Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kit ujian percuma jimatkan belanja keluarga dijangkiti Covid-19

PETALING JAYA, 14 OGOS: Inisiatif Selangor mengagihkan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur kepada keluarga dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi merupakan usaha baik membantu rakyat.

Zalina Bujang.

Suri rumah Zalina Bujang, 55, berkata inisiatif itu membantu masyarakat berasa lebih selamat sama ada ketika berada di dalam atau luar rumah sekaligus mencegah penularan wabak.

“Pengalaman saya dijangkiti Covid-19 pada Julai lalu dan berada di hospital selama 10 hari dengan memakai alat bantuan pernafasan amat memeritkan.

“Justeru inisiatif kit saringan percuma sudah pasti memberi kelegaan kepada keluarga terkesan. Jika boleh mengesan awal wabak, mereka dijangkiti boleh terus menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Pemandu lori M Suventhran, 48, berkata pemberian kit saringan membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga dijangkiti yang sedang berdepan saat sukar.

M Suventhran

“Kebiasaannya apabila ada antara ahli keluarga dijangkiti, perbelanjaan meningkat contohnya untuk membeli vitamin, peralatan membasmi kuman serta pelbagai keperluan lain.

“Jadi, kit saringan yang diberikan kepada keluarga dijangkiti sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.

Pekerja swasta Ronald Tan, 34, berkata usaha baik Kerajaan Negeri mengekang penularan Covid-19 wajar disokong oleh semua pihak.

“Saya menyokong inisiatif ini kerana rakyat tidak perlu keluarkan duit untuk beli kit saringan terutama dalam keadaan kebanyakan pendapatan keluarga yang terjejas, ” katanya.

Kelmarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 60,000 kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur akan diagih kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi di negeri ini mulai September.

Kit saringan berkenaan akan dibekal kepada 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Peranti guna air liur kesan Covid-19 capai sensitiviti 90 peratus

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati dua peranti ujian kendiri (ujian rapid antigen) yang menggunakan air liur bagi saringan Covid-19, mencapai tahap sensitiviti 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata kajian yang dijalankan IMR telah selesai dan perincian panduan penggunaan kit ujian kendiri itu dijangka selesai pada minggu depan.

“Dua ujian kendiri air liur telah selesai dikaji oleh IMR dan kedua-dua mempunyai sensitiviti melebihi 90 peratus. MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan) sedang memperincikan panduan penggunaan dan Insya-Allah akan selesai minggu depan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter hari ini.

Pada Mei lepas, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat dua syarikat menawarkan kit ujian itu untuk dijual di farmasi tempatan.

Katanya, menerusi penggunaan kit ujian air liur itu, individu tidak perlu hadir ke fasiliti kesihatan untuk membuat saringan awal bagi mengesan Covid-19.

-BERNAMA