Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Nasihat ketika cuaca panas, awasi strok haba

SHAH ALAM, 30 JULAI: Perubahan monsun menyebabkan cuaca panas dan kering di negara ini, dijangka berterusan sehingga pertengahan September.

Walau tiada gelombang haba seperti negara lain, orang ramai yang ada kegiatan di luar rumah atau kawasan terbuka dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga apabila cuaca kering dan panas berterusan.

Cuaca panas boleh memberi tekanan kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan seseorang boleh jadi sederhana atau lebih serius sehingga boleh menyebabkan maut, misalnya, akibat strok haba. AFIX REDZUAN mengolah maklumat yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kumpulan berisiko

  • mereka yang bekerja di luar rumah (misalnya buruh, peladang, ahli sukan, tentera, atau polis)
  • orang dewasa (usia 40 tahun ke atas berisiko 10 kali ganda)
  • kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah
  • penghidap penyakit sistem pernafasan
  • penghidap darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid
  • risiko bertambah jika mereka memakai pakaian tebal dan ketat

Gejala panas melampau

  • sakit kepala
  • lemah tumpuan
  • lemah otot–otot atau kekejangan
  • jika teruk, boleh terjadi dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan koma

Kurangkan kesan akibat cuaca panas

  • banyak minum air kosong, jangan tunggu dahaga
  • ambil minuman isotonik (gantikan mineral hilang semasa berpeluh)

    Gambar hiasan
  • berada di dalam rumah atau bangunan
  • kurangkan aktiviti luar
  • kerap berehat
  • mandi atau gunakan kipas untuk sejukkan badan
  • pakaian ringan, warna terang dan longgar
  • pakai topi atau payung yang besar

Elakkan amalan ini

  • minuman ada kafein, alkohol atau tinggi kandungan gula
  • berada lama di dalam kereta tertutup
  • bersenam di bawah panas terik

Jika ada tanda masalah

  • keluar dari kawasan panas
  • tanggalkan pakaian ketat
  • letakkan kain basah pada badan
  • gunakan kipas untuk sejukkan badan
  • minum air setiap 15 minit
  • dapatkan bantuan jika masalah tidak dapat dikawal

Sumber:
Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 23 Jun 2014

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca panas: Paras air empangan Selangor melebihi 90 peratus

SHAH ALAM, 30 MAC: Paras air beberapa empangan di negeri ini melebihi 90 peratus meskipun negara mengalami cuaca kering dan panas yang boleh menjejaskan muatan takungan air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata kapasiti air Empangan Sungai Tinggi pada paras 88.27 peratus dan Empangan Sungai Langat (87.96 peratus).

“Walaupun begitu, Kerajaan Negeri sedang memantau susulan Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan negara memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut menyebabkan kurangnya taburan hujan serta cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.

“Justeru, paras air empangan dijangka akan mengalami penurunan. Tetapi kita sentiasa bersiap sedia dengan melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan kuantiti sumber air mencukupi dan bekalan air terawat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Turut bersiaran, Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Nor Aziah Jaafar.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beberapa inisiatif diambil bagi memastikan bekalan air mencukupi iaitu melaksanakan operasi pengepaman air kolam di Lembangan Sungai Selangor sehingga 800 juta liter sehari (JLH).

Selain itu, katanya, pengepaman masuk bekalan air alternatif dari HORAS 600 sehingga 300 JLH turut dilaksanakan.

“Langkah ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam Skim Jaminan Air Mentah Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Infrastruktur yang dipengerusikan oleh Izham Hashim,” katanya.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kerap terdedah cuaca panas melampau boleh kena strok haba

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Bahang cuaca panas yang dirasai pada ketika ini adalah fenomena biasa yang berlaku setiap tahun, namun itu tidak bermakna orang ramai boleh mengambil ringan risikonya terutama dalam aspek kesihatan.

Ini memandangkan, pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku kepada mana-mana individu yang terdedah dengan kepanasan melampau secara berterusan dalam jangka masa lama sepanjang tempoh ini sama ada implikasi kesihatan tahap sederhana mahupun pada tahap serius yang boleh mengundang maut seperti strok haba.

Mengulas mengenainya, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu itu kerap berpeluh dan kesannya akan menyebabkan cecair dalam tubuh badan berkurangan.

