Categories
SELANGOR

Sidang DNS bertafakur ingati kematian bekas ADN Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bertafakur selama satu minit bagi mengingati pemergian bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor.

Speaker DNS, Ng Suee Lim berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah buat keluarga Bakhtiar.

“Kami merasa amat sedih dengan pemergian beliau, saya mohon dewan bertafakur selama satu minit, dan berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, Allahyarham Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menang dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Kini kerusi DUN berkenaan disandang Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional yang menang dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Beliau memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Categories
SELANGOR

Arwah sempat lawat tapak kerja baik pulih jalan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Mohd Bakhtiar Mohd Nor berkesempatan melawat perkembangan baik pulih jalan di Pekan Semenyih sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, pagi tadi.

Mohd Bakhtiar melalui laman facebooknya turut memaklumkan kerja berkenaan telahpun siap dan dijangka akan dibuka esok.

Terdahulu, Allahyarham dalam kenyataannya juga turut meminta maaf atas kesulitan yang dihadapi penduduk di situ.

Mohd Bakhtiar yang berusia 57 tahun itu meninggal dunia dipercayai akibat serangan sakit jantung di Hospital Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohd Bakhtiar menang kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).

Categories
SELANGOR

ADN Semenyih meninggal dunia akibat serangan jantung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Mohd Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada jam 4.45 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah berkata, Allahyarham yang berusia 57 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Jalan Sungai Lalang, Tekala dan akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

“Untuk makluman, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan golongan yang soleh,” katanya dalam kenyataan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohd Bakhtiar menang kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).