Categories
SELANGOR

Polis pergiat operasi banteras jualan minuman keras tanpa lesen

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Usaha berterusan pihak polis menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah ini terus dipergiatkan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, sebanyak tiga serbuan berjaya dibuat di beberapa lokasi berasingan sekitar kawasan Seksyen 27, yang membawa kepada penangkapan seramai empat pekerja premis.

Katanya, tangkapan itu melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara India.

“Dalam serbuan tersebut, kami merampas 222 tin dan 723 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai tiruan.

“Dua set pembesar suara dan mesin kira-kira serta wang tunai berjumlah RM30,000 melibatkan kegiatan itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana memiliki dan menjual minuman keras tanpa lesen sah yang membawa hukuman denda lebih daripada RM5,000

Sementara itu, Baharudin menggesa orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil ke atas premis yang disyaki melakukan urus niaga penjualan minuman keras.

Categories
SELANGOR

Shah Alam terima ketua polis daerah baharu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 FEB: Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Baharudin Mat Taib dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam yang baharu berkuatkuasa semalam.

Beliau menggantikan SAC Shafien Mamat yang bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Baharudin, 53, juga pernah menjawat sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Johor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau berharap ketua polis daerah baharu dapat beri yang terbaik untuk daerah Shah Alam.

“Selamat maju jaya kepada kedua-dua pegawai ini yang menerima kenaikan pangkat.

“Diharap semua pegawai dan anggota khususnya di kontinjen Selangor ini memberi kerjasama yang baik kepada ketua polis daerah baru ini untuk usaha mengekang jenayah dalam memberi persepsi terbaik kepada masyarakat,” katanya lapor Sinar Harian.