Categories
NASIONAL

Letakan jawatan satu tindakan bijak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Peletakan jawatan sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) disifatkan sebagai tindakan bijak, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, tindakan itu memudahkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membuat pilihannya.

“Perdana Menteri akan memutuskan siapa yang akan dilantik ke jawatan lembaga pengarah urusan itu.

“Biasanya perdana menteri (Tun M) akan membuat keputusan muktamad dan saya fikir kita patut biarkan hal itu atas kebijaksanaan beliau.

“Perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam,” katanya.

Terdahulu, Khazanah mengeluarkan kenyataan sah berhubung peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarah syarikat dana pelaburan terbabit.

Mereka termasuklah Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof.

Antara lain ialah Dato’ Seri Nazir Razak, Dato’ Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Tan Sri Raja Arshad Raja Uda

Sebelumnya, Perdana Menteri mendakwa syarikat dana pelaburan terbabit menyimpang daripada objektif asal penubuhannya untuk membantu kaum Bumiputera.