Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah jadi pusat sehenti, mudahkan pelbagai urusan pengguna

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menjadi pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk penggunanya.

Duta SELangkah, Adibah Noor berkata sebelum ini aplikasi dibangunkan Kerajaan Selangor tertumpu kepada khidmat saringan serta suntikan vaksinasi namun kini dipelbagaikan termasuk e-dompet bermula November.

“Memang dah banyak penggunaan e-dompet tetapi di SELangkah ia berbeza. Kita kena cuba untuk lihat perbezaan itu.

“Boleh juga digunakan di mana-mana termasuk premis kecil. Yang penting dapat kurangkan sentuhan atau penyebaran virus Covid-19,” katanya pada majlis pelancaran e-dompet di Sentul Depot semalam.

Justeru penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu menyeru orang ramai menggunakan kemudahan e-dompet bagi memudahkan urusan.

Bulan lalu, SELangkah turut menambah fungsi dengan menyediakan tempahan janji temu saringan Covid-19 serta pembelian kit kendiri.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Adibah Noor puji, galak orang ramai guna SELangkah

SHAH ALAM, 10 FEB: Selebriti Adibah Noor menggalakkan masyarakat muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang dibangunkan Kerajaan Selangor.

Pelantun lagu Terlalu Istimewa itu turut memuji ciri-ciri aplikasi tersebut yang boleh berfungsi ketika dan selepas pandemik Covid-19.

“Saya telah menggunakan SELangkah sejak awal ia diperkenalkan, sangat terbaik. Malah, saya amat teruja apabila aplikasi itu turut dilengkapi ciri baharu.

“Antara ciri baharu itu ialah imbasan dwisistem, daftar masuk menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS), sejarah imbasan dan paparan buletin,” katanya menerusi siaran langsung Pelancaran SELangkah secara maya di portal itu.

Beliau yang juga duta SELangkah berkata aplikasi itu juga bakal ditambah baik dengan beberapa ciri lain pada masa akan datang iaitu SELangkah PAY, SELangkah Wallet dan ‘Register and Sign up for Your Vaccine Pack’ (RSVP).

Aplikasi pengesanan kontak diperkenal 5 Mei tahun lalu itu bertujuan memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi SELangkah itu di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play Store.

Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki pejabat di Bangunan SUK Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SELangkah bakal tambah baik fungsi termasuk daftar vaksin

SHAH ALAM, 9 FEB: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bakal menawarkan fungsi komersial bagi membantu pengguna menyesuaikan diri ke arah pendigitalan.

Dutanya Adibah Noor menjelaskan sistem bersepadu yang mengumpulkan pelbagai perkhidmatan Kerajaan Selangor boleh didapati melalui SELangkah ID.

“Dengan fungsi digital ini, pengguna boleh membayar bil dan saman dengan mudah selain menerima bantuan kebajikan dari Kerajaan Negeri,” kata selebriti terkenal itu ketika menerangkan ciri aplikasi tersebut secara maya.

Jelasnya, sistem bersepadu berkenaan turut memperkenalkan pendaftaran vaksin melalui RSVP bagi memperkukuh penyampaian vaksin Covid-19 secara teratur.

Selain itu, menurut Adibah, sistem itu juga bakal dilengkapi SELangkah Biz yang membolehkan peniaga menerima bayaran dari mana-mana platform e-dompet.

Turut diperkenalkan, ciri dompet iaitu SELangkah Wallet dan SELangkah Pay untuk memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Adibah Noor galak orang awam guna SELangkah

SHAH ALAM, 10 OKT: Selebriti Adibah Noor mempromosi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor bagi menjejak kontak Covid-19.

Melalui Twitter, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu meminta orang ramai menggunakan sistem tersebut bagi melandaikan lengkungan kes pandemik.

“Adakah anda tahu? Sekiranya anda mengimbas #SELangkah ketika memasuki kafe kegemaran anda, anda menyumbang data kepada kerajaan Negeri untuk mengawal penyebaran #Covid19,” tulisnya malam tadi.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan Covid-19 di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Aplikasi tersebut kini ditambah baik dengan dua ciri khas bagi membolehkan orang ramai mengesan sama ada premis dikunjungi terdedah risiko jangkitan Covid-19.

Ciri pertama ialah ‘peta dan semakan premis’ dengan pengguna boleh mengetahui tarikh sanitasi premis bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Sementara ciri ‘semakan kendiri’ pula membolehkan pengunjung membuat semakan silang untuk mengetahui sama ada status premis dikunjungi berisiko dalam tempoh kuarantin.