Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

AgroSel bantu jual lambakan hasil tani, harga murah 50 peratus

SHAH ALAM, 14 JUN: Agropreneur Selangor (Agrosel) akan membantu menjual hasil lambakan pertanian di bawah program Agro Prihatin Selangor di dua premisnya dan secara dalam talian.

Pengerusinya, Mohd Bukhari Bachok berkata dua premis itu terletak di Bangi dan Pandan Indah manakala platform dalam talian pula menerusi agroshop.com.my.

“Bagi mengurangkan pergerakan orang ramai untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19, AgroSel ambil inisiatif perkenalkan transaksi dalam talian.

“Seperti diumumkan sebelum ini, harga jualannya lebih murah 50 peratus berbanding harga pasaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di bawah program Agro Prihatin Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membelanjakan RM500,000 untuk membeli jagung, cili dan pisang bagi mengatasi lambakan hasil tani.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dana besar, teknologi baharu tarik orang muda jadi usahawan tani

SHAH ALAM, 12 JUN: Penyediaan tanah dan modal pusingan dalam projek perintis Kerajaan Negeri di bawah program jaminan bekalan makanan Pakej Kita Selangor 2.0 dapat menarik golongan muda menjadi usahawan tani.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata tawaran dua bantuan terutama dana RM10 juta memberi bayangan projek di Bukit Changgang, Banting bakal menggunakan kaedah pertanian moden berasaskan teknologi yang diminati belia.

“Berdasarkan modal pusingan sebesar itu sudah pasti tidak menggunakan cara tradisional lagi, paling kurang pun kaedah fertigasi… lebih baik hidroponik dan aquaponik untuk mengeluarkan hasil dengan segera.

“Kita sambut baik langkah Kerajaan Negeri yang bukan sahaja dapat menjamin bekalan makanan tetapi pada masa sama tarik orang muda sebagai agropreneur,” kata Bukhari Bachok kepada SelangorKini.

Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya mencadangkan sebahagian daripada 30 ekar disediakan untuk projek perintis itu diusahakan agropreneur sudah berjaya bagi mendapatkan hasil segera.

“Sebahagiannya diberi kepada individu baharu berkecimpung, mereka ini boleh bantu membantu satu sama lain,” katanya.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada 30 agropreneur dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

PKPS akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

AgroData lonjak sektor pertanian

SHAH ALAM, 20 OGOS: Inisiatif AgroData Selangor dijangka dapat meningkatkan pendapatan petani selain menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian utama negara pada masa depan.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata usaha ini bertujuan mengatasi masalah tiada maklumat tepat keperluan pasaran apabila data permintaan dan pengeluaran tidak lengkap.

Mohd Bukhari Bachok menjelaskan inisiatif itu juga mengelakkan petani atau penternak daripada kerugian kerana dapat menganggarkan jumlah pengeluaran hasil tani.

“Contohnya apabila Kerajaan Selangor mahu membuka 5,000 ekar tanah (di sepanjang Sungai Selangor), kita boleh tahu berapa jumlah petani diperlukan, jenis tanaman atau ternakan dan juga jumlah diperlukan.

“Ia (data) keperluan mendesak pada masa ini berikutan perkembangan pesat dunia yang memerlukan pelaksanaan pertanian pintar berasaskan teknologi,” katanya pada 14 Ogos.

Menyifatkan inisiatif itu langkah tepat, Mohd Bukhari percaya data sedemikian boleh membantu Selangor menjadi pusat pertanian utama untuk pasaran luar negara.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan melalui pelan pemulihan ekonomi yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

AgroData bertujuan melengkapkan kesenjangan antara permintaan dan penawaran bahan makanan, sekali gus membantu petani meningkatkan pengeluaran makanan.

Ia juga menawarkan penanaman secara teknologi tinggi atau pertanian pintar dan internet segalanya.