Categories
KENYATAAN MEDIA

Jaminan prihatin rakyat hanya retorik Umno BN

OLEH DATO’ JOHARI ABDUL

Dalam Majlis Konsultasi Bajet 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memberi jaminan akan memperhalusi dan memberi pertimbangan sewajarnya semua cadangan yang telah dikemukakan dalam majlis tersebut.

Menurut Najib Razak, majlis itu merupakan platform penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan memberi maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa serta langkah menanganinya membuktikan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahului kepentingan rakyat.

Namun, saya berpendapat bahawa penganjuran majlis itu hanya sekadar sesi luahan perasaan rakyat sahaja dan kemudian kerajaan tidak akan ambil pandangan atau maklumbalas mengenai apa yang sudah diutarakan.

Majlis seumpama ini bukanlah pertama kali dianjurkan malahan setiap tahun, apa yang dapat lihat saban tahun masalah sama masih tidak dapat diselesaikan tetapi pelbagai masalah pula timbul.

JOHARI ABDULJanji-janji yang dibuat oleh pihak pemerintah ini hanyalah menjelang pilihan raya sahaja dan pasti akan dilupakan selepas mereka memperolehi kemenangan.

Sepatutnya isu-isu rakyat harus diutamakan seperti kekurangan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, bebanan GST dan seumpamanya. Perlu ada suara-suara di luar yang mendidik, membentuk pandangan umum.

Isu-isu ini yang perlu dihadapi rakyat, di mana mereka mahukan penyelesaian segera. Kalau hanya pandai berjanji tanpa tindakan, ianya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil dan itu akan menambahkan tekanan kepada rakyat.

Selain itu, menurut Najib Razak, topik pendidikan banyak dibincangkan dengan wakil persatuan yang mana mereka secara jelas berharap peruntukan pendidikan ditingkatkan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya.

Walaupun telah menerima cadangan dan aduan, peruntukan pendidikan tetap dipotong saban tahun. Dimana kepentingan pendidikan?

Kita dapat lihat negara ini lebih banyak menghabiskan wang negara dengan melakukan projek mega yang tidak mendatangkan faedah daripada menjadikan pelajar sebagai aset negara pada masa akan datang.

UMNOBNRakyat dapat lihat dan nilai sendiri kerajaan di bawah pentadbiran Umno BN ini tidak peka dengan isu semasa, yang mereka tahu hanya bermain sandiwara dan memberi harapan kosong kepada rakyat.

Oleh itu, saya berharap rakyat bijak menilai ‘janji-janji’ yang ditaburkan oleh kerajaan dan dapat membuat keputusan tepat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

* Johari Abdul adalah Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR)

Categories
NASIONAL

Tekun: Tambahan dana RM700 juta tak bermakna kalau hanya untuk kepentingan politik Umno

johari-abdul

SHAH ALAM, 15 SEPT: Dana tambahan RM700 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga  (Tekun) tidak mencapai objektif mengangkat ekonomi bumiputera marhaen sekiranya tabung itu terus dijadikan alat politik Umno.

Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata tabung seperti itu sewajarnya membantu semua bumiputera tanpa mengira fahaman politik, ketika adanya aduan mendakwa pemohon disyaratkan menjadi ahli Umno.

Pertambahan dana untuk Tekun diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dakwaan perlunya menjadi ahli Umno ini, tegas beliau akan hanya menyebabkan ahli-ahli Umno sahaja yang mendapat faedah dari pertambahan dana Tekun.

“PKR tak bantah langsung menambahkan dana Tekun ini sebab Tekun ini sepatutnya untuk usahawan kecil bumiputera tetapi perlaksanaannya Perdana Menteri harus ‘colour blind’ fahaman politik.

“Dana ini tidak boleh hanya disalurkan kepada orang Umno sahaja, tidak menyeluruh kepada usahawan bumiputera sebab yang bukan Umno juga bayar cukai, tidak boleh dikecualikan menikmati faedah yang disediakan kerajaan,” kata Johari kepada TV Selangor.

Johari menambah Kerajaan Pusat juga harus memberi penekanan kepada kualiti keusahawanan melalui strategi proaktif secara berterusan.

Tambah Johari, kegagalan kerajaan mengambil langkah berkesan bukan sahaja akan menyebabkan kegagalan pembangunan usahawan, malahan Tekun juga terpaksa berhadapan dengan isu kegagalan usahawan  membayar semula pinjaman yang diberikan.

“Kita tak mahu kalau hari ini seorang usahawan itu proses dan jual kerepek cara tradisi, 15 tahun kemudian masih sama tetapi sepatutnya dia dah pakai mesin untuk melabel, pembungkusan dan dah boleh memasarkan produknya di pasaraya besar.

“Agensi berkaitan tak boleh tunggu sahaja di pejabat usahawan datang tetapi mereka perlu turun padang kenal pasti siapa yang patut dibantu dari segi ilmu termasuk pemasaran dan perlatan seperti mesin,” ujar Johari lagi.

Semalam, ketika mengumumkan tambahan Dana sebanyak RM700 juta kepada Tekun, Najib mensasarkan bilangan usahawan Tekun ditingkatkan daripada 270 ribu pada 2013 kepada 370 ribu pada 2015.