Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pinda hukuman mati, kerajaan cadang penjara seumur hidup

PUTRAJAYA, 18 FEB: Hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang sekarang ini amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan ialah hukuman mati.

“Banyak berpendapat dia (hukuman) tak berkesan sebab itu masih ada mereka yang mencari duit tidak halal dengan mengedar dadah.

“(Kerajaan) akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak dan jika kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Zuki Ali, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Pada majlis yang sama, Dr Mahathir turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Antidadah kepada Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir seterusnya mengingatkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu perkara tidak baik yang akan membawa mudarat bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu dalam ucapannya, katanya beliau percaya sudah sampai masanya kerajaan menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend semasa dadah.

“Trend penyalahgunaan dadah telah berubah…daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin, ia kini beralih kepada dadah sintetik yang lebih memudaratkan.

“Turut membimbangkan ialah peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia. Lebih membimbangkan, kini muncul ratusan bahan psikoaktif baharu di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata statistik salah guna serta penagih dadah dan bahan terlarang di Malaysia pada tahun 2018 mencatat sejumlah 130,788 orang.

Selain itu, Perdana Menteri berkata berdasarkan anggaran penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta orang, didapati bagi setiap 100,000 penduduk, terdapat 404 orang yang menyalah guna dan menjadi penagih dadah serta bahan terlarang pada tahun 2018.

Dr Mahathir seterusnya berkata kerajaan melihat masalah dadah di negara ini terangkum sekali dalam isu keselamatan dan pada masa yang sama, ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental bagi mereka yang menyalah guna bahan terlarang itu.

“Penyalahgunaan dadah memberi implikasi besar kepada negara. Ini kerana kita akan hilang tenaga kerja yang produktif untuk membina negara masa kini dan akan datang. Langkah penguatkuasaan dan rawatan pemulihan dadah oleh pihak berkuasa pula perlu mengambil kira perubahan semasa yang berlaku supaya usaha menanganinya lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

“Pihak yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah juga harus memahami keperluan pendekatan rawatan diberikan. Prinsip rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan perlu difahami bahawa tiada rawatan tunggal yang sesuai untuk semua orang,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah, termasuk mereka yang mengendalikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian perlu mengintegrasikan pendekatan rawatan dan pemulihan lebih menyeluruh dengan mengambil kira prinsip rawatan pemulihan dadah yang berkesan.

“Saya ingin sarankan kepada sektor swasta supaya usaha menangani penyalahgunaan dadah dan bahan (terlarang) menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

AADK: Kempen perangi dadah tunjuk hasil positif

ROMPIN, 10 FEB: Pelaksanaan kempen perangi dadah habis-habisan yang masuk tahun ketiga pada tahun ini, menunjukkan perkembangan positif berdasarkan pengurangan zon berisiko tinggi di seluruh negara.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pada masa ini, hanya 87 kawasan masih dikategorikan sebagai zon merah berbanding 178 kawasan sebelum ini.

Manakala, katanya, lima kawasan sudah dikategorikan sebagai hijau iaitu kawasan paling kurang masalah dadah, manakala 86 kawasan lagi bertukar kepada zon kuning (kes dadah sehingga 30 peratus).

“Mengikut rekod, Pahang mempunyai kawasan berisiko tinggi paling banyak iaitu 115 buah di seluruh kawasan Felda membabitkan 4,923 kes Orang Kena Pengawasan (OKP).

“OKP kawasan Felda di Rompin pula sebanyak 14.04 peratus atau 197 OKP meliputi 17 kawasan di Felda Selancar, Selendang dan Keratong,” katanya semasa berucap di Majlis Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dewan Semai Bakti, Felda Keratong 3 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek dan Pengarah AADK Pahang, Rujhan Ramli.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerjasama strategik di antara Felda dan AADK yang berterusan dilihat mampu mencapai matlamat membebaskan negara dari belenggu dadah khususnya di tanah rancangan.

“Selaras dengan tema ‘Felda Kita Tanggungjawab Kita’, AADK tampil dengan inisiatif untuk melaksanakan aktiviti berfokus seperti program Omnipresence, iaitu menggerakkan pemuda dan belia menyebarkan risalah berkaitan.

“Hasrat mencapai status Felda bebas dadah mungkin agak sukar namun tidak mustahil jika program yang lebih bersasar ini lebih melekat di hati masyarakat terutamanya kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pelbagai cara yang dilakukan bagi meningkatkan kesedaran kepada warga Felda pelbagai peringkat umur mengenai bahaya dadah, antaranya menerusi pameran, ceramah dan kem motivasi.

“Penyalahgunaan dadah mudah berkembang melalui pengaruh di kawasan berkelompok sekali gus memudahkan urus niaga jual beli dadah, penggunaan jarum suntikan dan sebagainya.

“Pada masa kini juga, terdapat ramai pelajar peringkat sekolah mahupun pusat pengajian tinggi menggunakan amphetamine tanpa diketahui oleh ibu bapa yang kononnya untuk merangsang sistem saraf agar menjadi lebih bertenaga,” katanya.

SUMBER: BERNAMA