Categories
NASIONAL

Bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS tangkis fitnah Umno

SHAH ALAM 22 NOV: Organisasi PAS di semua peringkat perlu memastikan kehadiran dan kewujudan mereka disedari dan dirasai oleh lapisan masyarakat, kata perwakilan Selangor, Zaidy Abdul Talib.

Membahas ucapan dasar presiden, beliau yang juga ADUN Templer itu berkata, ahli perlu menjadikan PAS sebuah parti bersifat inklusif, bukannya eksklusif untuk ahli sahaja.

“Harus dirasai masyarakat. (Malangnya) ada PAS kawasan dan cawangan tidak dirasai kewujudannya,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, hari ini.

photoMemetik Harakah Daily, beliau juga mahu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diperkasa dan mencadangkan satu modul khas diwujud kepada DHPP agar mereka lebih memahami Islam.

Katanya, pencapaian DHPP sangat membanggakan apabila mereka terlibat dalam menjelaskan isu perjuangan Islam kepada bukan Islam yang dijadikan senjata Umno untuk menakut-nakutkan bukan Islam.

“Ada ahli DHPP menyertai usrah kawasan untuk mendapatkan penjelasan terhdap isu-isu agama yang berkait dengan mereka.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak mereka telah faham tentang Islam yang diperjuangkan PAS melalui pendekatan ini,” katanya.

– FZL