Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia hasrat ambil semula pekerja diberhentikan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: AirAsia Group Bhd menyasarkan untuk mengambil semula pekerjanya yang terpaksa diberhentikan pada tahun lepas susulan impak Covid-19, apabila perniagaan syarikat penerbangan itu kembali pulih.

Sambil mengakui keputusan pemberhentian khidmat kira-kira 2,000 pekerja terbabit sebagai satu tragedi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes turut berikrar untuk mengambil khidmat mereka terbabit serta yakin dengan kemampuan syarikat penerbangan tambang rendah tersebut.

“Kehilangan 2,000 pekerja akibat impak Covid-19 merupakan satu tragedi untuk kami. Oleh itu sebelum bersara, saya perlu pastikan kesemua mereka dapat diambil semula.

“Inilah sasaran saya, malah saya yakin ini dapat dilakukan apabila aktiviti penerbangan kembali beroperasi serta disokong oleh perniagaan lain kumpulan ini,” katanya pada acara Reimagining Malaysia Assets (RESET) 2021 pada Selasa.

RESET 2021 yang dihoskan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), merupakan persidangan secara maya selama empat hari yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera Petroleum Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia serta Informa Markets Malaysia.

Pada Oktober tahun lepas, AirAsia dan syarikat sekutunya yang juga penerbangan jarak jauh, AirAsia X mengesahkan langkah pemberhentian kira-kira 10 peratus daripada 24,000 tenaga kerjanya berikutan kesukaran sektor penerbangan untuk bangkit semula dalam masa terdekat akibat pandemik tersebut.

Fernandes berkata kewujudan AirAsia juga berteraskan perubahan pengurusan yang memudahkan pekerja berpindah kerja.

Perubahan pengurusan merupakan terma yang merujuk semua pendekatan untuk melakukan persiapan, sokongan, membantu individu, pasukan dan syarikat membuat perubahan di peringkat organisasi.

“Kami adalah syarikat penerbangan pertama (Aseam) dengan barisan juruterbang wanita iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah Asean.

“Oleh itu, budaya dalam AirAsia ini menetapkan asas perubahan dan itulah juga kemahiran kami. Sebagai syarikat penerbangan dengan saiz seperti ini, kami mempunyai kesatuan sekerja sendiri — sesuatu yang tidak dimiliki oleh syarikat penerbangan dunia lain dengan saiz serupa,” katanya.

Fernandes juga menyifatkan kelangsungan AirAsia itu disokong oleh strukturnya, amalan meritokrasi serta kemampuan untuk mengurus perubahan.

Namun, baginya, aspek terpenting dalam AirAsia adalah bakat atau tenaga kerjanya.

“Anda boleh lakukan apa saja sekiranya terdapat struktur, persekitaran wajar dan paling penting adalah barisan pekerja yang tepat. Bagi saya, inilah teras kekuatan kami.

“Mungkin kami tidak mempunyai jumlah tunai yang diinginkan, tetapi ini diatasi dengan membentuk barisan bakat, pekerja (yang tepat), bersemangat serta kemampuan untuk yakin bahawa kami mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, AirAsia turut menubuhkan Redbeat Academy hasil kerjasama dengan Google yang menjadi sebahagian daripada aspirasi untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja berikutan hakikat penerbangan yang tidak terkecuali daripada Revolusi Perindustrian 4.0.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

AirAsia teroka khidmat hantar guna dron, tawar peluang kerja baharu

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Teleport, cabang logistik di bawah AirAsia Digital, meneroka penggunaan dron untuk menghantar barang daripada platform e-dagang airAsia, yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu termasuk kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dalam industri penerbangan.

AirAsia Group Bhd berkata Teleport bekerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar.

“Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang airasia termasuk airasia shop menggunakan dron automatik itu akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) ketiga di Cyberjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan itu ketika ini masih di peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas.

“Selain itu, penghantaran menerusi dron menjadikan kami lebih berdaya saing untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor e-dagang dan lebih tangkas untuk menghadapi landskap ekonomi yang berubah-ubah.

“Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Fernandes berkata sebagai peneraju inovasi, AirAsia bersedia untuk menghadapi cabaran inovatif baharu dan gelombang Revolusi Industri 4.0 bagi kelebihan mereka.

“Kami hanya melihat ke hadapan dan tidak sabar untuk menghantar pesanan anda melalui dron Airasia pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan domestik AirAsia kekal operasi semasa PKP, perlu izin polis

KUALA LUMPUR, 12 JAN: AirAsia Bhd mengumumkan bahawa perkhidmatan penerbangan domestiknya kekal beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 hingga 26 Januari ini.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata untuk perjalanan penting dalam tempoh ini, para tetamu mesti mendapatkan kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berlepas dan perlu mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh negeri-negeri tertentu.

“Para tetamu yang mempunyai tempahan penerbangan antara 13 dan 26 Januari yang tidak dapat melakukan perjalanan dalam tempoh ini boleh membatalkan penerbangan mereka secara sukarela dan memilih perubahan tarikh penerbangan tanpa had.

“Perubahan boleh dibuat ke atas mana-mana tarikh penerbangan baharu sebelum 31 Mac 2021 di laluan yang sama tanpa had tanpa bayaran tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk,” katanya.

Sementara itu, AirAsia berkata, para tetamu yang terjejas dengan pembatalan penerbangan semasa PKP akan dimaklumkan melalui emel dan/atau SMS mengenai pilihan yang ditawarkan kepada mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CIMB, AirAsia tarik diri sebagai penaja Liga Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Dua syarikat swasta iaitu CIMB dan AirAsia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata mereka menghormati keputusan kedua-dua syarikat berkenaan untuk tidak menyambung penajaan namun menegaskan perancangan bagi menghadapi Liga-M 2021 tetap berjalan seperti biasa.

Beliau memaklumkan MFL telah mengadakan pertemuan dengan wakil CIMB beberapa hari lepas berhubung isu penajaan dan mereka masih menunggu surat rasmi daripada bank berkenaan berhubung penamatan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani mengesahkan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) terus komited menjadi penaja utama Liga-M 2021 menerusi perjumpaan yang diadakan antara beliau, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin bersama wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Ab Ghani turut memaklumkan pengeluar minuman isotonik iaitu F&N 100Plus bersetuju meneruskan penajaan dalam bentuk barangan sahaja tanpa melibatkan tajaan secara tunai seperti musim lalu, manakala status Shopee selaku penaja masih berada di peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa MFL sedang mengadakan rundingan dengan beberapa penaja baharu yang menyatakan minat untuk menjadi penaja Liga-M musim hadapan.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga-M 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” jelas Ab Ghani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia diiktiraf tujuh bintang teratas penilaian kesihatan Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 NOV: AirAsia menerima pengiktirafan tujuh bintang teratas bagi setiap syarikat penerbangan dalam kumpulannya daripada pakar keselamatan industri penerbangan, Airlineratings.com, atas pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.

Menurut kenyataan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria seperti yang dinyatakan dalam laman web Airlineratings.com.

Ia merangkumi maklumat menyeluruh mengenai prosedur Covid-19 di laman web, pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh anak kapal, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala, kit pensanitasi peribadi dan penjarakan fizikal dalam penerbangan.

Ketua Pengarang Airlineratings.com, Geoffrey Thomas berkata pihaknya bimbang apabila mendapat tahu terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai Covid-19 yang dipersetujui untuk melindungi para penumpang dan anak kapal.

“Kini keadaan berubah dan pasukan kami meninjau pematuhan operasi pada setiap minggu. AirAsia adalah antara syarikat penerbangan pertama melaksanakan semua cadangan secara agresif,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata penilaian ini dibuat berdasarkan kriteria Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut garis panduan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Awal minggu ini, AirAsia melancarkan inovasi, Scan2Fly, teknologi terkemuka industri bagi menentukan kelayakan penumpang untuk terbang sebelum mereka tiba di lapangan terbang, termasuk pengesahan masa nyata bagi dokumen kesihatan.

