Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami pertimbang kemuka representasi

SEREMBAN, 24 SEPT: Pihak pembelaan dalam kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail akan mempertimbangkan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal Mei lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili pasangan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sebutan semula kes di hadapan Majistret Mahyun Yusuf hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Muhammad Shafee berkata: “Saya baru dapat (dokumen) itu, jadi kami akan kaji dokumen ini untuk persiapan pembelaan ataupun untuk membuat satu representasi berdasarkan dokumen yang kami ada supaya tidak buang masa.

“Ia adalah perkara kecil, daripada semut jadi gajah,” katanya selepas prosiding kes berkenaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Proses sebutan semula hari ini melibatkan penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Shafee serta Ramzani Idris, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah manakala pihak pendakwaan pula diwakili, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Okt depan.

Terdahulu, pasangan berkenaan tiba di mahkamah kira-kira 8.40 pagi.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu dan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Sebutan semula kes Neelofa langgar SOP ditangguh 23 Jun

SEREMBAN, 31 MEI: Sebutan semula kes usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai, awal bulan ini, ditangguhkan pada 23 Jun ini.

Peguam pasangan itu M Haresh berkata kes pengurusan kes itu sepatutnya disambung semula Jumaat ini tetapi ditangguhkan oleh mahkamah susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok hingga 14 Jun ini.

“Mahkamah Majistret Seremban menetapkan 23 Jun sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mengenai perkembangan mengenai dakwaan Noor Neelofa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu, Haresh berkata perkara itu masih dalam siasatan polis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu rentas negeri Neelofa, suami diserah ke Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM, 22 MEI: Polis menyerahkan kertas siasatan kesalahan rentas negeri pasangan selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

Ketua Polis Nilai Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata sebarang keputusan selaras dengan fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Kelmarin pasangan berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera atau melakukan pendaftaran manual di premis Naeem Carpet Sdn Bhd, Nilai.

“Muhammad Haris juga dituduh tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di premis itu. Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isu rentas negeri pasangan berkenaan ke Nilai pada 2 Mei lalu menimbulkan persoalan warga maya selepas tiada tindakan dikenakan.

Neelofa turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021] kerana hanya mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kelmarin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pejabat Peguam Negara putuskan Neelofa tidak dituduh rentas negeri

SHAH ALAM, 21 MEI: Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak membuat pertuduhan rentas negeri terhadap pasangan selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail.

Ketua polis daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata keputusan tersebut dibuat selepas pejabat berkenaan membuat penelitian, lapor Berita Harian.

“Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.

“Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada,” kata beliau.

Semalam, mereka dituduh di Mahkamah Majistret Seremban kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka didakwa tidak mengimbas aplikasi MySejahtera di kedai permaidani dikunjungi mereka di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Neelofa juga menghadapi tuduhan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat Neelofa pakai niqab tanpa pelitup muka

SHAH ALAM, 21 MEI: Polis akan mengambil tindakan terhadap selebriti terkenal, Neelofa yang hanya mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka di Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Ketua polis Seremban berkata, pihaknya membuka kertas siasatan susulan tular berita di sebuah portal yang memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan pihak KKM kepada semua orang termasuk mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.

“Penjelasan berkenaan perkara ini telah dikeluarkan juga oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020,” kata Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim menerusi kenyataan.

Katanya, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021].

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa juga tindakan bagi memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan peraturan  KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Semalam Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP

SEREMBAN, 20 MEI: Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Noor Neelofa atau lebih dikenali sebagai Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah pada 8.50 pagi, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Muhammad Haris didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang 2 Mei lepas.

Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Pasangan itu didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pasangan berkenaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Terdahulu Nor Azizah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Muhammad Haris manakala RM10,000 kepada Neelofa.

Sementara itu, Haresh berkata pihaknya membantah terhadap jaminan yang ditawarkan pendakwaan atas alasan anak guamnya hanya berdepan dengan kes saman bukan kes jenayah.

“Tiada peruntukan untuk jaminan kerana ia adalah kes saman tetapi mahkamah membenarkan ikat jamin iaitu RM10,000 bagi Haris dan RM5,000 terhadap Neelofa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

Beliau berkata anak guamnya telah membayar wang jaminan tersebut.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP raya, Neelofa disiasat polis kali ketiga

SHAH ALAM, 18 MEI: Keluarga Noor Neelofa Mohd Noor disiasat lagi selepas didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 1 Syawal lalu.

