Categories
SELANGOR

Pangsapuri Taman Keramat Permai retak selamat diduduki

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 2 MEI: Keputusan siasatan lengkap berhubung keretakan serius yang berlaku di Pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai, di sini, 26 April lalu, didapati selamat diduduki.

Ketua Unit Pengurusan Bencana, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, hasil kajian yang dilakukan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bersama Perunding ZNA (ASIA) Sdn Bhd didapati bangunan dan struktur flat itu selamat dan tiada sebarang kecondongan berlaku.

Katanya, penduduk mula dibenarkan kembali ke Blok F mulai Sabtu ini seawal jam 8 pagi manakala pusat pemindahan akan ditutup secara rasmi pada jam 2 petang hari yang sama.

“Hasil pengumpulan data dan penilaian sejak 27 April lalu sehingga semalam didapati tiada sebarang kecondongan berlaku di flat ini dan perunding turut mengesahkan bangunan selamat diduduki.

“Bagaimanapun, kerja pembaikan struktur keretakan bangunan sudah dilakukan sejak semalam oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tempoh baik pulih itu mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Pusat Komuniti Wanita dan Belia Hulu Kelang, Keramat Permai, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada penduduk tetap akan tinggal di pangsapuri terbabit semasa kerja baik pulih dilaksanakan, Ahmad Fairuz berkata, penduduk tidak perlu khuatir kerana pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa.

Katanya, pihaknya memberi jaminan sepanjang kerja baik pulih dijalankan gangguan kepada penduduk hanya pada kadar minimal sahaja.

“Kita sudah memasang ‘prop’ untuk menyokong struktur keretakan itu walaupun tiada pergerakan aktif dan penduduk tidak perlu khuatir.

“Pemantauan juga akan tetap dijalankan secara berterusan selama enam bulan selepas kerja baik pulih selama sebulan itu siap,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari pada 26 April lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit.

Susan kejadian itu ia memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Manakala, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Jumlah penghuni pusat pemindahan meningkat kepada 77 orang

KUALA LUMPUR, 28 APR: Jumlah mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat susulan keretakan di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di sini meningkat kepada 77 orang malam tadi berbanding 38 tengah semalam.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan di sekolah itu sehingga pihak berwajib membuat pengesahan mengenai tahap keselamatan pangsapuri berkenaan.

“Kawasan pangsapuri itu kini berada di bawah kawalan pihak polis selama 24 jam dan bacaan alat khas bagi mengesan pergerakan tanah diambil setiap dua jam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dilakukan, yang dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk memperoleh keputusan sama ada bangunan empat tingkat itu selamat diduduki, dan menurutnya pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga masih ditempatkan di kawasan pangsapuri itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Semalam, lebih 200 penghuni pangsapuri berkenaan dikehendaki berpindah susulan keretakan aktif di bangunan itu.

SMK Taman Keramat dijadikan pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan bagi penduduk terlibat namun ada penghuni pangsapuri itu yang memilih untuk tinggal bersama saudara mara atau menginap di hotel.

– BERNAMA

 

 

 

Categories
SELANGOR

Retakan masih aktif, alat pengesan dipasang

KUALA LUMPUR, 27 APR: Satu alat khas dipasang bagi mengesan pergerakan tanah di sekitar Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di sini yang dilaporkan mengalami keretakan semalam, memandangkan keretakan itu dilihat masih aktif hari ini.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, Jabatan Kerja Raya memasang alat pengesan berkenaan hari ini bagi pemeriksaan lanjut, yang dijangka berlarutan sehingga Isnin, dan kemudian barulah keputusan sama ada bangunan empat tingkat itu selamat untuk diduduki akan diketahui.

“Kami perlukan maklumat dahulu sebelum buat keputusan bangunan itu boleh diduduki, diperbaiki atau sebaliknya ,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara bagi penduduk terjejas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat hari ini.

Beliau berkata, sembilan keluarga membabitkan 38 individu berada di pusat pemindahan itu setakat pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kita telah mengarahkan pengosongan bangunan berkenaan malam tadi dan ada penghuni memilih untuk tinggal bersama saudara di kawasan lain. Kami jangka akan lebih ramai penghuni bangunan berkenaan mendaftar untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan kemudahan asas seperti toto, bantal serta makanan untuk mangsa yang berada di pusat pemindahan.

“Pihak kami juga akan membuat aktiviti tertentu untuk kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan untuk warga emas,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Zaid Hassan berkata, pos kawalan dibuka selama 24 jam dengan lima hingga lapan anggota ditempatkan untuk kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“Penduduk yang ingin mengambil barang perlu melapor diri terlebih dahulu, kita tidak mahu kejadian jenayah berlaku,” katanya.

Lebih 200 penghuni pangsapuri berkenaan dikehendaki berpindah susulan keretakan aktif di bangunan itu dilaporkan berlaku semalam.

SMK Taman Keramat dijadikan pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan bagi penduduk terlibat namun, tinjauan Bernama mendapati ada yang memilih untuk tinggal bersama saudara mara atau menginap di hotel.

— BERNAMA