Categories
BERITA UTAMA

Agong berkenan rasmi sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 yang berlangsung di Dataran Merdeka.

Ketibaan Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Sambutan bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” dimulakan dengan bacaan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Agama dan Kebajikan, Luqman Ramli serta ikrar oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Norhisham Mohamad.

Majlis diteruskan dengan sembah ucapan menjunjung kasih daripada Zuraida diikuti titah perasmian Sultan Abdullah.

Selepas itu berlangsung gimik menggunakan pesawat Agusta AW139 yang melintasi Padang Dataran Merdeka menunjukkan tiga anggota penyelamat wanita pasukan khas Multi Skill Team (MUSTTeam) turun daripada helikopter menggunakan teknik abseiling dan winching.

Sultan Abdullah kemudiannya berkenan menerima pisau RT III yang dipersembahkan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan meletakkan di atas peralatan khas sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019.

Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak oleh Pegawai Bomba Mohd Fauzi Jamikah bertajuk ‘Pejuang Wira Merah’ dan diikuti persembahan kebombaan Pasukan ‘Special Tactical Operation and Rescue Malaysia’ (STORM).

Ia kemudiannya diteruskan dengan acara perbarisan 35 kontinjen dan perarakan 79 unit jentera serta membabitkan 1,551 peserta antaranya adalah Pasukan Penyelamatan Bangunan Tinggi, Bahagian Udara Bomba, Pasukan Penyelamat Di Air dan Unit Pengesan (K9).

Turut diadakan acara perarakan jentera bomba antaranya melibatkan jentera High performance Pump Modul, Foam Tender, Water Tanker, Helikopter Augusta 109 E, Augusta Westland AW 139, Augusta Westland AW 189 dan Mi-17.

Sempena sambutan ini, Pameran Kebombaan, Mess Nite akan diadakan pada 21 Julai diikuti Larian Bomba pada 17 Ogos di Persiaran Cyberjaya.

Selain itu program bomba bersama komuniti, kempen keselamatan kebakaran dan program kesedaran awam turut diadakan di seluruh negara.

—BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong bantu mangsa kemalangan di Putrajaya

PUTRAJAYA, 26 JUN: Perilaku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini jelas menyerlahkan sifat terpuji, apabila baginda yang sedang dalam perjalanan ke Putrajaya sempat turun dari kenderaannya semata-mata untuk membantu seorang mangsa kemalangan.

Gambar Seri Paduka memberi bantuan kepada mangsa kemalangan yang memandu kenderaan Perodua Alza merah itu tular di media sosial.

Menurut catatan hantaran Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan turun dari kenderaan rasmi baginda untuk memberi bantuan kepada seorang mangsa kemalangan di kawasan Putrajaya.

Sultan Abdullah meluangkan sedikit masa untuk menenangkan mangsa, yang tidak mengalami kecederaan serius, namun dilihat berada dalam keadaan trauma.

“Alhamdulillah pemandu kenderaan itu Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius,” menurut catatan hantaran itu.

Menurutnya Seri Paduka kemudian meneruskan perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Kebiasaannya sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet yang diadakan pada hari Rabu, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku di kawasan Susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa di sini pagi ini.

Menurutnya kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira 7.20 pagi dan kenderaan Alza yang dipandu Jasliza, 38, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di Presint 2, dikatakan terbabas sendiri semasa tiba di tempat kejadian.

“Ketika itu keadaan cuaca hujan renyai dan secara tiba-tiba kereta itu hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan,” kata Rosly.

Menurut Rosly selepas kemalangan, konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan, berhenti untuk melihat keadaan Jasliza.

“Yang di-Pertuan Agong amat prihatin dan turut membantu mangsa kemalangan. Seterusnya Yang di-Pertuan Agong meneruskan perjalanan ke Istana Melawati,” kata Rosly.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong perkenan terima Azmin menghadap di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Istana Negara, semalam.

Mohamed Azmin melalui Twitter rasminya memuat naik beberapa keping gambar pertemuan terbabit yang antara lain menyentuh lawatan baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu.

Menerusi ciapan ditulis pada laman berkenaan,​​​​​​​ Mohamed Azmin turut menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas perkenan menerima menghadap dan menjunjung titah nasihat dan serta pedoman yang diberikan oleh Sultan Abdullah.

“Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini mengadakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu dan ia memberikan satu lonjakan bagi meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan merebut peluang yang disampaikan menerusi lawatan khas Yang di-Pertuan Agong. Hubungan dua hala ekonomi antara Malaysia dan UAE akan dipertingkatkan menerusi pelbagai sektor bagi menambah nilai kerjasama ekonomi,” demikian menurut ciapan di Twitter itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong iltizam terus legasi Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, beriltizam akan meneruskan legasi dan sifat perikemanusiaan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Ia suatu yang sukar beberapa hari ini buat kami sebagai sebuah keluarga. Tetapi kami tidak mungkin dapat melalui semua ini tanpa cinta, sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan keluarga, rakan, rakyat Pahang dan semua rakyat Malaysia.

“Untuk ini dan yang lain lagi, kami berterima kasih dengan setulus hati kepada anda,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat Malaysia kehilangan seorang manusia yang luar biasa, namun yang lebih penting, mereka kehilangan ayahanda yang tersayang dan rakyat kehilangan seorang Sultan yang benar-benar luar biasa.

“Malahan, kami berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kami dengan seorang pemimpin dengan sifat yang merendah diri yang kita semua terdorong dengan kasih sayang dan rahmatnya kepada rakyat Pahang dan Malaysia. Ayahanda kami kekal dalam sanubari kami buat selama-lamanya, Al Fatihah,” demikian titah kedua-dua Baginda.

Pada 22 Mei lalu, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur kira-kira 8.50 pagi.

Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Air mata Agong lambang kasih seorang anakanda

PEKAN, 23 Mei: Keperibadian dan kasih seorang anakanda yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyentuh hati semua yang berada di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata.

Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu.

Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman, dan sekali lagi dilihat mengesat air mata sebaik sahaja solat selesai.

Baginda seterusnya memeluk dan dilihat menenangkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk memberi penghormatan terahir kepada almarhum.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam, dan Istiadat Pemakaman Diraja dijadualkan selepas Zohor hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang difahamkan berada di luar negara semalam, bergegas berangkat pulang ke sini bagi menziarah dan menghadiri istiadat tersebut.

Baginda turut berkenan mencemar duli bertemu dengan orang kenamaan, rakyat dan pelajar tahfiz yang berada di Balairung Seri, yang merupakan peribadi baginda untuk menyantuni mereka pada setiap acara di istana.

Sepanjang bertemu rakyat, Al-Sultan Abdullah yang berkabung dengan pakaian serba putih juga beberapa kali dilihat mengeluarkan sapu tangan untuk mengesat air matanya.

Baginda seterusnya berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali yang tiba pada 11.05 pagi bagi memberi penghormatan terakhir dan antara pembesar negara yang hadir ialah Menteri Kemunikasi dan Multimedia Gobind Sigh Deo, Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat pukul 12.05 tengah hari, Istana Abu Bakar terus menerima kunjungan tetamu kenamaan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

Jenazah almarhum dijadualkan akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di sini dengan menaiki Pedati Diraja yang akan ditarik anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada 1 tengah hari untuk disolatkan dan dimakamkan di Makam Diraja di sini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong, Permaisuri buka puasa bersama warga PDRM

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, di sini.

Ketibaan baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Turut mengiringi baginda, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor serta Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya.

Majlis dihadiri kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada kalangan orang awam dan warga PDRM.

Sultan Abdullah kemudian menunaikan solat Maghrib bersama-sama hadirin di majlis berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong tunai solat Jumaat di Masjid Al-Iman

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 12 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, bagi menunaikan solat Jumaat.

Baginda yang lengkap berbaju melayu hijau zaitun tiba di masjid berkenaan kira-kira 1.15 tengah hari disambut Orang Besar Daerah Gombak yang juga Pengasas Masjid Al-Iman, Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh termasuk ahli kariah masjid.

Keberangkatan tiba Seri Paduka turut diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Seri Paduka kemudian menyertai hampir 1,000 jemaah dari sekitar daerah itu menunaikan solat Jumaat diimamkan Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd Sanusi Idris.