Pada masa sama, AirAsia turut mengumumkan beberapa peningkatan perkhidmatan meliputi perkhidmatan daftar masuk beg automatik, teknologi pemeriksaan suhu mudah alih serta teknologi pengecaman wajah biometrik F.A.C.E.S. (Fast Airport Clearance Experience System) — sistem pengecaman wajah tanpa sentuhan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia raih anugerah WTA kali kelapan, undi tertinggi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: AirAsia terus mengungguli anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di World Travel Awards (WTA) 2020 yang merupakan kemenangan syarikat itu bagi tahun kelapan berturut-turut.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata pengiktirafan tersebut berserta anugerah Anak Kapal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka 2020 itu diterima hasil undian tertinggi daripada kalangan profesional dan penggiat industri pengembaraan dari serata rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata anugerah itu ditujukan khusus untuk kakitangan AirAsia Allstars yang telah meninggalkan syarikat penerbangan berkenaan baru-baru ini.

Malah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang memberi komitmen, kegigihan dan dedikasi pada tahun ini.

“Penghargaan ini turut kami tujukan untuk lebih 600 juta pelanggan yang masih setia menyokong serta percayakan kami sejak hari pertama lagi. Mereka turut memahami ketika kami mengharungi tempoh paling sukar dalam sejarah AirAsia,” katanya.

Sementara itu, Pengasas WTA Graham E Cooke menyifatkan AirAsia terus menerajui penerbangan tambang rendah di Asia walaupun dalam persekitaran tidak dijangkakan yang dihadapi oleh industri berkenaan pada tahun ini.

“Usaha AirAsia untuk mencapai kecemerlangan kekal sukar ditandingi dan saya gembira kesungguhan itu turut diakui oleh kalangan penggiat pengembaraan serta orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penumpang AirAsia susut 85 peratus suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) susut sebanyak 85 peratus kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Di sebalik pandemik Covid-19, faktor muatan AirAsia berkurangan sebanyak 18 mata peratusan (ppts) tahun ke tahun kepada 66 peratus, kata syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan semalam.

Bagi tempoh bulanan, metrik operasi utamanya meningkat pada September berbanding Julai dengan mencatatkan jumlah penumpang yang lebih tinggi dalam operasinya di Malaysia, India dan Thailand, ia meningkat masing-masing sebanyak 36 peratus, 79 peratus dan 65 peratus.

Ia berkata faktor muatan untuk kumpulan itu meningkat 7.0 ppts pada September berbanding Julai.

“Peningkatan ini menunjukan trend kenaikan yang kukuh untuk permintaan bagi perjalanan udara di pasaran utama untuk kumpulan tersebut,” katanya.

AirAsia Malaysia beroperasi pada tahap 52 peratus daripada kapasiti domestiknya pada bulan September berbanding 40 peratus pada Julai kerana permintaan perjalanan telah berada pada trajektori menaik sejak suku kedua berikutan kelonggaran terhadap perjalanan antara negeri.

AirAsia Malaysia mencapai faktor muatan sebanyak 68 peratus dengan mencatat hampir 1.8 juta penumpang pada suku tersebut.

Walaupun kapasiti telah dikurangkan pada bulan Oktober susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, AirAsia sedang berusaha untuk pulih kepada tahap 60 peratus pada suku keempat sama seperti tempoh sebelum penularan Covid-19 dalam kapasiti domestik.

Faktor muatan AirAsia Indonesia turun sebanyak 36 ppts kepada 49 peratus pada suku ketiga 2020 manakala AirAsia Filipina beroperasi pada tahap hanya lima peratus sahaja daripada kapasiti tahun lepas pada suku yang dikaji.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia sahkan dapat pinjaman RM300 juta daripada Sabah Development Bank

KUALA LUMPUR, 24 OKT: AirAsia Group Bhd mengesahkan ia memperoleh pinjaman sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank Bhd (SDB) dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, berkata pinjaman tersebut diperoleh sebagai sebahagian daripada langkah pengumpulan dana kumpulan dan usahanya untuk meneroka perniagaan digital.

AirAsia berkata pinjaman itu bertujuan terutamanya untuk meningkatkan kehadiran logistik AirAsia di Sabah yang dalam proses itu akan mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan baharu.