Sekiranya keadaan ini berterusan dan tiada langkah pencegahan atau diatasi, ia berisiko menyebabkan individu terbabit mudah berasa letih, kurang bertenaga, lemah otot-otot atau kekejangan serta dalam situasi lebih teruk berisiko menyebabkan dehidrasi, kerosakan organ badan seperti buah pinggang, otak, jantung dan hati mahupun mengalami strok haba.

Berdasarkan laman sesawang http://www.myhealth.gov.my/strok-haba-heat-stroke/, strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (iaitu pada 41 darjah Celsius atau lebih) akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal.

Keadaan ini yang disebabkan kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak, boleh dikenal pasti menerusi beberapa gejala seperti denyutan jantung menjadi cepat, pernafasan cepat dan pendek mahupun tekanan darah menurun.

“Berpeluh adalah antara cara badan cuba menyejukkan tubuh ketika panas. Panas berpanjangan akan menyebabkkan ‘tekanan’ untuk badan, berpeluh dan ini menyebabkan kehilangan mineral seperti sodium dan potassium.

“Sedangkan air dan mineral adalah sangat perlu untuk fisiologi badan. Contohnya, untuk mengalirkan darah, mengepam darah ke dan dari jantung dan mengalirkan ke buah pinggang. Air diperlukan apabila darah disaring melalui buah pinggang untuk fungsi fisiologi badan yang normal.

Air di Denmark boleh diminum terus dari paip. Foto BERNAMA

“Kekurangan mineral boleh menyebabkan gangguan sel saraf dan jantung, maka pernafasan dan denyutan jantung boleh terjejas dan terhenti,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel baru-baru ini.

Golongan berisiko

Sejak kebelakangan ini, isu cuaca panas yang dialami ketika ini hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Malah, ada antaranya menyatakan keterikan cahaya matahari ini begitu terasa sehinggakan penghawa dingin yang dipasang di rumah bersama kipas pun, masih belum mampu menyejukkan suhu badan.

Bahang cuaca agak panas yang dialami ketika ini adalah disebabkan negara pada masa ini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac (2021).

Kebiasaannya, dalam tempoh ini taburan hujan memang agak berkurangan di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung, pedalaman Pahang dan Kelantan sekali gus menyebabkan cuaca menjadi agak panas.

Merujuk data status gelombang haba pada laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sebanyak sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat pukul 5.00 petang, Sabtu (6 Mac 2021), yang merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Kawasan terbabit melibatkan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Sepang, Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin, Tangkak dan Batu Pahat. Bagi seluruh kawasan Sabah dan Sarawak pula berada dalam pemantauan MetMalaysia dengan merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Mengulas lebih lanjut mengenai masalah atau kesan kesihatan akibat panas melampau ini, Dr Sharifa Ezat berkata ia boleh menyerang sesiapa sahaja namun ada beberapa golongan tertentu yang lebih berisiko seperti gelandangan, warga emas, wanita mengandung.

Selain kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, mereka yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah jantung dan orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.

“Merujuk laman sesawang WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dari 1998 sehingga 2017, lebih 166,000 manusia meninggal dunia akibat gelombang panas termasuk lebih 70,000 meninggal semasa gelombang panas di Eropah.

“Ini bermakna masyarakat tidak boleh ambil ringan mengenai risiko cuaca panas. Malah, ada kajian menunjukkan pesakit buah pinggang kronik (CKD) juga meningkat kematiannya dalam keadaan gelombang haba berlaku,” katanya.

Ubat

Malah, beliau berkata laporan dari Centers for Disease Control and Prevention (CDC) turut menyatakan beberapa jenis ubat boleh meningkatkan risiko kesihatan hipertermia atau strok haba dan kematian berkait haba, antaranya ubat anti psikotik, ubat tidur, antihistamin, ubat mencegah kemurungan dan ubat merawat parkinson.

Manakala ubat darah tinggi dan jantung seperti diuretic juga boleh menyebabkan urinasi lebih kerap, kehilangan garam dalam badan serta dehidrasi mudah berlaku semasa gelombang panas.

Selain rawatan yang menyebabkan buang air besar menjadi kerap (laksatif) juga mempunyai kesan sama serta beberapa ubat yang digunakan untuk merawat jantung (seperti dari jenis anticholinergics dan beta-blockers) dan ubat anti alergi boleh mengurangkan berpeluh serta sukar melepaskan panas dalam badan.

