Categories
NASIONAL

Mahfuz : Pengerusi baru BSN ‘kambing hitam’ kabinet

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 19 NOV : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menjelaskan pelantikan pengerusi baru Bank Simpanan Nasional (BSN), Tan Sri Abu Bakar Abdullah yangitamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pada Julai 2012.

Katanya, pelantikan itu menimbulkan persoalan berkenaan cerita sebenar di sebalik penamatan khidmat Abu Bakar susulan kegagalan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ketika itu.

mahfuz parlimen 01Mahfuz berkata, timbul tanda tanya atas pelantikan Abu Bakar sebagai Pengerusi BSN untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

“Saya ingat ada yang tidak kena dalam proses tindakan dan pelantikan beliau. Kalau beliau bersalah atas tatatertib, bagaimana kita boleh mengharapkannya jadi pengerusi bank.

“Sebab itu, kerajaan perlu perjelaskan atas kelayakan apa Abu Bakar dilantik menjadi Pengerusi BSN kerana membabitkan pengurusan wang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau menimbulkan persoalan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan kepadanya penamatan khidmat Abu Bakar dilakukan “demi kepentingan awam”.

Shahidan dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz menyatakan penamatan dibuat secara teratur dan mengikut prosedur dan peraturan di bawah Peraturan 49 Peraturan-peraturan Pegawai Perkhidmatan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahfuz berkata, jika diteliti peraturan dinyatakan Shahidan itu sebenarnya membabitkan kesalahan yang dianggap serius dan kebiasaannya mereka disabitkan tidak layak mendapat pencen.

Sebelum ini, Mahfuz pernah membangkitkan isu penamatan Abu Bakar yang disifatkan menjadi ‘kambing hitam’ dalam kegagalan pelaksanaan SBPA yang diputuskan kabinet.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS Minta Penjelasan PM Berhubung Penamatan Perkhidmatan Abu Bakar

 

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: PAS hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan berhubung penamatan perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai lalu.

Tuntutan penjelasan tersebut terkandung dalam surat kepada Najib yang diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di parlimen pagi tadi.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan melalui pemakluman sepucuk surat yang ditandatangi Najib sendiri.

“Kami difahamkan bahawa Tan Sri Abdu Bakar Abdullah berumur 57 tahun dan beliau baru sahaja menandatangani persetujuan melanjutkan tugas sehingga umur persaraan wajib 60 tahun mengikut polisi baru kerajaan.

“Bagaimanapun pun beliau dengan tiba-tiba telah ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tanpa sebarang alasan diberikan,” menurut petikan surat yang diedarkan dalam sidang media yang diadakan di perkarangan Dewan Rakyat petang tadi.

Mahfuz memberitahu penamatan perkhidmatan tersebut menyebabkan Abu Bakar tidak akan memperolehi manfaat sebagai pesara kerajaan lain seperti menerima pencen bulanan dan lain-lain.

Penamatan Abu Bakar dibuat mengikut Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dasar kepentingan awam serta gagal tapisan keselamatan.

“Persoalan yang timbul apakah maksud kepentingan awam serta keselamatan negara yang membolehkan peraturan tersebut digunakan dalam penamatan perkhidmatan Abu Bakar sebagai Ketua pengarah Perkhidmatan Awam? soal Mahfuz.

Sekiranya Abu Bakar benar-benar ada melakukan jenayah yang mengancam keselamatan dan kepentingan awam, maka satu tindakan tegas perlu diambil, bukan sekadar menamatkan perkhidmatan beliau, katanya.

Bagaimanapun, menurut Mahfuz, Najib harus mengkaji semula keputusan tersebut sekiranya penamatan perkhidmatan Abu Bakar dibuat bagi menutup kesalahan pihak lain dalam membuat keputusan kontroversi isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Dalam isu SPBA, bukan Abu Bakar sahaja yang membuat keputusan, tetapi diputuskan setelah dibuat kajian dan mesyuarat.

“Tak wajar kesalahan tersebut hanya dia seorang sahaja yang menanggungnya,” ujar Mahfuz lagi.

Selain itu, isu perlantikan Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebagai KSN yang baru menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang berkuatkuasa pada 24 Jun baru-baru ini turut mendapat perhatian PAS.

“Kenapa Datuk Seri Dr Ali Hamsa dilantik ke jawatan Ketua Setiausaha Negara dan bukannya Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

“Tan Sri Abu Bakar Abdullah merupakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebelum ditamatkan perkhidmatan beliau.

“Semasa menjawat jawatan tersebut beliau memegang Gred Turus 2 berbanding Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang hanya memegang Gred Turus 3.

“Adalah menjadi amalan biasa perkhidmatan awam negara, pegawai tertinggi kerajaan akan dinaikkan pangkat mereka mengikut gred dan juga kekananan jawatan,” menurut petikan surat itu lagi.