Categories
NASIONAL

Terus Laksana AES Mahfuz Usul Potong Gaji Menteri Pengangkutan

 

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Enggan mengadakan rundingan dan mahu meneruskan Sistem Pelaksanaan Automatik(AES) menyebakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan usul pemotongan gaji RM10 terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mahfuz yang merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), beliau kecewa dengan kenyataan menteri seperti yang dipaparkan media semalam di mana kerajaan akan meneruskan sistem AES.

“Yang kita minta semakkan dan kajian semula sistem ini. Alasan yang diberikan tidak menunjukkan memandu laju menjadi punca kemalangan

“Isunya bukan soal had kelajuan, tapi soal sikap manusia,” katanya di lobi Parlimen.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Shariff.

Zulhazmi dalam sidang media sama turut membangkitkan persoalan berhubung jawapan menteri yang menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd bernilai RM717 juta.

“Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Red Flex, Australia, mereka mendapat kontrak (Beta Tegap) lebih 50 juta USD untuk 450 buah kamera kelajuan (speed cam) dan 140 buah kamera mobil.

“Jika ditukarkan kepada ringgit Malaysia jumlahnya RM151,544,578.

“Genoptik Robot dari Jerman bagi syarikat ATES pula bernilai 53 juta USD untuk ‘install’ 550 buah kamera dengan nilai RM160,656,496.

“Jika dicampurkan jumlahnya lebih kurang RM312,201,074 tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan bezanya hampir RM404.7 juta,” soalnya.

Jelasnya, kenyataan menteri sebelum ini yang menyatakan AES bukan berkait dengan keuntungan nyata mengelirukan dan sehingga kini masih belum dijawab.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Prosedur Kompaun AES Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM, 6 OKT : Kerajaan Pusat diminta memperkenalkan satu mekanisme baru berkenaan notis kompaun pesalah trafik Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini supaya tidak membebankan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar berkata, prosedur yang jelas mengenainya perlu ada agar tidak timbul kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Bila rakaman imej itu diperolehi, kerajaan kata akan terus keluarkan notis saman sedangkan notis itu sebenarnya adalah notis bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta kepastian samaada betul atau tidak betul imej yang dirakam itu adalah pesalah yang sebenar.

“Maka kerajaan tidak boleh terus mengatakan bahawa individu itu mesti ditawarkan kompaun. Tidak boleh begitu, ia mestilah selepas ada pengesahan bahawa seseorang itu mengaku itu imejnya barulah individu terlibat boleh ditawarkan untuk bayaran kompaun atau didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri bahawa AES sudah merakamkan 63,558 imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di 14 lokasi panas dari 23 September hingga 30 September lalu.

Abd Rahim juga menjelaskan semua imej tersebut sedang dalam proses semakan dan pengesahan JPJ sebelum saman dikeluarkan.

Mahfuz berkata, persoalan mengenai pelaksanaan AES itu sudah dibangkitkan banyak kali terhadap kerajaan di Parlimen namun sehingga kini ia belum diperjelaskan.

Katanya, pengguna kebiasaan menghadapi masalah ketika waktu puncak di mana anggota polis mengawal lalu lintas serta persimpangan lampu merah.

“AES yang dipasang di simpang lampu merah, bagaimana pada waktu puncak dan ada empat simpang serta polis akan datang untuk mengawal laluan. Lampu tidak digunakan dan pengguna jalan raya perlu mengikut arahan polis.

“Pada waktu itu ada lampu yang berwarna merah, kalau kita langgar lampu merah bermakna kita melakukan kesalahan. Kalau polis suruh jalan waktu lampu warna merah dan kita tidak ikut arahan polis, kita juga dianggap salah. Ini satu penganiayaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan juga diminta menjelaskan berhubung status AES tersebut dan pihak mana yang mengelola atau mengawalnya.

Tambahnya, kerajaan menetapkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ adalah sebagai pemilik maka ia melibatkan penggunaan wang ringgit sedangkan sebelum ini kerajaan mengatakan tidak mengeluarkan satu sen pun sebaliknya ia dilakukan secara penswastaan kepada dua syarikat.

“Sehingga hari ini kita masih belum mendapat kepastian tentang dua syarikat tersebut maka kerajaan harus beritahu secara jelas apa kedudukan sebenarnya mengenainya. Jika ia dibangunkan oleh dua syarikat in maka sudah tentu ada satu perjanjian antara kerajaan dengan mereka,” katanya.