Categories
NASIONAL

Amerika beri jaminan tumpu hak rawatan Anwar

Oleh : ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 FEB : Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia memberi jaminan akan memberi tumpuan terhadap kebajikan dan hak rawatan perubatan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dinyatakan Adun Hulu Klang, Shaari Sungip selepas hadir menyerahkan memorandum kepada kerajaan Amerika melalui wakil kedutaannya di Kuala Lumpur, Joseph Y. Yun.

SAARI SUNGIB“Kerajaan Amerika membuat sebaik yang mungkin menggunakan ruang diplomasi bagi melaksanakan hak asasi Anwar Ibrahim dari aspek kesihatan dan kemanusiaan.

“Ini satu perkara amat nyata dan jelas seperti dimaklumkan oleh wakil kedutaannya dalam pertemuan kita tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Kedutaan Amerika di sini.

Beliau menjelaskan kedutaan negara itu juga sebelum ini pernah membuat pertemuan diplomasi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Zahid Hamidi bagi membincangkan perkara terbabit

Bagaimanapun, tuntutan mengenai keperluan itu masih lagi dinafikan apabila kesukaran Anwar mendapatkan hak perubatan terhadap masalah bahu yang dialaminya.

Namun, Saari menegaskan penafian kerajaan Persekutuan terhadap keperluan rawatan perubatan Anwar hanya akan memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia.

“Apa yang sedang dihadapi oleh Anwar satu isu kemanusiaan sangat berprofil tinggi di dunia ini dan perlukan satu tindakan supaya hak rawatannya tidak dinafikan,” jelasnya.

-nR-

Categories
SELANGOR

PCA sama zalim dengan ISA

saari ISA

SHAH ALAM, 4 OKT: Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang diluluskan di Dewan Rakyat mudah disalahgunakan oleh kuasa eksekutif, tegas bekas tahanan ISA, Saari Sungib.

Beliau berkata, kuasa yang ada pada Lembaga Pencegahan Jenayah seperti diperuntukkan PCA, menyebabkan lembaga itu mempunyai kuasa mutlak tanpa boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, justeru PCA merupakan akta zalim yang sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 2011.

“Dalam akta ini sesuatu kes tidak dihadapkan di mahkamah tetapi dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah, apa yang berlaku di situ lembaga ini terdiri dari tiga orang, seorang bekas hakim dan dua lagi dilantik oleh menteri dan keputusan lembaga ini adalah muktamad.

“Orang yang dihadapkan tidak diwakili peguam, tidak boleh merujuk kes ke mahkamah, tidak ada semakan penghakiman, jadi macam ISA jugalah,” kata Saari yang juga ADUN Hulu Klang.

Menurut Saari lagi, PCA juga terdedah kepada risiko disalahgunakan pihak eksekutif untuk kepentingan politik apabila dua dari tiga panelis dalam Lembaga Pencegahan Jenayah dilantik menteri.

“Apabila ISA diluluskan pada 1 Ogos 1960, ia mempunyai mukadimah cukup panjang dan kabur dan Tun Razak kata untuk tahan komunis tetapi bila diluluskan ISA digunakan untuk ahli politik juga.

“Akta sekarang dipinda ini pun mukadimah yang sama, kabur, terlalu luas bukan sahaja merangkumi pejenayah tetapi semua aktiviti terancang termasuk demontrasi aman, politik boleh ditafsirkan sebagai aktiviti jenayah terancang.

“Katakanlah PAS di sesuatu kawasan merancang dengan baik untuk menang pilihan raya, itu pun boleh dianggap sebagai menggugat keselamatan negara kerana dengan kemenangan PAS didakwa kononnya menimbulkan ketegangan kaum,” ujar Saari lagi.

Saari juga berpendapat PCA digubal bagi jalan pintas atas ketidakcekapan kerajaan menguruskan isu jenayah dengan teratur, sedangkan suruhanjaya khas diwujudkan untuk menaiktaraf dan memperbaiki perkhidmatan polis.