“Strok haba yang mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia. Tetapi, dalam keadaan cuaca panas sememangnya kena berhati-hati terutamanya golongan berisiko seperti mereka yang terdedah kepada cahaya matahari pada jangka masa lama mahupun pesakit yang mengambil ubat tertentu yang berisiko kepada dehidrasi sehingga berisiko kepada strok haba.

“Golongan pesakit ini perlulah berjumpa doktor yang merawatnya untuk memberitahu supaya menukar dos atau menukar ubat supaya mereka tidak mengalami dehidrasi kesan daripada ubat tersebut sekali gus berisiko kepada strok haba,” katanya.

Biarpun keadaan strok haba sehingga mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia, beliau berkata risikonya tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja sepanjang tempoh cuaca panas yang agak melampau ini.

Justeru, masyarakat disarankan sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan banyak meminum air dan bukannya hanya ketika dahaga, pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar, pakai topi atau payung besar serta mengurangkan aktiviti luar rumah.

Selain elak minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi mahupun membiarkan seseorang berada di dalam kereta yang tertutup tanpa adanya pengudaraan baik atau penghawa dingin.

“Jika ada sesiapa melihat seseorang itu mempunyai tanda atau gejala masalah berkaitan suhu panas, mereka bolehlah membawa mangsa ke tempat yang selamat dan sejuk sebelum dia dibawa ke klinik atau hospital.

“Baringkan mangsa dan angkat kakinya supaya lebih tinggi dari dada (paras jantung) serta longgarkan baju mangsa supaya ada peredaran udara, letakkan tuala sejuk/ais di leher, ketiak, paha untuk darah segera sejuk. Jika mangsa pengsan, elakkan mangsa dari minum apa-apa dan baringkannya ke sisi,” katanya.

Luar biasa?

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah bahang cuaca panas yang dihadapi pada masa ini yang berisiko kepada pelbagai masalah kesihatan adalah luar biasa berbanding tahun sebelumnya?

Mengulas mengenainya, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon menerusi e-mel berkata MetMalaysia tidak menjangkakan cuaca panas yang melanda negara dalam tempoh ini adalah panas luar biasa kerana ia adalah keadaan yang biasa berlaku bagi tempoh Februari hingga pertengahan April setiap tahun.

“Suhu maksimum tertinggi 1 Feb hingga 2 Mac 2021 setakat ini ialah 37 darjah Celsius iaitu pada 2 Mac 2021 di Stesen Meteorologi LT Alor Setar, Kedah. Namun, suhu tersebut masih lagi rendah dibandingkan dengan suhu maksimum tertinggi Mac pernah direkodkan di Alor Setar iaitu 39.1 darjah Celsius pada tahun 1998 dan 2016,” katanya.

Menurutnya, situasi panas ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Indochina turut merekodkan titik panas yang tinggi.

“Hujan dan ribut petir di satu dua tempat boleh berlaku pada sebelah petang terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Manakala tiada hujan dijangkakan di negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, Prof Dr. Fredolin Tangang pula berkata antara faktor lain yang menyumbang peningkatan suhu ketika ini adalah negara sedang menuju kepada fenomena Ekuinoks yang biasanya berlaku pada 20 Mac setiap tahun di mana matahari berada pada kedudukan di atas Khatulistiwa sekali gus meningkatkan pancaran matahari dan suhu.

Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Faktor (seterusnya), rantau Malaysia dan Indonesia pada ketika ini mengalami fasa perolakan terhalang Ayunan Madden-Julian, iaitu satu fenomena iklim berskala besar yang muncul di Luatan Hindi dan bergerak ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Indonesia dan Malaysia. Ayunan ini boleh membawa keadaan lebihan curahan hujan (perolakan meningkat) atau pengurangan atau ketiadaan hujan (perolakan terhalang).

“Menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim, Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA), Amerika Syarikat, pada 1 Mac 2021, pusat perolakan terhalang wujud di Lautan Hindi dan ini sedang bergerak ke kawasan Malaysia dan Indonesia dan dijangka meningkatkan keadaan kekeringan dan cuaca panas sekurang-kurangnya dua minggu akan datang,” katanya.

Pembakaran terbuka/Jerebu

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air semasa cuaca panas, peka dengan perubahan cuaca serta mengelakkan pembakaran terbuka.

