Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cikgu Seman kongsi pengalaman didik Sultan Muhammad V

SHAH ALAM, 10 APR: Seorang guru berkongsi kisahnya mendidik Sultan Muhammad V ketika di bangku sekolah sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, di Balairung Seri, Istana Negara, pada 24 April ini.

Beliau adalah Seman@Kamarulzaman Hassan, iaitu bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail I, Kota Bharu, yang menceritakan Sultan Muhammad V tidak diberikan layanan istimewa demi untuk mendidik baginda.

Seman, 72, berkata, beliau pernah menegah pengawal keselamatan yang cuba membantu baginda untuk mengangkat meja dan kerusi.

“Saya menegah pengawal itu kerana ia satu bentuk didikan kepada baginda. Alhamdulillah, baginda dapat menuruti arahan yang saya keluarkan,” katanya lapor BERNAMA ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Lembah Sireh, Kota Bharu.

agongSultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan, pada 12 Disember 2016.

Beliau juga mendedahkan, bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis, membawa rotan ketika berjumpa dengan guru besar ketika pertama kali menghantar anakandanya itu ke sekolah.

Seman berkata, Tengku Anis berpesan kepada guru besar untuk merotan anakandanya jika melanggar arahan pihak sekolah.

“Saya juga sering menyelitkan nasihat dalam bentuk agama ketika mendidik baginda dan rakannya kerana anggap mereka sama seperti anak sendiri,” katanya yang mengajar selama sembilan tahun di SK Sultan Ismail I, pada 1976 hingga 1985.

Seman yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar berkata, baginda masih mengingatinya walaupun sudah lama tidak bersua muka dan ia terjadi ketika banjir, pada 2014.

“Ketika itu, kebetulan baginda sedang meninjau keadaan banjir sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan anak saya yang bekerja sebagai anggota bomba.

“Baginda bertanyakan khabar saya. Pada sebelah malamnya, sebuah pacuan empat roda datang ke rumah dan menyerahkan bantuan makanan yang dikirimkan baginda,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sultan Ibrahim: Agong bukan ‘rubber stamp’ menteri untuk kepentingan politik, individu

OLEH : NAZLI IBRAHIM

JOHOR BAHRU, 7 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan pindaan yang merampas kuasa Dipertuan Agong yang dilaksanakan dalam pindaan Perkara 40(1A) dan Perkara 66(4A) dalam Akta 885 Perlembagaan Persekutuan pada Jun 1994.

Titah Baginda, pindaan itu mengakibatkan kedudukan institusi diraja disalahgunakan oleh individu tertentu demi menjaga kepentingan politik pihak tertentu.

Raja-Raja Melayu“Jika dulu orang Melayu bersatu menentang Malayan Union apabila kuasa Raja dikecilkan tetapi kini parti politik Melayu jugalah yang menghadkan kuasa Agong.

“Lebih teruk lagi memaksa Agong bertindak mengikut apa jua nasihat jemaah Menteri. Inilah pindaan sebagaimana Akta 885 yang berkuat kuasa mulai 26 Jun 1994 yang merampas kuasa Agong demi kepentingan individu dan politik. Saya berharap perkara ini dapat diperbetulkan semula,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Bagi 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Titah Baginda lagi, pindaan itu juga menjadikan peranan Agong dan Raja-Raja seolah-olah sebagai ‘rubber stamp’ untuk menurunkan cop mohor terhadap rang diluluskan Parlimen atau Dewan Negeri.

“Adalah tidak wajar sekiranya kuasa Agong atau Raja dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang itu dihadkan atau dihapuskan.

“Ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai ‘rubber stamp’ untuk menurunkan cop mohor terhadap rang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Negeri,” titah Baginda Sultan.

IMG-20160507-WA0001Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Bagi Tahun 2016 yang kali pertama diadakan itu turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dan Timbalan Speaker DNS, Mohd Shafie Bin Ngah.

“Persidangan ini satu platform yang bagus untuk Speker bertukar pandangan,” kata Hannah Yeoh kepada SelangorKini.

Selain itu, turut hadir dalam persidangan dua hari itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

EZY