Categories
SELANGOR

Air Selangor sedia 74 lori tangki bantu pengguna terjejas

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyediakan 10 tangki statik dan 74 lori tangki air sebagai bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas akibat tiga paip utama pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping di Klang, Sabtu lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago dalam kenyataan hari ini berkata dua Pusat Khidmat Setempat di Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Parkland serta lima pili awam di Masjid Rahimah, Seksyen 16 dan Bandar Bukit Raja dibuka bagi orang awam mendapatkan bekalan air bantuan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata SPAN akan melakukan siasatan terperinci berkaitan kejadian berkenaan di bawah peruntukan Seksyen 122, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Beliau berkata pemantauan rapi kerja-kerja pembaikan ke atas paip-paip itu dilakukan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan segera.

“Susulan kejadian, Air Selangor melaksanakan tindakan menutup injap bekalan ke paip berkenaan dan menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan segera. Kerja-kerja pembaikan mengalami kesukaran disebabkan keadaan tapak yang masih berlaku pergerakan tanah, dan Air Selangor sedang melaksanakannya secepat mungkin dengan pemantauan SPAN,” katanya,

Sejak minggu lepas, kejadian itu menjejaskan pengguna di 65 kawasan sekitar Klang khususnya mereka yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor rancang perbelanjaan modal RM30 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merancang memperuntukkan perbelanjaan modal RM30 bilion dalam tempoh 30 tahun bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air bersih di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rancangan terbabit berdasarkan cadangan yang dikemukakan di dalam Draf Rancangan Perniagaan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Mengikut ketetapan yang dipersetujui melalui Perjanjian Tambahan Ketiga bagi Penstrukturan Air di Selangor yang telah ditandatangani pada 4 Januari lalu, Air Selangor akan diberi tempoh sehingga empat bulan setelah tarikh kuatkuasa lesen perkhidmatan untuk menyiapkan Rancangan Perniagaan bagi kelulusan SPAN.

“Pihak Kerajaan Negeri menjamin rancangan perniagaan tersebut telah mengambil kira pelbagai aspek, bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan bekalan air pada hari ini, malahan ia haruslah mampan dan memandang ke hadapan dalam memastikan setiap pelaburan yang dibuat itu, menjana hasil seperti yang dikehendaki,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, rancangan perbelanjaan modal terbabit mengambil kira keperluan untuk memastikan kemampuan perkhidmatan air dalam pelbagai aspek terjamin.

Antara aspek diambil kira adalah pembinaan loji baharu, baik pulih loji sedia ada, peningkatan rezab margin, penambahbaikan keandalan (reability) dan ketahanan aset, meningkatkan kecekapan operasi, pematuhan kualiti air dan menambahbaik mutu khidmat pelanggan.

Selain itu perbelanjaan modal itu juga membabitkan usaha menurunkan kadar Air Tidak Berhasil, antara lain dengan penggantian paip-paip lama dan paip-paip komunikasi, termasuk penggunaan teknologi terkini.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, Air Selangor turut komited di dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan mesra alam,” katanya.