Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya lapan kes kanak-kanak divaksin alami kesan sampingan ringan

KOTA BHARU, 16 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima lapan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula pada 3 Feb lepas dengan kesemuanya mengalami kesan sampingan ringan termasuk bengkak pada bahagian bahu selepas menerima vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah itu membabitkan hanya 0.006 peratus daripada keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah diberikan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

“Apabila laporan AEFI dibuat kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan melakukan catatan. Malah, kita juga telah memaklumkan sebelum ini apa-apa kesan yang berkaitan vaksin COVID-19, penerima boleh buat laporan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) berkata setakat ini, peratusan pemberian vaksin menerusi PICKids di seluruh negara masih rendah dengan hanya merekodkan sekitar tujuh peratus. 

Beliau berkata Melaka mencatatkan peratusan pemberian vaksin tertinggi kepada kanak-kanak dengan 16.1 peratus diikuti Sarawak 13.99 peratus selain Kelantan berada dalam kelompok negeri terendah iaitu sekitar 1.18 peratus. 

Dr Noor Azmi berkata pihaknya menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Kita menyeru kepada semua ibu bapa agar mengambil keputusan yang bertanggungjawab dengan menghantar anak-anak mereka menerima suntikan demi melindungi kesihatan,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata setakat tahun lepas, 278,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 17 tahun telah dijangkiti COVID-19 dengan 63 daripada jumlah itu dilaporkan meninggal dunia.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Demam, sakit kepala antara kesan imunisasi dos penggalak kerap dilapor

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sebanyak 51 kes (5.2 peratus) daripada 984 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin Covid-19, bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos, diklasifikasikan sebagai serius setakat 20 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata secara keseluruhannya, sistem pelaporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sejumlah 24,411 laporan AEFI melibatkan dos penggalak.

“Pemantauan laporan AEFI yang diterima oleh NPRA setakat ini menyimpulkan bahawa trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

“Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan merupakan antara kesan advers yang kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh membuat laporan AEFI menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai di dalam aplikasi itu selain laporan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my).

Dr Noor Hisham juga berkata kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini meningkat kepada 4,116 berbanding 4,046 semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,829,089 setakat 12 tengah hari.

Sebanyak 39 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,077 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 4,116 kes itu, sebanyak 498 adalah kes import dan 3,618 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 141 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,858 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,753,119 orang.

Katanya sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan dengan 225 kluster masih aktif.

-BERNAMA