Categories
ADN SELANGOR

ADN: Jangan takut jalani pemeriksaan mammogram

SHAH ALAM, 8 OKT: Sempena bulan Kesedaran Kanser Payudara, wanita disaran untuk tidak berasa takut, malu atau bimbang menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, untuk tujuan itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSel) secara percuma buat semua wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Saya menyarankan wanita perlu mengambil serius berkenaan perkara ini sekali gus menjalani saringan Mammogram kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

“Jika kita dikesan mempunyai simptom kanser sekurang-kurangnya kita tahu lebih awal untuk melakukan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, seramai 60 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sudah menjalani pemeriksaan Mammogram di trak Majlis Kanser Nasional yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Permatang pada Mac lalu.

Manakala, baru-baru ini seramai 40 wanita DUN Permatang turut menjalani pemeriksaan itu di KPJ Klang pada 5 Oktober lalu.

Mula dilancarkan pada November 2010 sempena Sambutan Hari Wanita Desa 2010 peringkat negeri,
Program MammoSEL dirangka khusus untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita di Selangor.

Ia mula ditambah baik pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.

Untuk mendaftar, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Pusat Khidmat DUN berhampiran.

Categories
ADN SELANGOR

SHES buka ruang wanita maju ke hadapan

SHAH ALAM, 22 JUL: Program ‘Safe, Heal, Empower and Strength’ (SHES) membuka ruang kepada golongan wanita untuk terus maju ke hadapan, kata Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Program dengan kerjasama Majlis Prihatin Wanita Universiti Selangor (UNISEL) dan Kelab Psikologi Industri di bawah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial itu diadakan di Auditorium Za’ba, UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Rozana berkata, program itu adalah landasan terbaik memberi kesedaran kepada kaum wanita selain membuka ruang golongan terbabit mengatasi diskriminasi dan penindasan dihadapi.

“Perkongsian input pada program SHES ini yang memberi fokus kepada tajuk “Wacana Belia Wanita” banyak memberi pencerahan lebih mendalam berkenaan hak, diskriminasi dan pemerkasaan wanita.

“Harapan saya semoga program seumpama ini dapat dikongsi bukan sahaja dalam kalangan wanita, bahkan juga lelaki setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, slot perkongsian ilmu bertajuk “Wacana Belia Wanita” yang disampaikan oleh Dr Sharifah Syahira dan ceramah “Peranan Wanita Muslimah di Era Globalisasi” pula disampaikan Isfadiah Mohd Dasuki kedua-duanya mengupas isu berkenaan peranan dan hak wanita pada masa kini.

Hadir sama, pada program tersebut adalah Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak dan pensyarah serta pelajar Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial.

Categories
SELANGOR

Beli yang perlu, bawa bekas makanan sendiri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MEI: Bagi mengelakkan berlakunya pembaziran terutama di bulan Ramadan, masyarakat yang berkunjung ke bazar digalak membawa bekas makanan sendiri.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, amalan membawa bekas makanan sendiri ke bazar mampu mengelakkan terjadinya elemen pembaziran sebaliknya membeli mengikut keperluan bukan kehendak.

“Inisiatif ini juga bagi menyahut seruan kerajaan untuk kempen bebas plastik bagi menyelamatkan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

“Saya berharap orang ramai boleh menjadikan amalan membawa bekas sendiri ke bazar mahupun pasar pagi atau malam sebagai trend,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Rozana turut menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Rozana turut membawa bekas makanan sendiri sebagai usaha kecil menjayakan kempen “Katakan Tidak Pada Beg Plastik’.

 

Categories
SELANGOR

Kerja baikpulih rumah akibat ribut di Tanjong Karang selesai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 APR : Kerja baikpulih rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat ribut di Tanjong Karang pada awal  Februari lalu, telahpun selesai.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, bagaimanapun bagi kerja pembinaan semula rumah baru telah siap hampir 40 peratus.

Katanya, pembinaan semula itu membabitkan 14 buah rumah penduduk dengan kos baikpulihnya ditanggung sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Alhamdulillah semua kerja berjalan lancar, namun saya ingin nasihatkan jika penduduk ditimpa bencana akibat ribut sekali lagi, sila hubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau Pihak Berkuasa Tempatan untuk tindakan selanjutnya.

