Categories
NASIONAL

AirAsia tawar tambang tetap bantu pengundi balik kampung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 13 APR: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menawarkan kadar tambang tetap bagi semua laluan domestik sempena demam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

AirAsia melalui kenyataannya hari ini berkata, tambang tetap bermula dari 8 hingga 9 Mei itu untuk menyokong rakyat negara ini mengundi, di kampung halaman masing-masing.

“Tambang sehala ditetapkan pada RM99* bagi penerbangan laluan Semenanjung Malaysia, laluan Semenanjung ke Sarawak pula RM129*, manakala laluan Semenanjung ke Sabah ialah RM199*.

“Pengundi dinasihatkan supaya tiba lebih awal di lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesesakan, jangan lupa menggunakan perkhidmatan daftar masuk awal melalui laman sesawang AirAsia.

“Penumpang boleh membuat pendafatran seawal 14 hari sebelum penerbangan sehingga satu jam sebelum waktu berlepas dijadualkan,” katanya.

Pada masa sama, AirAsia turut mengesyorkan penumpang yang mempunyai bagasi tiba lebih awal, sekali gus mempunyai masa mencukupi sebelum waktu berlepas.

“Kami mengucapkan selamat mengundi buat semua rakyat Malaysia untuk PRU14 akan datang,” katanya.

Categories
NASIONAL

AirAsia setuju jual operasi pajakan pesawat kepada BBAM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: AirAsia Berhad (AirAsia) bersetuju menjual operasi pajakan pesawatnya kepada entiti BBAM Limited Partnership (BBAM) dengan nilai AS$1.18 bilion (RM4.62 bilion).

Di bawah perjanjian itu, FLY Leasing Limited (Fly), Incline B Aviation Limited Partnership (Incline) dan Nomira Babcock and Brown (NBB) akan memperoleh portfolio 84 pesawat dan 14 enjin dengan 79 pesawat serta 14 enjin akan dipajak semula kepada AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam kenyataan berkata, Fly dan Incline juga memeterai perjanjian mendapatkan 48 pesawat untuk diserahkan kepada AirAsia, serta pilihan tambahan menghantar 50 lagi pesawat.

“Jualan ini sejajar strategi kami melupuskan aset dan perniagaan bukan teras, satu usaha yang dilaksanakan sepanjang enam bulan lalu, bermula dengan pusat latihan, unit pengendalian darat dan kini unit pajakan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pesawat AirAsia guna Skywise Airbus

SINGAPURA, 9 FEB: Kumpulan pesawat A320 dan A330 AirAsia bakal diperkasakan dengan sistem perkhidmatan Skywise Predictive Maintenance, kata Airbus, hari ini.

Pengesahan itu disahkan AirAsia dan ia merangkumi kumpulan pesawat AirAsia juga AirAsia X untuk semua anak syarikatnya di Malaysia, Thailand, India, Jepun, Filipina serta Indonesia.

Ketika ini, AirAsia mempunyai kira-kira 230 pesawat sedang digunakan dan kira-kira 470 pesanan pesawat masih tertangguh termasuk 66 A330neos serta lebih 400 A320/A321neos masih belum diserahkan yang kesemuanya mempunyai keupayaan sistem Skywise.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan kuasa analisis data raya dan teknologi ramalan Skywise Airbus dalam usaha mendapatkan kelebihan bagi keseluruhan kumpulan pesawat A320 serta A330 Kumpulan AirAsia.

“Skywise akan membolehkan kami mencapai wawasan baharu dalam operasi pesawat, mengoptimumkan penyenggaraan, kejuruteraan dan operasi penerbangan serta mengurangkan kos,” katanya lapor Berita Harian.

Perbincangan akhir berhubung perjanjian Airbus Skywise dengan Kumpulan AirAsia dilakukan di Pertunjukan Udara Singapura, hari ini.

Sebahagian daripada kontrak lima tahun adalah keseluruhan kumpulan pesawat AirAsia akan dilengkapkan dengan *FOMAX iaitu sebuah modul baharu merakam data juga transmisi dalam penerbangan dan ia komponen utama perkhidmatan ‘Skywise Predictive Maintenance Airbus’.

Categories
NASIONAL

AirAsia BigPay jimat 4% kos perjalanan

SHAH ALAM, 17 JAN: e-dompet BigPay ditawarkan AirAsia mampu menawarkan sekurang-kurangnya empat peratus penjimatan kos perjalanan dan kadar tukaran mata wang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menerusi Twitter berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun daripada Google Play store dan Apple App store.

Beliau berkata, dompet elektronik BigPay juga akan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang dan kemungkinan perkhidmatan pinjaman wang kepada pelanggan AirAsia.

Pada Isnin, Fernandes mengumumkan perkhidmatan e-dompet BigPay, yang merupakan sebahagian daripada strategi digital AirAsia untuk meneroka pangkalan data 63 juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Maklumat berkenaan BigPay di Google Play store menyatakan perkhidmatan itu bertujuan mewujudkan pembayaran masa depan di Asia Tenggara dengan menyediakan akses wang yang terjamin dan mudah kepada pengguna, pada bila-bila masa dan tempat.

Ia menggabungkan aplikasi mudah alih dengan fleksibiliti Mastercard prabayar yang diterima di lebih 30 juta pedagang di seluruh dunia, yang membolehkan pengguna mengurus kewangan secara digital.

Nilai boleh ditambah menggunakan kad debit atau kredit mereka.

Laman aplikasi itu juga menjamin BigPay di kawal selia oleh Bank Negara Malaysia, selain memiliki protokol keselamatan terkini, termasuk cap jari dan perakuan muka bagi mengesahkan identiti.

Categories
NASIONAL

Neelofa mula tugas rasmi di AirAsia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JAN: Usahawan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia, hari ini.

Memetik Berita Harian, beliau dilapor menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu di ibu pejabat AirAsia dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“AirAsia dipenuhi dengan mereka yang sangat bersemangat dan kreatif dengan idea dan pandangan mereka membuatkan saya semakin yakin bagaimana AirAsia mampu berdiri gah di mata dunia seperti sekarang.

“Pastinya, pengalaman ini akan disimpan dan digunakan untuk diri sendiri, perniagaan dan orang lain. Tirai 2018 dibuka dengan jayanya,” kata Neelofa.

Selepas mesyuarat tamat, pelakon dan pengacara terkenal itu dilapor sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan syarikat penerbangan itu.

Pada 8 Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fenandes mengumumkan pelantikan Neelofa sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutifnya dan diluluskan sebulat suara Ahli Lembaga Pengarah.

Tony berkata, pelantikan itu merupakan sebagai antara usaha AirAsia untuk mengukuhkan lagi jenamanya.

“Pengalamannya sebagai usahawan, pencipta jenama akan menjadi sesuatu yang tidak ternilai kepada AirAsia.

“Beliau juga boleh memberikan pandangan baru kepada kami ketika sedang menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan digital,” katanya.

Categories
NASIONAL

Basarnas jumpa lokasi QZ8501

SHAH ALAM, 5 JAN (Bernama): Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia dilaporkan menemui lokasi pesawat AirAsia QZ8501, lapor Kompas.com.

Komandan Lanud Iskandar Pangkalan Bun, Leftenan Kolonel Penerbangan Johnson Simatupang berkata, semua pesawat yang melakukan operasi udara dalam misi pencarian itu akan terbang di bawah 5,000 kaki.

“Kita sudah dapatkan perintah operasi dari Basarnas. Semua penerbangan akan berada di bawah 5,000 kaki,” katanya.

qzKatanya, lokasi pencarian akan dibahagi kepada empat sektor melibatkan pesawat Tentera Angkatan Udara Nasional Indonesia (TNI AU), Korea Selatan, RUsia dan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Basarnas memastikan pesawat AirAsia QZ8501 jatuh di lokasi terakhir berhubung dengan Unit Kawalan Trafik Udara (ATC) dan pasukan SAR memfokuskan pencarian di titik koordinat itu.

“…meyakinkan bahawa AirAsia jatuh di lokasi perhubungan terakhir,” kata Pengarah Operasi Basarnas, SB Supriyadi, semalam.

Berdasarkan maklumat, perhubungan terakhir AirAsia QZ8501 di titik koordinat yang berada di sebelah utara Laut Jawa dekat dengan Selat Karimata.

Indonesian Navy ship KRI Yos Sudarso takes part in the search operation for missing AirAsia Flight QZ8501 south of Pangkalan BunKatanya, lokasi pencarian akan dilakukan sejauh 60 batu nauktika dari titik terakhir itu.

Sementara itu, Basarnas bersama pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) sudah mengerahkan 14 aset udara dan 26 aset laut ke lokasi pencarian pesawat malang itu, dengan 30 mayat mangsa ditemui, sehingga 4 Januari lalu.

Pada 28 Disember lalu, pesawat AirAsia Indonesia terputus hubungan radar ketika dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Pesawat malang itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah di Indonesia.