Categories
SELANGOR

Program Bersama Agensi Kerajaan permudah urusan penduduk

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 8 OKT: Lebih 300 penduduk DUN Lembah Jaya menyertai Program Bersama Agensi Kerajaan di Dewan Sri Ampang, Taman Seri Ampang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha berkata, program anjuran pusat khidmatnya itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk menyelesaikan sebarang urusan di lapan agensi kerajaan.

Katanya, penganjurannya juga menjadi landasan untuk mempromosikan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat.

“Di antara perkhidmatan disediakan adalah Cabutan Sijil Kelahiran, pertukaran alamat pada kad pengenalan, urusan berkaitan saman kenderaan serta pemeriksaan kesihatan percuma.

“Kita turut menganjurkan sesi taklimat berkenaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), taklimat i-Suri oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengenalan kebun komuniti dan taklimat kewarganegaraan disampaikan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN),” katanya.

Terdahulu, Haniza yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merasmikan Program Bersama Agensi Kerajaan anjuran Pejabat ADN Lembah Jaya dengan kerjasama Jabatan Penerangan Hulu Langat serta lapan agensi lain.

Program bermula seawal 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu turut membuka peluang kepada penduduk tempatan berniaga selain penganjuran pertandingan mewarna.

Dalam majlis sama, Haniza turut menyerahkan kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada 24 penerima, 60 penerima kad Skim Peduli Sihat serta penyerahan foodbank kepada 35 peserta.