Categories
AGENDA NASIONAL

NADMA mahu pengurusan bencana negeri tingkat kesiapsiagaan

PUTRAJAYA, 1 DIS: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini menasihatkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan serta ditingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) memastikan segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut NADMA dalam satu kenyataan.

NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat berkenaan bencana dan bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80635420 dan alamat e-mel [email protected] ,” menurut kenyataan itu lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat dengan amaran cuaca bahaya peringkat merah dijangka berlaku berterusan sehingga Isnin (2 Disember) di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.

Amaran cuaca bahaya peringkat merah bermaksud dijangka mencapai tahap hujan lebat berterusan dengan jumlah hujan melebihi 240 mm/hari.

Hujan sangat lebat dijangka melanda Kelantan di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala dua daerah iaitu Besut dan Setiu di Terengganu.

Manakala, hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga Isnin dengan amaran cuaca buruk peringkat jingga di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurut NADMA amaran cuaca buruk peringkat jingga bermaksud dijangka mencapai tahap hujan berterusan.

Menurutnya hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan di daerah Jeli dan Kuala Krai; Terengganu di derah Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Dalam pada itu, NADMA berkata hujan lebat dijangka berlaku sehingga Isnin (2 Disember) dengan amaran cuaca waspada peringkat kuning dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Johor.

Amaran cuaca waspada peringkat kuning merupakan hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Hujan lebat dijangka akan berlaku di Gua Musang, Kelantan; Jerantut, Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi, Johor.

Disamping itu, NADMA berkata angin kencang 40 – 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter juga dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dalam tempoh tersebut.

Selain daripada itu juga, Jabatan Pengairan dan Saliran pada hari ini turut mengeluarkan hebahan mengenai ramalan aras air di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya aras air Sungai Golok, Kelantan iaitu di stesen Sungai Golok di Rantau Panjang diramalkan melebihi aras bahaya sebanyak 0.43 m pada 11 pagi hari ini dengan trend menurun.

Manakala trend menaik berlaku Terengganu dengan aras air di Sungai Terengganu di stesen Sungai Nerus di Kampung Langkap diramalkan melepasi aras bahaya sebanyak 0.65 m pada 1 petang ini manakala aras air Sungai Setiu di Stesen Jambatan Permaisuri diramalkan melepasi aras bahaya sebanyak 0.18m pada 1 petang ini, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

FAMA sedia 50,000 kit makanan untuk mangsa bencana

SEPANG, 19 NOV: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mendapat kepercayaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menyediakan 50,000 kit makanan untuk diedarkan ke kawasan ditimpa bencana.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, FAMA mula diberi tanggungjawab menyediakan Kit Makanan NADMA sejak tahun 2014 apabila negara dilanda banjir besar dengan jumlah keseluruhan setakat tahun 2018 sebanyak 259,586 unit kit makanan.

“Untuk tahun ini, FAMA sudah menghantar 9,161 unit dan hari ini kita hantar lagi untuk melengkapkan penghantaran fasa pertama berjumlah 20,000 kit makanan.

“FAMA juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengedarkan kit ini kepada mangsa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelepasan Kit Makanan NADMA Ke Seluruh Malaysia di Pusat Operasi FAMA Dengkil, di sini, hari ini.

Ishak berkata, pemilihan Pusat Operasi FAMA Dengkil sebagai pusat logistik memproses bekalan bantuan bencana berikutan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran lebuh raya, lapangan terbang dan pelabuhan.

Katanya, FAMA memilih produk keluaran Agromas antaranya air mineral, beras, biskut jagung, makanan dalam tin, bihun, seri kaya, gula pasir, garam dan serbuk teh.

Terdahulu pada majlis sama, Ishak dan diringi Pengarah FAMA Selangor, Dato’ Abdul Ghariff Ramin membuat pelepasan lori membawa Kit Makanan NADMA ke negeri-negeri sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,149 mangsa banjir dipindah di seluruh negara

PUTRAJAYA, 27 OKT: Seramai 1,149 mangsa banjir daripada 309 keluarga dipindahkan ke 13 pusat penempatan sementara (PPS) di lima negeri setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Kuala Selangor, Selangor seramai 659 mangsa daripada 185 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS di daerah itu.

Di Perak, mangsa terlibat seramai 185 orang daripada 42 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, masing-masing di Kerian dan Hilir Perak.

Menurut Nadma, di Seberang Perai, Pulau Pinang pula seramai 131 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di daerah itu.

Di Johor, seramai 105 mangsa daripada 24 keluarga dipindahkan ke dua PPS, masing-masing di Batu Pahat dan Pontian, manakala di Jelebu, Negeri Sembilan, seramai 69 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Nadma turut melaporkan Jalan Bagan Serai di Kerian menuju ke Alor Pongsu dan Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NADMA: 420 mangsa banjir dipindah di seluruh negara

PUTRAJAYA, 25 OKT: Seramai 420 mangsa daripada 101 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di empat negeri yang dilanda banjir setakat pukul 8 pagi tadi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor, seramai 214 mangsa banjir daripada 49 keluarga telah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara.

Pusat terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang dan SK Parit Haji Adnan di Pontian serta SK Sungai Kajang dan Dewan Orang Ramai Tongkang Pecah di Batu Pahat.

Di Selangor, seramai 91 mangsa daripada 24 keluarga telah berpindah ke pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield di Kuala Selangor.

Di Perak pula, seramai 84 mangsa daripada 20 keluarga dipindahkan ke SK Changkat Lobak di Kerian, manakala di Pulau Pinang, seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara di Tadika Kemas Kampung Manggis, Seberang Perai.

