Categories
SELANGOR

PR tangguh GST: Bantu tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat

azan ismail

SHAH ALAM 21 OKT: Langkah menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Peningkatan pendapatan boleh guna golongan itu menyebabkan kuasa membeli rakyat menjadi tinggi, sekali gus meningkatkan pengeluaran yang akhirnya memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Pahang, Azan Ismail, berkata pelaksanaan GST secara langsung turut membantu mengukuhkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2014 sebanyak 5.2 peratus yang diramal PR.

“Penangguhan GST bukan sahaja membantu menjaga kepentingan rakyat, tetapi realitinya mampu merangsang ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Azan berkata demikian ketika diminta mengulas ringkasan Belanjawan Alternatif PR 2014 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, perlaksanaan GST sering menjadi pilihan utama golongan menengah kerana menganggap GST kononnya mampu meringankan bebanan mereka membayar cukai kepada kerajaan.

“Golongan kaya anggap GST sistem ‘lebih adil’ kerana mahu memindahkan bebanan cukai kepada semua termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Realitinya golongan kaya sering mendapat pelbagai pengecualian cukai sama ada secara sah atau sebaliknya dengan pelbagai cara. Kita juga tahu ada syarikat besar yang mendapat pelepasan cukai sangat besar sebagai potongan ke atas sumbangan dana yang dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Azan berkata, unjuran KDNK 5.2 peratus yang dibuat PR dibuat berdasarkan kajian dan ramalan peningkatan ekonomi global.

“Saya sendiri pada mulanya agak terkejut dengan ramalam 5.2 peratus, tetapi ini bukti memperlihatkan unjuran dibuat secara bertanggungjawab berdasarkan perkembangan ekonomi global dan demi pertumbuhan positif ekonomi negara, bukan sesuka hati,” katanya. -NFN-