Categories
AGENDA NASIONAL

Isu Akta Antiberita Tidak Benar dibangkitkan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Persoalan sama ada Akta Antiberita Tidak Benar yang telah dimansuhkan akan dikembalikan semula antara yang ditimbulkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun memaklumkan bahawa sebarang berita palsu, laporan palsu dan penyalahgunaan media sosial akan didakwa melalui undang-undang sedia ada.

Undang-undang ini termasuk Kanun Keseksaan [Akta 574]; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]; dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ini katanya selepas Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020 [Akta 825] diwartakan pada 30 Jan lepas.

Soalan itu diajukan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab yang turut mahu tahu mekanisme Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam membendung masalah penyebaran berita palsu terutama berkaitan Covid-19.

Jawapan Saifuddin dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon selepas Saifuddin dimaklumkan malam tadi bahawa beliau tidak dibenar memasuki dewan kerana menjalani ujian calitan awal beberapa hari daripada jadual yang ditetapkan Parlimen.

Keputusan ujian Saifuddin adalah negatif, manakala Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin pula tidak dapat hadir kerana mempunyai janji temu berjadual bersama doktor.

Mengenai mekanisme, Saifuddin berkata kementerian melalui agensi-agensinya seperti RTM, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberikan maklumat tepat dan tulen mengenai dasar-dasar kerajaan secara berterusan melalui platform masing-masing.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan Program Info On Wheels (IOW), kempen melalui publisiti bercetak dan elektronik termasuk melalui paparan elektronik (skrin digital) dan pengedaran risalah mengenai Covid-19 dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu.

“Lebih satu juta risalah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban dan Kadazan telah disediakan berkaitan Covid-19,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan turut menangkis penyebaran berita palsu melalui perkongsian maklumat sahih menerusi semua media sosial rasmi kementerian dan hingga kini sebanyak 987 hantaran menggunakan maklumat daripada Kementerian Kesihatan, RTM dan Bernama telah dikongsi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Negara lulus mansuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Dewan Negara hari ini meluluskan pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) setelah kali kedua dibawa ke persidangan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin ketika sesi penggulungan RUU berkenaan berkata pemansuhan itu selaras komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

“Kezaliman ini sejarah dan kita tak mahu lagi berulang. Kita tidak boleh memperhambakan manusia menerusi undang-undang yang zalim kerana kebebasan adalah yang paling berharga,” katanya.

Akta 803 diluluskan pada 3 April 2018 sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.

Pemansuhan bagi akta tersebut diluluskan di Dewan Rakyat kali pertama pada 16 Ogos tahun lepas, namun tidak mendapat sokongan di Dewan Negara yang dibuat melalui undi belah bahagian pada 12 September 2018.

RUU itu kemudian sekali lagi dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat dan diluluskan pada 9 Oktober lepas.

Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Mohamed Hanipa berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan boleh dipinda, sekiranya ia tidak mampu untuk menangani isu berita palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Dewan Rakyat hari ini memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan yang dahulu.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Rang Undang-undang itu diluluskan selepas dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas melalui proses undi belah bahagi dengan majoriti lebih ramai yang bersetuju iaitu 92 ahli parlimen berbanding 51 yang tidak bersetuju.

Sebanyak 25 ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang berbahas mengenai rang undang-ndang itu selama dua hari sejak semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) komited untuk memansuhkan akta tersebut kerana tidak mahu ada pihak menjadi mangsa kezaliman akta tersebut.

“Jika diteliti secara mendalam undang-undang ini didapati bersifat draconian dan berpotensi untuk disalahguna,” katanya.

Mohamed Hanipa menjelaskan kerajaan PAKATAN tidak zalim berbanding BN berkaitan undang-undang tersebut.

“Sewaktu pentadbiran BN, hanya seorang sahaja pesalah didakwa dan dihukum di mahkamah, namun sewaktu kerajaan PAKATAN tiada seorang pun didakwa di bawah akta itu membuktikan kerajaan PAKATAN peduli terhadap ketidakadilan akta berkenaan,” katanya.

Rang Undang-undang itu dibentangkan untuk memansuhkan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803), yang diluluskan sewaktu pentadbiran kerajaan yang lepas.

Menurut buku Rang Undang-undang itu yang diedarkan kepada media pada Isnin, ia antara lain menyebut mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 803, disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada.

“Ia seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Oleh itu, Akta 803 tidak lagi relevan,” menurut buku tersebut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Akta berita palsu bebankan pengamal media?

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 APRIL: Akta Antiberita Tidak Benar disifatkan sebagai satu beban buat pengamal media kerana ia akan menjadi satu alat menutup sesuatu maklumat yang benar dari disebarkan, kata Penyampai Astro Awani, Nadzli Kahar.

Katanya, undang-undang ini lebih kepada isu politik kerana ia dilihat mengongkong petugas media untuk bebas membuat liputan saksama, adil dan benar kepada masyarakat menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Akta ini lebih kepada menahan maklumat berkaitan yang perlu diberitahu kepada rakyat, ia dijadikan undang-undang supaya masyarakat tidak berkongsi dan menyampaikan maklumat itu kepada orang lain,

“Akta ini juga membuatkan pengamal media tidak diajak berunding dan industri media tidak dipanggil pihak berkaitan untuk berbincang mengenai undang-undang ini, jadi apa yang kami faham tentang ‘fake news’ ini memang tiada,” katanya di Forum Demokrasi PRU14: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia, semalam.

Forum dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) itu bertempat di Universiti Selangor (UNISEL) bagi membincangkan siapa pilihan rakyat Malaysia menjelang PRU14.

Turut hadir sebagai ahli panel, Setiausaha Pakatan Harapan, Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi IDE, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.