Categories
SELANGOR

Sidang DNS bertafakur ingati kematian bekas ADN Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bertafakur selama satu minit bagi mengingati pemergian bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor.

Speaker DNS, Ng Suee Lim berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah buat keluarga Bakhtiar.

“Kami merasa amat sedih dengan pemergian beliau, saya mohon dewan bertafakur selama satu minit, dan berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, Allahyarham Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menang dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Kini kerusi DUN berkenaan disandang Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional yang menang dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Beliau memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.