Categories
NASIONAL

Mahfuz : Kabinet Lindungi Kepentingan Kroni AES

aes

KUALA LUMPUR, 27 DIS : Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Kabinet yang meneruskan proses pengeluaran saman AES meskipun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menangguhkan prosiding mahkamah.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai usaha menjaga kepentingan kroni yang mempunyai pegangan di dalam syarikat konsesi yang mengendalikan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

“Apakah kerajaan begitu bimbang menagguhkan operasi AES ini bagi menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Apakah kerajaan ingin menjaga kepentingan Tan Sri Azman Yahya iaitu menganggotai beberapa GLC kerajaan termasuk Khazanah Nasional.

“Saya menyebut perkara berkenaan kerana ATES Sdn Bhd (sebuah syarikat yang mengendalikan AES), adalah dimiliki oleh satu syarikat yang bernama Angsana Tiara Sdn Bhd sebanyak 67.74 peratus.

“Angsana ini dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya sebanyak 66.60 peratus pemegang saham,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Poko Sena, syarikat tersebut mempunyai kerugian terkumpul berjumlah RM 781 juta.

Mahfuz mendakwa pemberian kontrak AES adalah usaha membaik pulih syarikat tersebut.

Tegas Mahfuz, selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya menghentikan pengeluaran saman baru AES dan memulangkan saman yang telah dibayar.

“Saya bersedia berdebat, dengan seorang bertaraf menteri tentang pelaksanaan AES,” cabar Mahfuz.

Semalam, dilaporkan bahawa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan saman AES akan tetap dikeluarkan walaupun prosiding mahkamah telah ditangguhkan.

Cho Ha turut mengakui saman AES bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

Setakat ini hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak AES mula dilaksanakan 23 September lalu.

Categories
NASIONAL

500 Hadir Himpunan Rakyat Bantah AES

MANJUNG, 9 NOV : NGO ?Bantah AES? mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan perlaksanaan Sistem Penguatkuasaaan Automatik (AES) dalam tempoh seminggu.

Koordinator Bersama, Bantah AES, Saifullah Zulkifli menegaskan, sebarang usaha untuk menangani masalah kemalangan adalah disokong.

Akan tetapi pelaksanaan AES adalah meragukan dan membebankan rakyat.

“Pihak Bantah AES dengan ini memberi tempoh seminggu kepada Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan pelaksanaan AES dan memberi respon terhadap bantahan ini.

“Jika berlaku sebaliknya, satu lagi perhimpunan ‘BANTAH AES’ bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan ke Parlimen,” katanya dlam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas Himpunan Rakyat Bantah AES yang dihadiri 500 orang penyokong di Sitiawan, Perak hari ini.

Mereka mula berkumpul di Masjid An-Nasyirah, Sitiawan selepas solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke pejabat Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.

Memorandum bantahan terhadap AES ini mengemukakan empat faktor mengapa sistem itu ditolak.

Empat faktor yang dinyatakan dalam memorandum tersebut adalah latar belakang dua buah syarikat yang dilantik dan perjanjian penswastaaan amat mencurigakan.

Memorandum itu juga berkata kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata dan perlaksanaan AES menambahkan beban kewangan kepada rakyat.

“Pihak Bantah AES menyatakan kekesalan terhadap sikap penakut Ahli Parlimen Lumut, Datok Seri Kong Cho Ha untuk berhadapan dengan rakyat dan hanya menghantar kerani pejabat parlimen untuk menerima memorandum tersebut,” ujarnya lagi.

Himpunan ini dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat.

Antara pimpinan yang hadir dan memberi ucapan adalah wakil PKR Perak, Chang Lih Kang, Dr Raja Ahmad Iskandar yang wakili Dewan Pemuda Pas Perak, Siti Aisyah Sheik Ismail selaku wakil PKR Pusat dan beberapa pimpinan NGO lain.

Categories
NASIONAL

Rakyat Diseru Hadir BANTAH AES 9 Nov

PETALING JAYA, 8 NOV : BANTAH AES menyeru seluruh rakyat untuk hadir di perhimpunan bagi menyerah memorandum kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada 9 November selepas solat Jumaat di Masjid Nasriyah, Sitiawan, Perak.

Koordinator Bersama BANTAH AES, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, Himpunan Rakyat BANTAH AES ini mensasarkan fokus untuk mendesak Menteri Pengangkutan untuk mengkaji semula dan mengambil kira beban rakyat sebelum melaksanakan AES.

Katanya, bantahan itu juga akan digerakkan ke seluruh negara bagi memberikan kesedaran rakyat berhubung salahlaku pemberian tender kepada syarikat kroni bagi mengendalikan sistem saman ini .

Malahan ujarnya sistem yang dilaksanakan ini membebankan rakyat.

“Rakyat akan terus bangun dan membantah sistem ini,” katanya.

Ujarnya, satu himpunan ke Parlimen akan diadakan lagi bagi menyatakan bantahan itu.

“Kita akan umumkan tarikhnya pada masa terdekat,” ujarnya.

Sejak dilaksanakan pada 23 September 2012, dalam masa 8 hari dengan 14 kemera AES sebanyak 63,558 buah saman dikeluarkan.

Sebelum ini Adun Teja, Chang Lih Kang mencabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera Sistem Kamera Automatik (AES) kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Pada satu sidang media di Lobi Parlimen Chang mendakwa tender pemasangan AES dikuasai kroni Umno.

Menurutnya, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno Johor.

Katanya, Rozana merupakan anak sulung Tan Sri Redzuan Salim dan Puan Sri Atikah Abdullah, dua tokoh pemimpin Umno di Johor.