Laporan Nadma itu turut memaklumkan mengenai amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda daerah Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 12 tengah hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan wujudkan Tabung Bantuan Bencana Negara

CYBERJAYA, 8 OKT: Kerajaan bersetuju menubuhkan Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) untuk menggalakkan orang ramai bersama membantu dalam pengurusan bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, tabung yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akan dapat membantu kerajaan menyelaras bantuan yang disumbangkan secara telus oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi NADMA berkata pada masa ini, sumbangan bantuan bencana dikendalikan oleh pelbagai pihak dan tiada penyelarasan dibuat.

“Kerajaan ingin menyebarluaskan kewujudan tabung ini bagi menggalakkan sumbangan pihak swasta, badan sukarela serta orang perseorangan atas prinsip pengurusan bencana negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya ketika merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata sumbangan akan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dan penggunaan sumbangan daripada kempen itu akan digunakan selaras dengan tujuan yang dinyatakan oleh Surat Ikatan Amanah KWABBN.

Beliau berkata seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama bukan sahaja kerajaan malah turut melibatkan semua pihak termasuk komuniti.

Dr Wan Azizah berkata kesiapsiagaan masyarakat amat penting untuk diterapkan ke dalam masyarakat supaya menjadi satu budaya dan juga penting untuk masyarakat memahami risiko bencana di persekitaran mereka supaya boleh merancang langkah kesiapsiagaan.

Beliau berkata budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan daripada peringkat pusat, negeri dan daerah, beserta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang perseorangan.

Contoh kesiapsiagaan masyarakat ialah merancang pelan kecemasan bencana untuk keluarga dan komuniti serta mengemas kini profil komuniti setempat terutamanya profil golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak, katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien supaya mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.

Beliau berkata, walaupun Malaysia tidak terdedah kepada bencana alam seburuk negara jiran, tetapi perubahan iklim tidak boleh membuatkan orang ramai merasa terlalu selesa atau leka seperti dahulu.

Beliau berkata menyedari kepentingan aplikasi sains dan teknologi sebagai antara keperluan dalam pengurusan bencana, NADMA telah mengambil inisiatif untuk melantik pakar dalam bidang berkenaan daripada swasta dan awam untuk menjadi penasihat kepada agensi itu.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata penubuhan Science and Technology Expert Panel (STEP) diharap dapat membantu kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agensi terlibat bersedia berdepan banjir

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Agensi yang terlibat dengan bencana banjir sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu sekiranya ia berlaku ketika perubahan angin monsun yang dijangka berterusan hingga awal November nanti.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan memastikan semua agensi Persekutuan berkaitan pengurusan bencana bersiap sedia semasa Monsun Timur Laut (MTL).

“Nadma telah dan akan terus mengadakan siri latihan kepada komuniti melibatkan program Community Based Disaster Management (CBDM). Penganjuran Program Kesiapsiagaan Nasional akan dilancarkan pada bulan Oktober (program tahunan) bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran kesiapsiagaan semua pihak terutamanya masyarakat.

“Pemulihan dan penambahbaikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu 5,482 PPS yang boleh menampung lebih 1.6 juta mangsa adalah antara persiapan dari aspek kebajikan kepada mangsa yang akan berpindah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, bagi memastikan pengurusan banjir diselaras dengan berkesan dan lancar.

Dalam pada itu, Zakaria menjelaskan, bagi memperkukuhkan pengurusan bencana negara, Nadma turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan urusan bantuan di lokasi bencana diselaras.

“Nadma juga akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan inisiatif baharu dalam meningkatkan sistem amaran banjir menerusi penyampaian khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada komuniti yang berisiko tinggi berdepan banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pihaknya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika fenomena perubahan angin monsun.

“Yang pertama sekali, mesyuarat di peringkat pertahanan awam (APM) dalaman mereka dah mula, lepas tu di peringkat negeri dan daerah, sebab kita adalah sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Jadi, yang ini (hasil mesyuarat) mereka akan maklumkan kepada DO (pegawai daerah) dan SS (setiausaha kerajaan negeri) untuk menggerakkan jentera dan bersedialah… agensi uruskan bencana ni akan bersama-sama dengan kita,” katanya.

Pada 22 September lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof memaklumkan seramai 14,000 anggota JBPM akan diletakkan di seluruh negara sebagai persediaan untuk menghadapi banjir termasuk di luar jangka.

Menurutnya, JBPM sudah mempunyai jawatankuasa khas berhubung fenomena perubahan angin monsun yang turut membabitkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara.

Pada masa sama, Amer berkata, jika berlaku banjir besar di sesebuah negeri pihaknya akan mengarahkan negeri berjiran membantu termasuk dari segi logistik dan anggota.

MET Malaysia pada 21 September lepas mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah serta Barat dan Tengah, Sarawak.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Malaysia antara negara Asia Tenggara layak jalani USAR

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 10 APR: Hanya dua negara di rantau Asia Tenggara mempunyai kelayakkan menjalankan operasi Heavy Urban Search And Rescue (USAR).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, salah satunya adalah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“SMART adalah pasukan ketujuh diiktiraf sebagai pasukan USAR di Asia oleh International Search And Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hanya terdapat 32 negara di seluruh dunia yang mempunyai pasukan diiktiraf sebagai USAR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Markas SMART di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Katanya, SMART merupakan pasukan elit mencari dan menyelamat melibatkan kawasan kompleks seperti runtuhan bangunan, kawasan sempit, kawasan tanah tinggi dan pergunungan.

Mohtar berkata, SMART akan melalui proses pensijilan semula USAR pada 2021.

Katanya, pasa masa ini SMART giat meningkatkan keupayaan dan kompetensi anggota pasukan dari segi fizikal, aset pasukan, peralatan dan ketahanan stamina bagi menempuhi latihan berterusan selama 36 jam.