Pembakaran terbuka semasa cuaca panas menjadi antara polemik yang dibangkitkan baru-baru ini memandangkan ia antara punca berlakunya jerebu di beberapa kawasan.

Malah, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata punca kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara disebabkan oleh peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lepas (2021).

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM, Dr Shahrul Mohd Nadzir melahirkan kebimbangan corak pemikiran masyarakat terhadap cuaca panas yang sering kali tidak diambil serius termasuklah dalam isu pembakaran terbuka.

“Sekarang, orang yang berpangkat, berpendidikan tinggi atau sederhana juga melakukan perkara sama. Mungkin dahulu, orang lama menggunakan pendekatan pembakaran sampah atau sebagainya sebagai salah satu cara mudah melupus sampah.

“Tetapi menyedihkan, zaman era revolusi 4.0 perkara ini masih lagi berlaku. Ini (menunjukkan) corak pemikiran yang tidak menganggap serius ancaman alam sekitar yang pernah berlaku di negara kita. Isu pencemaran udara yang pernah melanda negara seperti Pasir Gudang dan jerebu sepatutnya diambil ikhtibar dengan mendalam kerana ia telah memberi impak teruk kepada kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Mesin penapis air antara punca bil elektrik tinggi

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor Ismail Lathifi Teh berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

Ismail Lathifi berkata jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembakaran terbuka dalam cuaca panas punca jerebu

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini merupakan ‘jerebu tempatan’ yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan yang kurang dan aktiviti pembakaran terbuka menyumbang kepada indeks pencemaran udara yang tidak sihat seterusnya menyebabkan jerebu.

“Memang ada kena-mengena (cuaca panas), kita tidak banyak menanam (tumbuhan), sebaliknya banyak aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihkan kebun dan sebagainya, maka ia menyebabkan jerebu tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini, sambil menafikan ia berpunca daripada pencemaran dari negara jiran.

Beliau berkata menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat juga kebakaran di kawasan hutan simpan pada ketika ini.

Justeru, katanya MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.

Sebelum ini MetMalaysia memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.

Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung.

Bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi tadi, tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183 diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Cara jimat elektrik semasa cuaca panas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga bulan depan boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, oleh itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan panduan bagi menjimatkan tenaga elektrik di waktu cuaca panas.

Antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Menurut panduan itu, ketika cuaca panas terik tindakan menutup tingkap dengan langsir tebal boleh menghalang haba masuk dan bebankan pendingin hawa, semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan, suhu bilik akan berada dalam keadaan selesa dan menetapkan masa untuk mematikan penyaman udara juga boleh menjimatkan penggunaan elektrik.

TNB dalam kenyataan turut menekankan, cuaca yang panas ini boleh dimanfaatkan dengan menjemur pakaian daripada menggunakan mesin pengering pakaian dan elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

Pengguna digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Meter Pintar berupaya memantau penggunaan elektrik secara langsung, oleh itu, pengguna boleh mengendalikan tenaga dengan lebih efisien kerana meter ini boleh menghantar maklumat penggunaan tenaga kepada pengguna.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor tidak hujan hingga Selasa

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor diramal tidak hujan sejak hari ini hingga Selasa.

Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), ribut petir berlaku di satu dua tempat antara Rabu hingga Jumaat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http://www.met.gov.my/forecast/weather/state/St008 atau Facebook Malaysian Meteorological Department

Nota editor: Laporan asal tidak tepat. Pihak kami memohon maaf atas kekeliruan berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuaca panas diramal berterusan sehingga Oktober ini

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata, selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

“Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering.Tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober,” katanya ketika ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata, kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang telah diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran,” katanya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara ASEAN lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat Asean telah dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya penjanjian ASEAN Mengenai Jerebu merentasi sempadan yang ditandatangani oleh 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cuaca panas: Kurangkan aktiviti fizikal, luar bangunan

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, antara lain ​​​​​mengurangkan aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask), payung dan topi ​​sekiranya berada di luar.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan ​​​orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.

“Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar,” katanya.

Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, ​​​​​​​terdapat​​​​​​​ 11 kawasan di enam negeri dilapor berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap Satu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan ini ialah Chuping di Perlis; Pendang, Sik, Kota Setar ​​​​​​​​​​​​​​(Kedah); Hulu Perak dan Kinta (Perak); Jerantut (Pahang); Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan); dan Tangkak di Johor.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan berpunca daripada beberapa kejadian kebakaran hutan dan belukar ​​​​​​​sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Had aktiviti luar ketika cuaca panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Ekoran cuaca panas yang melanda kini, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin, menyarankan masyarakat untuk mengelakkan kerap berada di luar terlalu lama.

Katanya, ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar anak mereka.

“Bagi mengelakkan strok haba, maka saya memohon supaya kita dapat hadkan aktiviti luar dan jika keadaan memerlukan untuk berada di luar, lebihkan minum air masak.

“Anda juga disaran untuk meminum air kelapa tanpa campuran gula supaya ia lebih berkesan untuk menggantikan air yang hilang daripada badan dalam cuaca panas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, penggemar kafein juga disaran untuk mengurangkan pengambilan minuman itu dan melebihkan buah-buahan serta sayuran dalam diet harian, bagi membantu membekalkan nutrien dalam badan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Negeri yang mencatatkan rekod bacaan suhu tertinggi adalah Kedah (36°), Perlis (35°), diikuti Selangor (34°), Melaka (34°), Johor (34°), Pahang (34°) dan Sabah (34°).

Categories
NASIONAL

Cuaca panas, sekolah diminta ambil langkah perlu

PUTRAJAYA, 15 FEB: Kementerian Pendidikan menasihatkan pengurusan sekolah supaya mengambil langkah berjaya-jaga ekoran cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negara kini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya di beberapa negeri di utara serta Pantai Timur juga beberapa daerah, di Melaka.

“Pihak pengurusan sekolah perlu memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada cuaca panas; menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca panas; memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di sekolah dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai.

“Selain itu, sekolah juga perlu membekalkan air minuman kepada pelajar asrama yang berdepan sumber air kritikal dan bekerjasama dengan klinik jika murid berdepan komplikasi cuaca,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah mematuhi arahan dikeluarkan.

Katanya, semua sekolah diingatkan supaya lebih peka akan bahaya cuaca panas dan mengambil tindakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard.

“Kementerian juga akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa terhadap sebarang perubahan berkaitan fenomena yang dialami pada masa ini,” katanya.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Cuaca panas dijangka berterusan hingga hujung Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

“Lazimnya, ketika fasa akhir monsun timur laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu berikutan kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celsius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celsius.

“Negeri di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan di bahagian utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celsius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celsius di negeri berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri pantai timur dan Sarawak.

Beliau berkata, taburan hujan yang dicatatkan di kebanyakan negeri berkenaan pada bulan ini juga rendah berbanding bulan lain.

“Bulan Februari ini memang taburan hujan dicatatkan sangat rendah terutama di negeri utara yang mana ada tempat langsung tidak menerima hujan.

“Kebanyakan negeri di utara mencatatkan hujan di bawah 50 milimeter (mm) dengan bilangan hari hujan yang dicatatkan hanyalah lima hari sebulan.

“Stesen Meteorologi Chuping sudah 27 hari tidak merekodkan hujan. Biasanya hujan yang dicatatkan adalah purata 15 hari sebulan. Di Lembah Klang pula, purata hujan yang dicatatkan bulan ini adalah 150mm berbanding 300mm pada bulan lain,” katanya.

Mohd Hisham berkata, suhu tinggi berlaku sekitar jam 2 hingga 4 petang di Pantai Barat Semenanjung, manakala di Sabah adalah sekitar jam 1 tengah hari hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, cuaca panas ini dijangka berakhir pada pertengahan peralihan monsun iaitu sekitar hujung Mac hingga Mei kerana ketika peralihan monsun, kadar hujan dijangka meningkat dan suhu dijangka beransur menurun,” katanya.

Ditanya sama ada cuaca panas terjadi berikutan El Nino, katanya, fenomena itu tidak memberi impak yang signifikan kepada cuaca negara ketika ini.

“Sekarang ini adalah proses pembentukan El Nino. Bagaimanapun, El Nino yang dijangka berlaku agak lemah dan kebarangkalian terjadi adalah 65 peratus.

“Impaknya kepada negara tidak signifikan kecuali di Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran dengan Lautan Pasifik yang mana El Nino berlaku berikutan pemanasan suhu di Lautan Pasifik,” katanya.

*Sumber: BERNAMA