Categories
NASIONAL

AES Tekan Rakyat, AMK Desak Menteri Tangguh

SHAH ALAM, 1 NOV : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bertindak menangguhkan segera pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selepas menerima bantahan pelbagai pihak termasuk dari pemimpin Umno-BN serta NGO yang menyokongnya.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, sewajarnya Kong tidak berdegil dalam isu itu dengan mempertahankan pendiriannya demi meneruskan projek itu yang memihak kepada syarikat swasta terlibat.

Menurutnya, Kong perlu menyedari perkara itu kerana Pemuda Umno dan Cuepacs turut bersetuju dengan Pakatan Rakyat (PR) bahawa AES jelas menekan dan membebankan rakyat.

Katanya, biarpun Kong berjaya mengelak diri daripada dikenakan tindakan pemotongan gaji apabila ditolak Speaker Dewan Rakyat tetapi prestasi Kong mendukacitakan dan dipertikaikan.

Lee berkata, AMK mempersoalkan kedegilan Kong untuk mempertahankan penswastaan penguatkuasaan AES dapat mengurangkan kemalangan jalanraya kerana faktor utama insiden itu bukan akibat kelebihan kelajuan.

Tindakan Kong mempertahankan dua syarikat swasta terlibat dalam pelaksanaan AES, tambahnya, jelas berasaskan keuntungan yang akhirnya membawa penderitaan kepada rakyat.

“AMK menegaskan bahawa penswastaan penguatkuasaan akan menimbulkan implikasi yang buruk. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala pengurusan awam serta ketanggungjawaban tidak wajar diswastakan kerana ia akan menjadikan negara dikawal syarikat swasta.

“AMK mengalu-alukan keputusan kerajaan PR menangguh pelaksanaan AES di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Tindakan tersebut bukan sekadar meringankan beban rakyat yang semakin berat malah menghentikan sebarang usaha penswastaan projek penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, sesiapa yang ingin mendirikan sebarang struktur dan bangunan di dalam lingkungan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti memperolehi kebenaran atau permit terlebih dahulu.

Mahfuz : Minta Penjelasan Menteri Syarikat Konsesi AES Menyamar JPJ

KUALA LUMPUR, 31 OKT – Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan.

Categories
NASIONAL

Terus Laksana AES Mahfuz Usul Potong Gaji Menteri Pengangkutan

 

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Enggan mengadakan rundingan dan mahu meneruskan Sistem Pelaksanaan Automatik(AES) menyebakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan usul pemotongan gaji RM10 terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mahfuz yang merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), beliau kecewa dengan kenyataan menteri seperti yang dipaparkan media semalam di mana kerajaan akan meneruskan sistem AES.

“Yang kita minta semakkan dan kajian semula sistem ini. Alasan yang diberikan tidak menunjukkan memandu laju menjadi punca kemalangan

“Isunya bukan soal had kelajuan, tapi soal sikap manusia,” katanya di lobi Parlimen.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Shariff.

Zulhazmi dalam sidang media sama turut membangkitkan persoalan berhubung jawapan menteri yang menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd bernilai RM717 juta.

“Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Red Flex, Australia, mereka mendapat kontrak (Beta Tegap) lebih 50 juta USD untuk 450 buah kamera kelajuan (speed cam) dan 140 buah kamera mobil.

“Jika ditukarkan kepada ringgit Malaysia jumlahnya RM151,544,578.

“Genoptik Robot dari Jerman bagi syarikat ATES pula bernilai 53 juta USD untuk ‘install’ 550 buah kamera dengan nilai RM160,656,496.

“Jika dicampurkan jumlahnya lebih kurang RM312,201,074 tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan bezanya hampir RM404.7 juta,” soalnya.

Jelasnya, kenyataan menteri sebelum ini yang menyatakan AES bukan berkait dengan keuntungan nyata mengelirukan dan sehingga kini masih belum dijawab.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Umno, MCA Biadap Pada Masyarakat Hindu

SHAH ALAM 25 APR : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) yang bertindak merobohkan Kuil Sri Muniswarar yang berusia hampir 50 tahun di Terminal Kargo Pukal Prai (BCT).

Lebih mengecewakan, menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini Pengerusi PPSB, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mengumumkan bahawa PPSB akan menanggung kos pembinaan semula kuil tersebut di kawasan seluas 6.1m x 6.1m di lokasi yang sama namun semuanya sekadar kata-kata manis sahaja.

“Sewaktu lawatan saya ke tapak berkenaan pada 23 April lalu, Pengurus Besar BCT, Abdul Halim Kader memberitahu beliau telah mendapat pengesahan daripada pejabat Dr. Hilmi bahawa kuil tidak akan dibina di situ.

“Jika ia benar, bilakah kuil itu akan dibina dan adakah ianya benar-benar akan dibina semula atau sekadar janji-janji kosong BN sempena Pilihanraya?,” soal Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Dr. Hilmi dan Pengerusi PPC, Datuk Seri Chua Soi Lek untuk meminta maaf khususnya kepada masyarakat Hindu atas pencabulan rumah ibadat itu.

“Tindakan perobohan ini boleh disifatkan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan.

“Lebih memburukkan keadaan lagi, tiada notis dikeluarkan atau sekurang-kurangnya ditampal di kuil bagi memaklumkan tentang perobohan tersebut.

“Kedua-dua individu yang bertanggungjawab atas tindakan ini juga gagal untuk tampil segera bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada pekerja-pekerja pelabuhan dan masyarakat Hindu,” jelas Guan Eng.

Jika tiada permohonan maaf dari kedua mereka dan tiada kuil didirikan sebelum pilihanraya, Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk campur tangan dalam hal berkenaan.

“Semua warga Pulau Pinang yang cintakan keamanan dan menghormati kebebasan beragama mengutuk keras tindakan tersebut. Maka perkara ini perlu dipandang berat dan diambil serius,” tegas Guan Eng melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.