Categories
SELANGOR

Selangor Terus Kekang Ajaran Sesat

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan Negeri Selangor akan terus mengekang kegiatan ajaran sesat di negeri itu hingga ke akar umbi dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jais kini sedang giat mendapatkan bukti kukuh untuk bertindak ke atas kumpulan yang melanggar fatwa dan akidah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sepanjang tempoh 2011, sebanyak 11 kes ajaran sesat dilaporkan di Selangor dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana melanggar fatwa.

“Kita akan selesaikan masalah ini, Jais akan melakukan pemantauan ke atas kumpulan ini dan tindakan bakal diambil jika didapati mereka ini terpesong dari akidah,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rahman Palil(BN-Sementa) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) Selangor hari ini.

Abdul Khalid turut menegaskan isu itu perlu diselesaikan secara bersama dan bukan berdebat dengan cara menyalahkan pihak lain.

Pada 1 Nov lepas, Jais menyerbu sebuah perhimpunan yang dihadiri lebih 3,500 orang, dipercayai diadakan sempena ulang tahun ke-75, pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad.