Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Airasia Food lebar niaga ke Johor, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Hampir setahun sejak diperkenalkan di kawasan Lembah Klang, Airasia Food kini bakal melebarkan sayapnya ke bandar raya utama lain di negara ini bermula dengan Johor dan Pulau Pinang bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Riad Asmat berkata perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan sangat positif terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan semula antara tempoh Oktober hingga Disember 2020, dan menjanjikan prospek yang baik melangkah ke tahun 2021.

Beliau berkata di bawah pelan pengembangannya, syarikat itu memulakan program keusahawanan untuk melatih lebih ramai tenaga kerja bagi menampung potensi pasaran pada masa akan datang serta mendapatkan lebih banyak peniaga menyertai platformnya.

“Orang ramai sedang mencari lebih banyak pilihan (perkhidmatan penghantaran makanan) ketika ini dan tawaran kami di Airasia Food, sama ada daripada perspektif pelanggan dan peniaga, boleh memenuhi keperluan mereka dalam pasaran,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Riad menamakan Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Kota Bharu sebagai pasaran berpotensi seterusnya.

Bagi pasaran antarabangsa, beliau berkata, syarikat itu menyasar memulakannya di Singapura bulan depan, dan pasaran lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak lama lagi.

Airasia Food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020, merupakan satu platform penghantaran makanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta berpatutan bagi peniaga kerana ia berdasarkan model kadar rata yang bersamaan dengan hanya 10 peratus kadar komisen

Menurutnya, ketika ini, kadar komisennya adalah yang terendah dalam pasaran kerana bayaran komisen platform lain adalah dalam jajaran antara 15 peratus dan 30 peratus, dan Airasia Food adalah satu-satunya platform yang menawarkan kadar rata.

Peniaga juga mudah untuk mengawal menu dan harga mereka dan menerima liputan penghantaran sehingga 60 kilometer berbanding liputan 15 kilometer oleh platform pesanan makanan lain.

Riad berkata walaupun terdapat penyedia perkhidmatan yang telah lama berada dalam pasaran, Airasia Food percaya pasaran cukup besar untuk mengisi satu lagi alternatif yang memiliki kelebihan tersendiri.

Menurutnya, Airasia Food menyediakan penawaran kompetitif kepada peniaga yang boleh membantu mereka secara langsung dan tidak langsung bagi meraih pulangan lebih tinggi dengan kos rendah, yang seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan mereka.

Sebagai satu daripada perniagaan di bawah aplikasi airasia.com Asean, Airasia Food disokong oleh ekosistem airasia.com yang memiliki 60 juta pengguna yang boleh memperoleh mata dan membayar dengan BIG Points mereka, katanya.

“Kelebihan bagi peniaga yang menyertai kami adalah dari segi asas struktur kukuh, termasuk daripada perspektif teknologi dan pelanggan. Peniaga kini akan mendapat potensi pendedahan kepada sehingga 60 juta pelanggan dalam ekosistem kami,” katanya.

Mengenai prospeknya, Riad berkata jualan meningkat semasa perintah kawalan pergerakan tetapi perniagaan itu akan kekal relevan pada masa depan walaupun selepas adanya vaksin kerana teknologi membantu orang ramai memenuhi keperluan mereka dengan cara yang sangat mudah.

“Sekiranya anda memberikan produk yang betul yang dimahukan oleh orang ramai dan sentiasa meningkatkan perniagaan dengan inovasi, sudah tentunya anda akan dapat mengekalkan perniagaan bagi tempoh yang lama.

“Pertumbuhan Airasia Food bukan sahaja membantu perniagaan makanan tempatan, tetapi juga membawa kesan limpahan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Setakat ini, Airasia Food memiliki lebih 1,500 teleporter (penghantar makanan) yang menawarkan perkhidmatan kepada 1,200 restoran di seluruh Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia bakal henti pekerja untuk kecilkan operasi

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Seramai lebih 300 pekerja AirAsia Bhd bakal dihentikan perkhidmatan mereka oleh syarikat penerbangan tambang murah itu dalam usaha pengecilan operasi susulan daripada situasi sukar akibat wabak Covid-19.

Memetik laporan Astro Awani, pemberhentian yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Riad Asmat dalam sesi taklimat dalaman tengah hari semalam, dijangka melibatkan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

“Kesemua yang akan terlibat dalam skim pemberhentian itu akan dimaklumkan menerusi e-mel dalam tempoh 24 jam. AirAsia juga menjanjikan pampasan kepada semua yang terlibat,” menurut laporan tersebut.

Selain tidak mempunyai pelbagai pilihan dalam memastikan AirAsia terus beroperasi seperti sebelum ini, Riad berkata penstrukturan semula organisasi dilihat sebagai alternatif yang boleh diambil buat masa ini kerana situasi yang dihadapi kini adalah amat sukar.

Laporan itu turut menyatakan syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X turut akan melakukan pengurangan tenaga kerja, termasuk pekerja asing.