Ketua polis Daerah Brickfields berkata pihaknya menerima satu laporan malam tadi berdasarkan video keluarga selebriti itu yang tular di media sosial, lapor Berita Harian.

Asisten Komisioner Anuar Omar berkata siasatan awal mendapati video selama 26 saat itu dimuat naik melalui Instagram kakak Neelofa.

“Video itu memaparkan ahli keluarga selebriti terbabit berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan 1 Syawal lalu dan video itu dikongsi netizen melalui Twitter,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.

Pada 27 April, Neelofa dikompaun RM20,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) penganjuran majlis perkahwinan serta merentas negeri.

Suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) pula dikompaun RM10,000 kerana turut sama melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Kompaun RM1,500 turut dikenakan terhadap setiap 20 ahli keluarga selebriti itu yang kesemuanya berjumlah RM30,000 kerana tiada penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad mereka pada 27 Mac.

Pada 11 Mei, Neelopa dan PU Riz sekali lagi disiasat polis selepas memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, Negeri Sembilan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan Neelofa, suami dihantar ke Pejabat Peguam Negara

SEREMBAN, 11 MEI: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berkaitan selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail, berkaitan penularan video pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ke Pejabat Peguam Negara pagi tadi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis selesai melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan kita tunggu keputusan Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Spekulasi berkaitan pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial, apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei dan keterangan mereka telah diambil selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai dua hari selepas itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan Neelofa, suami langgar SOP di peringkat akhir

SEREMBAN, 6 MEI: Kertas siasatan terhadap selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini di peringkat akhir siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohammad Mat Yusop berkata ia telah dirujuk kepada pendakwa raya namun dikembalikan semula kepada polis berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diperkemaskan

“Terdapat beberapa tindakan perlu diambil dan kita menjangkakan dalam masa terdekat ini akan dimaklumkan mengenai keputusannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat secara medan kepada Sarjan Mat Shah Kasim di sini, hari ini.

Spekulasi berkaitan pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai, pada 2 Mei dan keterangan mereka telah diambil selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai, Selasa lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beli-belah di Nilai 3: Neelofa, PU Riz sekali lagi disiasat polis

SEREMBAN, 3 MEI: Selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dalam masa terdekat berkaitan penularan video pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihak polis menjalankan siasatan berhubung penularan video itu yang mengaitkan artis tersebut selepas dipercayai berada di sebuah premis perniagaan karpet di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini semalam.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya setelah selesai siasatan. PDRM menasihati orang ramai mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial apabila Neelofa bersama suaminya dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa didenda RM20,000, suami RM10,000 langgar SOP

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Selebriti Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) penganjuran majlis perkahwinan serta merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata suami kepada Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikompaun RM10,000 kerana turut sama melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Beliau berkata kompaun RM1,500 turut dikenakan terhadap setiap 20 ahli keluarga Neelofa yang kesemuanya berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada hari ini membabitkan jumlah sebanyak RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kompaun kepada Neelofa dan suaminya dikenakan dengan tiada diskaun diberikan.

Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 Mac lepas.

Mohamad Zainal berkata pada 26 April lepas, kertas siasatan kes perlanggaran SOP di majlis perkahwinan pasangan itu telah dikembalikan dari Jabatan Peguam Negara, dengan keputusan mengenakan kompaun di bawah Peraturan 19 PeraturanPeraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

Kesalahan pertama oleh Neelofa ialah selaku penganjur, beliau gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung manakala kesalahan kedua kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Polis juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKPB dan kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang.

Pada 27 Mac lepas, tular sekeping gambar di media sosial memaparkan sejumlah tetamu hadir di majlis perkahwinan Neelofa gagal mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mendapat kecaman ramai.

Selain itu, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi turut tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu pasangan terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis cadang Neelofa, PU Riz dikompaun

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis mencadangkan Neelofa dan suaminya, PU Riz dikompaun selepas didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua polis Dang Wangi berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan majlis perkahwinan pelakon dan pendakwah bebas itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, lapor Berita Harian.

“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya yang akan putuskan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya.

“Kertas siasatan sudah diserahkan dan kita cadang pasangan berkenaan dikompaun,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Pada 28 Mac lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pasangan itu selepas siasatan awal mendapati ia gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai gambar majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan Muhammad Haris Mohd Ismail di hotel terkemuka yang dikatakan melanggar SOP.