tanah berkenaan merupakan lombong yang dipenuhi dengan air.

Katanya, tanah tersebut langsung tidak memberi pulangan menguntungkan sebaliknya lebih banyak kerugian kepada kerajaan negeri kerana kawasan tanah tersebut langsung tidak ada pembangunan atau infrastruktur asas.