“Serta jangan lupa mengambil gambar keadaan rumah yang rosak dan buat laporan polis dengan segera.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kuala Selangor, Unit Bencana Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kebajikan Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anggota bomba serta pihak yang banyak membantu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan beberapa kampung di Tanjong Karang ditimpa bencana ribut terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Kejadian pada 10 Februari itu menyaksikan 48 kediaman mengalami kerosakan kecil, 91 kerosakan sederhana dan 24 lagi mengalami kerosakan serius.

Berita duka itu mendapat perhatian Dato Menteri Besar, Amirudin Shari dengan mengadakan lawatan ke lokasi kejadian ribut bagi melawat rumah mangsa di Kampung Sawah Sempadan, pada 13 Februari lalu.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Seri Tiram Jaya; Kampung Blok COJ; Kampung Blok DKPV dan Kampung Parit Serong.

Kejadian itu turut mengejutkan penduduk kerana cuaca pada hari berkenaan cerah dan tidak menunjukkan sebarang malapetaka akan menimpa pada waktu petang, hari yang sama.

Akibat kejadian berkenaan, MBI menyalurkan kira-kira RM1.6 juta buat kesemua 183 mangsa.

Jumlah tersebut merangkumi sumbangan baik pulih kerosakan rumah iaitu RM500 bagi kerosakan kecil, RM5,000 kerosakan sederhana, RM20,000 kerosakan serius dan RM50,000 bantuan untuk pembinaan semula.

 

Categories
SELANGOR

Had aktiviti luar ketika cuaca panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Ekoran cuaca panas yang melanda kini, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin, menyarankan masyarakat untuk mengelakkan kerap berada di luar terlalu lama.

Katanya, ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar anak mereka.

“Bagi mengelakkan strok haba, maka saya memohon supaya kita dapat hadkan aktiviti luar dan jika keadaan memerlukan untuk berada di luar, lebihkan minum air masak.

“Anda juga disaran untuk meminum air kelapa tanpa campuran gula supaya ia lebih berkesan untuk menggantikan air yang hilang daripada badan dalam cuaca panas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, penggemar kafein juga disaran untuk mengurangkan pengambilan minuman itu dan melebihkan buah-buahan serta sayuran dalam diet harian, bagi membantu membekalkan nutrien dalam badan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Negeri yang mencatatkan rekod bacaan suhu tertinggi adalah Kedah (36°), Perlis (35°), diikuti Selangor (34°), Melaka (34°), Johor (34°), Pahang (34°) dan Sabah (34°).

Categories
SELANGOR

Elak perceraian, jangan pendam masalah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Berikutan kes perceraian yang tinggi berlaku di Selangor sejak kebelakangan ini, masyarakat dinasihatkan supaya tidak memendam masalah yang mereka hadapi.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, sebaliknya masyarakat perlu meluahkan masalah kepada pihak bersesuaian.

“Apabila pasangan sama ada wanita atau lelaki memilih untuk pendam masalah, ia akan memudaratkan diri sekali gus potensi untuk bercerai agak tinggi.

“Bagaimanapun, seseorang itu harus berbalik kepada agama dan banyakkan terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan supaya mereka tidak berasa tersisih atau tertekan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, kebanyakan wanita mereka malu dan takut untuk meluahkan masalah kerana bimbang akan diperlekehkan masyarakat.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada wanita terutamanya untuk berani tampilkan diri berjumpa kaunselor atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersesuaian yang boleh membantu menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain berkata, Selangor mencatatkan angka tertinggi dalam kes perceraian membabitkan umat Islam dengan 11,297 kes direkodkan pada 2014 diikuti Sabah (7,421 kes) dan Johor (5,871 kes).

Angka ini terus meningkat menjadi 63,463 kes jumlah cerai pada 2015 yang mencatatkan Selangor mendahului dengan 11,873 kes diikuti Sabah (8,272 kes) manakala Johor (4,700 kes).