Dana tersebut akan digunakan untuk projek pembangunan tertentu, termasuk menubuhkan rantaian bekalan makanan digital OurFarm (platform e-dagang pertaniannya) dan kemudahan rantaian sejuk beku di Sabah (peruntukan RM170 juta) dan membiayai sebahagian daripada projek untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hab antarabangsa bagi AirAsia Bhd (RM110 juta).

Sejumlah RM10 juta akan digunakan bagi meningkatkan platform e-dagang dan kebolehpasaran produk dari Sabah dan RM10 juta lagi untuk mempromosikan lagi destinasi pelancongan Sabah di airasia.com, aplikasi super digital AirAsia,” kata syarikat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

RedBeat Academy AirAsia tawar program latihan, tingkat kemahiran

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Selepas berjaya melakukan transformasi sebagai syarikat gaya hidup digital, Kumpulan AirAsia kini merancang untuk memperluaskan pengetahuannya kepada masyarakat melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang dapat membantu meningkatkan kumpulan tenaga kerja negara.

Program itu, yang diperkenalkan oleh RedBeat Academy dan pada masa ini hanya untuk kakitangan dalaman AirAsia, akan membantu melengkapi pekerja dengan kemahiran digital baharu dan menjadi tenaga kerja bertaraf dunia.

RedBeat Academy adalah kerjasama antara cabang perusahaan korporat Kumpulan AirAsia, RedBeat Ventures Sdn Bhd (RBV) dan Google.

Presiden RBV Aireen Omar berkata normal baharu berikutan pandemik Covid-19 mendorong semua pihak untuk memulakan pendigitalan, iaitu pekerja yang kekurangan kemahiran teknologi mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan era digital dan akhirnya ketinggalan.

Beliau berkata RedBeat Academy menyediakan kokurikulum bertaraf dunia untuk mengajar tenaga kerja yang bukan teknologi mengenai apa yang diperlukan untuk bertahan dalam ekonomi digital selain menggalakkan mereka untuk menjadi inovatif.

“Kami tidak boleh menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia yang celik digital, kerana jika anda mahu ekonomi berkembang dalam persekitaran digital, setiap penggiat ekonomi juga perlu seperti itu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Tenaga kerja tidak bermakna anda perlu mendapatkannya hanya dari luar syarikat, tetapi sumber semasa anda boleh dibentuk semula dan dilatih semula, dan kami adalah contoh yang baik tentang bagaimana (transformasi) dapat dilakukan.

“Kandungan kami di RedBeat Academy akan sentiasa relevan, melihat ke arah masa depan mengenai (jenis) teknologi, untuk membantu orang ramai mendapat inspirasi, selain memikirkan cara baharu dan melakukan inovasi,” katanya kepada Bernama.

Aireen berkata program latihan semula dan meningkatkan kemahiran boleh didapati tidak lama lagi untuk individu dan usahawan, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, dan turut terbuka kepada syarikat yang mahu mendigitalkan syarikat mereka seperti yang dilakukan oleh AirAsia.

Selain kursus itu, PKS akan turut diberikan penyelesaian yang menyeluruh, iaitu mereka akan mendapat peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di platform digital AirAsia dan Ourshop.

Mengenai masa depan, beliau berkata Redbeat Ventures merangka beberapa pelan besar untuk RedBeat Academy memacu selain memberikan pengetahuan digital.

Beliau menyasarkan RedBeat Academy menjadi syarikat teknologi pendidikan menarik pada masa depan, menawarkan kursus meliputi lebih daripada hanya subjek teknologi seperti kepimpinan, penjenamaan dan kemahiran kreatif.

“Sudah tentu, kami perlu bekerjasama dengan universiti tertentu, supaya RedBeat Academy boleh mendapat kelayakan dan akreditasi dalam subjek tertentu.

“Terdapat banyak perkara dilakukan oleh AirAsia, kami mempunyai kekuatan tertentu. Oleh itu, mengapa tidak kami berkongsinya dengan orang lain dan membantu mereka dilatih,” katanya.