Bagaimanapun, tiada jumlah sebenar petugas yang diumumkan dan pemberhentian tersebut bakal melibatkan tenaga kerja pelbagai sektor termasuk pengurusan, operasi, kru dan juruterbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia mansuh bayaran pemprosesan mulai 1 Oktober

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: AirAsia Bhd akan memansuhkan bayaran pemprosesan untuk Malaysia membabitkan tempahan yang dibuat mulai 1 Oktober 2019 dalam usaha memastikan perjalanan udara itu kekal berpatutan bagi semua.

Bayaran itu merujuk kepada caj berkaitan dengan pentadbiran, penyelenggaraan dan kos pembangunan sistem dalam talian AirAsia bagi memastikan tempahan selamat dan ia akan ditanggung oleh syarikat itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“AirAsia adalah sinonim dengan tawaran perjalanan udara yang berpatutan dan kami berharap dengan pemansuhan ini kami dapat berpegang teguh kepada slogan ‘Kini Sesiapa Pun Boleh Terbang.’

“Kami melihat ini sebagai relevan terutamanya dengan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tinggi di klia2. Kami juga mahu mengurangkan kos perjalanan supaya tidak menyusahkan pelanggan dan percaya inisiatif ini dapat membantu mereka,” kata Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam.

AirAsia juga akan memansuhkan bayaran pemprosesan di Thailand, Indonesia dan Filipina mulai 31 Disember 2019.

Menurutnya, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 tahun depan, syarikat penerbangan itu juga berharap usaha itu dapat menggalakkan lebih ramai yang dapat melakukan perjalanan ke dan dalam Malaysia.

“Kami berharap untuk melakar kejayaan dan ini sememangnya baik untuk industri pelancongan serta ekonomi Malaysia. Malah, ini turut menjadi salah satu cara di pihak kami untuk menyumbang kepada negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia kemuka rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 19 JUL: AirAsia Bhd akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak Permohonan Pembatalan oleh AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd berkaitan pembayaran Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang belum dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun berkata pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan selain mencabar tindakan MASSB dan syarikat induknya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan menggunakan semua peruntukan undang-undang yang ada.

Mereka berkata AirAsia juga mengekalkan bahawa tindakan MASSB dan MAHB itu menjadi beban kepada rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan.

“Kami mahu mengulangi bahawa langkah undang-undang ini bukan hanya berkaitan AirAsia dan MAHB.

“Sekiranya kami kalah di peringkat mahkamah rayuan tertinggi, maka penumpang terutamanya rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan perlu membayar perbezaan yang dikenakan oleh MAHB. Kami percaya rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapat tawaran yang lebih adil,” kata mereka dalam kenyataan.

Kedua-dua pengasas itu berkata wang yang dituntut daripada AirAsia oleh MAHB itu adalah dikutip daripada penumpang dan AirAsia tidak mengutip perbezaan jumlah tersebut atau enggan membuat pembayaran kepada MAHB.

MAHB mengenakan PSC baharu sebanyak RM73 bagi penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke destinasi luar ASEAN berkuat kuasa Julai 2018.

Jumlah itu, menurut Fernandes dan Kamaruddin, adalah RM23 lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini iaitu RM50 yang AirAsia telah terus kutip daripada penumpang.

Oleh yang demikian, hampir lima juta penumpang telah mendapat faedah daripada PSC yang lebih rendah.

“AirAsia sejak awal lagi tidak bersetuju dengan kenaikan PSC kerana penumpang yang menggunakan klia2 tidak boleh dipaksa untuk membayar caj yang sama berbanding KLIA yang memiliki kemudahan lebih baik dan lebih mewah.

“Atas prinsip itu, AirAsia tidak mengutip caj tambahan yang dikenakan oleh MAHB berkenaan,” kata mereka.

Fernandes dan Kamarudin berkata syarikat tambang rendah itu juga telah meminta supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang dibiayai oleh awam menerusi Caj Perkhidmatan Kawal Selia RM1 bagi setiap penumpang, menjadi orang tengah seperti diperuntukkan mengikut Akta Mavcom.

“Sebaliknya, Mavcom enggan campur tangan. Kami akan terus mencabar keputusan Mavcom untuk tidak mahu campur tangan, yang secara jelas bertentangan dengan peruntukan mengikut Akta Mavcom.

“Kegagalan Mavcom untuk campur tangan dan menjadi pengantara juga menyebabkan berlakunya ketidaksepakatan lebih besar dalam industri ini, sekali gus mengakibatkan ketibaan pelancong susut secara ketara selain menjejaskan ekonomi negara,” kata mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata: “Malah, tiada Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang terikat disediakan oleh MAHB bagi penggunaan klia2 oleh AirAsia, kecuali Perjanjian Syarat Penggunaan (COU) yang ditetapkan hanya oleh MAHB dan dikenakan terhadap AirAsia atas asas nak terima atau tidak.

“Secara berterus-terang, MAHB ada meminta input daripada AirAsia bagi COU itu tetapi tiada satu pun maklum balas kami diambil kira.

“AirAsia telah meminta perundingan selanjutnya berkaitan COU tersebut dan masih menunggu respons MAHB.” – BERNAMA