Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

AgroData lonjak sektor pertanian

SHAH ALAM, 20 OGOS: Inisiatif AgroData Selangor dijangka dapat meningkatkan pendapatan petani selain menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian utama negara pada masa depan.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata usaha ini bertujuan mengatasi masalah tiada maklumat tepat keperluan pasaran apabila data permintaan dan pengeluaran tidak lengkap.

Mohd Bukhari Bachok menjelaskan inisiatif itu juga mengelakkan petani atau penternak daripada kerugian kerana dapat menganggarkan jumlah pengeluaran hasil tani.

“Contohnya apabila Kerajaan Selangor mahu membuka 5,000 ekar tanah (di sepanjang Sungai Selangor), kita boleh tahu berapa jumlah petani diperlukan, jenis tanaman atau ternakan dan juga jumlah diperlukan.

“Ia (data) keperluan mendesak pada masa ini berikutan perkembangan pesat dunia yang memerlukan pelaksanaan pertanian pintar berasaskan teknologi,” katanya pada 14 Ogos.

Menyifatkan inisiatif itu langkah tepat, Mohd Bukhari percaya data sedemikian boleh membantu Selangor menjadi pusat pertanian utama untuk pasaran luar negara.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan melalui pelan pemulihan ekonomi yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

AgroData bertujuan melengkapkan kesenjangan antara permintaan dan penawaran bahan makanan, sekali gus membantu petani meningkatkan pengeluaran makanan.

Ia juga menawarkan penanaman secara teknologi tinggi atau pertanian pintar dan internet segalanya.

Categories
EXCO SELANGOR

AgroData bantu kenal pasti pertanian diperlu industri

SHAH ALAM, 18 JULAI: Inisiatif AgroData membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti jenis pertanian yang sesuai dipadankan dengan keperluan industri berdasarkan keluasan tanah sedia ada.

EXCO pertanian berkata usaha pengumpulan data yang dimulakan sejak setahun lalu itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

“AgroData ialah usaha Kerajaan Negeri untuk melengkapkan penyediaan maklumat sektor pertanian di Selangor.

“Ini membantu menghimpunkan semua informasi berhubung jenis pertanian, guna tanah dan industri yang memproses bahan pertanian atau industri asas tani,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

AgroData diperkenal untuk melengkapkan kesenjangan antara permintaan dan penawaran bahan makanan asas dapat membantu petani meningkatkan pengeluaran.

Inisiatif tersebut juga menawarkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian kepada golongan berkenaan.

Program itu akan dilaksanakan sepanjang gugusan Sungai Selangor di tanah berkeluasan 5,000 ekar seterusnya memastikan bekalan makanan terjamin.

Categories
AGENSI SELANGOR

AgroData lengkapi permintaan bahan makanan asas

SHAH ALAM, 13 JULAI: AgroData Selangor yang diperkenal untuk melengkapkan kesenjangan antara permintaan dan penawaran bahan makanan asas dapat membantu petani meningkatkan pengeluaran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut juga menawarkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian kepada golongan berkenaan.

“Pengumpulan data mengenai permintaan dan peluang pertanian akan diterjemah menerusi usaha penanaman secara teknologi tinggi atau ‘smart farming’ (pertanian pintar) dan aplikasi ‘internet of things’ (internet segalanya),” katanya.

Beliau menjelaskan program itu akan dilaksanakan sepanjang gugusan Sungai Selangor di tanah berkeluasan 5,000 ekar seterusnya memastikan bekalan makanan terjamin.

Amirudin berkata kawasan berkenaan berpotensi menjadi gedung simpanan dan pengeluaran makanan serta produk asas tani untuk negeri ini dan Lembah Klang.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Beliau berkata di bawah tonggak pertama keselamatan makanan, AgroData turut menawarkan penggunaan teknologi melalui sistem kitaran ekonomi dalam bidang pertanian.

Amirudin menjelaskan pengumpulan data mengenai permintaan dan peluang pertanian akan diterjemah melalui usaha penanaman berteknologi tinggi dan aplikasi internet segalanya.