Kumpulan AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang terbesar di Malaysia dari segi saiz kumpulan pesawat dan destinasi. Syarikat penerbangan itu dinobatkan sebagai Digital Transformer of the Year untuk Malaysia di International Data Corporation Digital Transformation Awards (DXa) 2019.

Redbeat Academy melancarkan program khusus iaitu BINA Digital. Program ini menawarkan kursus dalam talian bagi PKS memulakan, membina dan mengembangkan perniagaan mereka dalam talian, serta meningkatkan keupayaan mereka untuk mengekalkan pengembangan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

PKS yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut mengenai program itu melalui laman web Redbeat Academy di redbeatacademy.com.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengembara harus patuhi langkah pencegahan Covid-19 – AirAsia

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: AirAsia mengingatkan pengembara untuk mematuhi langkah pencegahan penularan Covid-19 dan langkah kesihatan awam yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), antaranya menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), sebelum berlepas dan selepas ketibaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata RGL membolehkan penduduk Singapura dan Malaysia melakukan perjalanan rentas sempadan bagi tempoh jangka pendek untuk tujuan perniagaan penting dan urusan rasmi antara kedua-dua negara.

“Pengembara juga diminta menyerahkan kepada pihak yang berwajib mengenai negara yang dituju, jadual perjalanan yang telah diisytiharkan terlebih dahulu dan mematuhi jadual perjalanan tersebut pada sepanjang lawatan mereka.

“RGL itu hanya untuk perjalanan antara lapangan terbang di Singapura dan Malaysia yang mempunyai laluan penerbangan tanpa henti dan pusat pemeriksaan jalan darat melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas,” katanya.

AirAsia berkata semua pengembara masuk dan keluar untuk urusan perniagaan penting dan perjalanan rasmi antara Malaysia dan Singapura melalui RGL diminta untuk memeriksa kelayakan mereka dan keperluan perjalanan terlebih dahulu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan Malaysia-Singapura AirAsia bermula ekoran keputusan RGL

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: AirAsia sedang bersedia untuk menyambung semula penerbangan antara Malaysia dan Singapura, termasuk laluan Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan sebagai yang paling sibuk di dunia, berikutan keputusan perlaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Ini akan diikuti dengan destinasi antarabangsa yang lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai permulaan, AirAsia akan melancarkan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Singapura, serta satu penerbangan mingguan membabitkan Singapura dan Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching termasuk Ipoh.

Penerbangan ini dijadualkan bermula pada 17 Ogos tetapi bergantung kepada pengumuman lanjut oleh kerajaan.

AirAsia mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura bagi membuka perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara melalui skim RGL.

Skim RGL memerlukan pengembara yang layak untuk mematuhi peraturan pencegahan dan langkah-langkah kesihatan awam yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara, yang merangkumi ujian “polymerase chain reaction” (PCR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu benar-benar komited ke arah meneruskan penyambungan udara dan seterusnya memulihkan aktiviti ekonomi di rantau ini.

“RGL adalah langkah pertama tetapi amat signifikan sebagai tanda bahawa kedua-dua negara mula memulihkan ekonomi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Khazanah: Sukar untuk Malaysia Airlines, AirAsia bergabung

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Khazanah Nasional Bhd menegaskan bahawa sebarang penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, sukar untuk dilaksanakan.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata model perniagaan yang berbeza dan budaya kerja yang berlainan membuktikan gabungan dua entiti seperti itu jarang membuahkan hasil.

“Malaysia memerlukan syarikat penerbangan tambang rendah dan syarikat yang menawarkan penerbangan nilai tinggi seperti Malaysia Airlines untuk wujud bersama, berikutan kita perlu memenuhi pelbagai segmen pasaran.

“Oleh itu, saya fikir untuk strategi jangka panjang Malaysia, penting untuk memberikan pilihan yang mencukupi, bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada pelancong luar untuk datang ke negara ini,” katanya dalam program Money Matters terbitan TV3, pada Sabtu.

Khazanah Nasional merupakan pemilik penuh MAB.

Sebelum ini, Shahril dilaporkan berkata Khazanah sedang menunggu pelan pemulihan strategik yang akan dirangka pengurusan Malaysia Airlines.

-BERNAMA