Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno bertanggungjawab atas kelemahan berterusan Bumiputera

nik-nazmi batik 01SHAH ALAM, 15 SEPT : Dasar Ekonomi Baru dibawah urustadbir Umno-Barisan Nasional telah gagal mengangkat martabat ekonomi Bumiputera, disebalik pelbagai retorik dan peruntukan berbilion ringgit untuk memperkasa pembangunan Bumiputera.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Umno sering menggunalan istilah Melayu, Bumiputera dan pembangunan secara seiring, namun taraf ekonomi golongan majoriti itu kekal lemah dibawah Umno-BN tidak dapat dinafikan. Turut mendukacitakan adalah keadaan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang daif berbanding Bumiputera di Semenanjung Malaysia.

“Umno-BN mesti menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia mengapa meskipun begitu lama DEB dilaksanakan dan berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, tetapi mobiliti sosial Bumiputera kekal rapuh dan memperlukan sokongan Kerajaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung  Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.

Muhyiddin berkata agenda ini merupakan pengukuhan komitmen Umno kepada pembangunan ekonomi Bumiputera, dan Umno tidak akan apologetik kepada masyarakat bukan Bumiputera dalam memperjuangkan matlamat itu.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata Umno terlebih dahulu perlu menjawab mengapa selepas 42 tahun DEB dikelola Umno-BN, golongan Bumiputera masih tidak mempunyai daya ekonomi untuk berdiri atas kaki sendiri.

“Mobiliti sosial hanyalah bermakna pada jangka masa panjang sekiranya fenomena ini dapat bertahan sendiri. Justeru, mobiliti sosial seharusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang tanpa bantuan yang berterusan,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, Umno perlu menjelaskan kebocoran RM54 bilion saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur, seperti yang dilaporkan Bernama, 30 Jun 2010.

“Tiga tahun lalu Najib mengakui bahawa daripada RM54 bilion nilai saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera, hanya RM2 bilion yang kekal di tangan masyarakat itu. Ke manakah pergi saham yang lain?” soal beliau.

Nik Nazmi juga mendesak Umno memberi alasan mengapa jurang sosioekonomi di dalam masyarakat Bumiputera semakin melebar, disebalik kepercayaan yang diberikan kepada parti itu.

“Banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Bumiputera, termasuk hakikat bahawa pendapatan purata masyarakat Cina Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dengan nisbah 1: 1.43 dan effective control terhadap syarikat korporat hanyalah 10 peratus,” katanya.

Hakikatnya, tegas Nik Nazmi, UMNO bertanggungjawab di atas kelemahan berterusan masyarakat Bumiputera.

“Berapa lamakah penyelesaian kepentingan dan masalah sebenar masyarakat bukan Bumiputera perlu ditangguhkan atau tidak diendahkan sementara Kerajaan memainkan sentimen masyarakat Bumiputera hingga hubungan antara kaum menjadi korban?

Beliau berkata, inisiatif terbaru Najib tidak memberi keyakinan bahawa isu pokok yang dihadapi masyarakat Bumiputera sekarang dapat diatasi.

Malah katanya, langkah-langkah yang diumumkan itu adalah lebih kepada memastikan survival politik terhadap individu tertentu, bukannya keprihatinan sebenar untuk mengangkat martabat Bumiputera.

“Semua rakyat menjadi mangsa kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno-BN yang lebih mementingkan retorik daripada perkara-perkara substantive. Pendekatan Kerajaan hanyalah membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah tersebut akan selesai,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tekun: Tambahan dana RM700 juta tak bermakna kalau hanya untuk kepentingan politik Umno

johari-abdul

SHAH ALAM, 15 SEPT: Dana tambahan RM700 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga  (Tekun) tidak mencapai objektif mengangkat ekonomi bumiputera marhaen sekiranya tabung itu terus dijadikan alat politik Umno.

Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata tabung seperti itu sewajarnya membantu semua bumiputera tanpa mengira fahaman politik, ketika adanya aduan mendakwa pemohon disyaratkan menjadi ahli Umno.

Pertambahan dana untuk Tekun diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dakwaan perlunya menjadi ahli Umno ini, tegas beliau akan hanya menyebabkan ahli-ahli Umno sahaja yang mendapat faedah dari pertambahan dana Tekun.

“PKR tak bantah langsung menambahkan dana Tekun ini sebab Tekun ini sepatutnya untuk usahawan kecil bumiputera tetapi perlaksanaannya Perdana Menteri harus ‘colour blind’ fahaman politik.

“Dana ini tidak boleh hanya disalurkan kepada orang Umno sahaja, tidak menyeluruh kepada usahawan bumiputera sebab yang bukan Umno juga bayar cukai, tidak boleh dikecualikan menikmati faedah yang disediakan kerajaan,” kata Johari kepada TV Selangor.

Johari menambah Kerajaan Pusat juga harus memberi penekanan kepada kualiti keusahawanan melalui strategi proaktif secara berterusan.

Tambah Johari, kegagalan kerajaan mengambil langkah berkesan bukan sahaja akan menyebabkan kegagalan pembangunan usahawan, malahan Tekun juga terpaksa berhadapan dengan isu kegagalan usahawan  membayar semula pinjaman yang diberikan.

“Kita tak mahu kalau hari ini seorang usahawan itu proses dan jual kerepek cara tradisi, 15 tahun kemudian masih sama tetapi sepatutnya dia dah pakai mesin untuk melabel, pembungkusan dan dah boleh memasarkan produknya di pasaraya besar.

“Agensi berkaitan tak boleh tunggu sahaja di pejabat usahawan datang tetapi mereka perlu turun padang kenal pasti siapa yang patut dibantu dari segi ilmu termasuk pemasaran dan perlatan seperti mesin,” ujar Johari lagi.

Semalam, ketika mengumumkan tambahan Dana sebanyak RM700 juta kepada Tekun, Najib mensasarkan bilangan usahawan Tekun ditingkatkan daripada 270 ribu pada 2013 kepada 370 ribu pada 2015.