Mohd Sanusi dalam khutbahnya bertajuk ‘Hikmah Di Sebalik Infak’ menarik perhatian sidang jemaah bahawa menginfakkan harta untuk beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan tulus ikhlas, tidak akan merasa satu kerugian, kekurangan mahupun kemiskinan.

“Demikianlah kelebihan mereka yang menginfakkan hartanya, mereka yakin akan dijamin oleh Allah SWT dengan pertambahan rezeki yang datang dari sumber tidak diduga.

“Oleh yang demikian, wakaf menjadi satu medium bagi para sahabat Nabi SAW. Amalan berlumba-lumba berwakaf ini adalah kesan daripada didikan Nabi SAW,” katanya.

Khatib turut berpesan kepada umat Islam supaya yakin dengan janji Allah SWT yang akan memberi pahala amalan berlipat ganda dan berterusan kepada penginfak selagi harta itu dapat dimanfaatkan.

Seusai solat, Sultan Abdullah berkenaan menandatangani plak sempena kali pertama menunaikan solat Jumaat di masjid yang dibina pada 31 Oktober 1999 itu.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalaman dengan rakyat jelata yang teruja dengan kehadiran baginda.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong kutuk serangan kejam di New Zealand

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, mengutuk insiden kekejaman terhadap umat Islam yang mengorbankan 49 nyawa ketika solat Jumaat di dua masjid, di Christchurch, New Zealand, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menzahirkan kesedihan atas berita menyedihkan yang turut membabitkan tiga rakyat Malaysia.

“Baginda mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan kepada masyarakat yang tidak berdosa dan berharap penembak terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Doa kami bersama mereka yang tercedera dan mereka yang kehilangan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baginda turut mendoakan supaya rakyat Malaysia yang tercedera termasuk seorang yang dalam keadaan kritikal, kembali sembuh.

Insiden tembakan rambang ke atas umat Islam di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand, semalam, mengakibatkan 49 kematian dan 20 cedera.

Dilaporkan, penembak dan tiga individu lain, yang dipercayai terbabit dalam serangan itu didakwa di mahkamah, pagi ini, waktu tempatan.

 

Categories
NASIONAL

Surat perisytiharan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Berikut ialah kandungan surat perisytiharan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Foto Ehsan: BERNAMA

Surat perisytiharan itu dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara, di sini, hari ini:

“Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Maka oleh yang demikian beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan ini mengisytiharkan bahawa beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.

Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di ibu negara beta di Kuala Lumpur pada tiga puluh satu haribulan Januari dalam tahun dua ribu sembilan belas”.

– BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Pahang dipilih Agong ke-16, Sultan Perak kekal timbalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

Foto: Utusan Online

“Perdana Menteri juga sudah dimaklumkan,” katanya.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), di Istana Negara, hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara, sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Sultan dan Raja Melayu kecuali Kelantan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari lalu berkata, Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan, pada 31 Januari ini.

 

 

Categories
NASIONAL

Sultan Nazrin jalankan tugas Agong

KUALA LUMPUR 2 NOV: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Istiadat yang berlangsung di Istana Hinggap Perak di sini dimulakan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membaca watikah perisytiharan berkenaan.

Baginda kemudian menandatangani watikah itu.

Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan baginda.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong: Jauhi fitnah, hentikan pertelingkahan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Yang diPertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru rakyat untuk menghentikan pertelingkahan sesama umat dan jauhi fitnah.

Baginda bertitah, rakyat perlu terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaafan dan menyuburkan budaya kunjung mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim.

“Hentikan dan lupakanlah pertelingkahan sesama umat di hari yang mulia ini. Jauhilah fitnah menfitnah kerana dosa fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh.

“Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 191 bermaksud fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat malaysia, semoga sambutan kali ini dapat dimeriahkan dengan dengan agenda mengagungkan Allah dan menzahirkan kesyukuran kepadaNya.

Memetik surah Al Baqarah ayat 185, Sultan Muhammad berpesan kepada rakyat untuk sentiasa mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikan bagi mendidik sifat syukur dalam diri.

Baginda turut bertitah rakyat yang pulang berhari raya ke kampung halaman untuk mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Harapan beta semoga sambutan hari raya kali ini memberi impak dalam melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah dibumi Allah,” titah baginda.