Categories
SELANGOR

Majlis rai jasa petugas dan penyokong PAKATAN meriah

OLEH HAZIQ ISMAIL

AMPANG, 12 MEI: Nasi briyani, kambing golek dan daging kawah antara makanan disediakan dalam majlis kesyukuran bagi penyokong dan petugas Pakatan Harapan (PAKATAN) sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), semalam.

Majlis anjuran Ketua Cabang dan Jawatankuasa KEADILAN Cabang Ampang yang berlangsung Bilik Gerakan Kampung Melayu Ampang itu mula dibanjiri orang ramai seawal jam 5 petang.

Majlis itu diadakan selepas kemenangan besar Zuraida Kamarudin mempertahankan kerusi Parlimen Ampang, DUN Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan DUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.

Majlis itu juga dianjur khusus menghargai dan berterima kasih di atas segala jasa mereka terlibat menjayakan proses PRU14.

Terdahulu, PAKATAN menang majoriti mudah  113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Selain mempertahankan elangor dan Pulau Pinang, PAKATAN juga berjaya menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tsunami Rakyat bakal melanda negara 9 Mei ini – Tun M

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad percaya ‘Tsunami Rakyat Malaysia’ akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, Hulu Kelang, beliau kagum dengan kehadiran hampir 50,000 rakyat bagi menyatakan sokongan kepada PAKATAN.

“Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang berdiri dalam hujan bukan untuk mendengar syarahan tetapi mengatakan sokongan terhadap perubahan rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan beliau adalah pahlawan Bugis tetapi hakikatnya takut dengan diri sendiri apabila wajah beliau terpaksa ditutup di poster sepanjang tempoh berkempen.

“Sudah lama kita menderita, kita lihat PM cuba beli undi. Undi itu percuma,
Najib tidak payah guna duit banyak, turun salam dengan orang cukup tapi dia jawab ‘Cash Is King’.

“Mereka dapat duit lupa segalanya. Duit tidak boleh beli segalanya, syurga di akhirat,” katanya.

Dalam ucapannya Mahathir menggesa rakyat supaya keluar mengundi dan memberikan majoriti kemenangan besar kepada PAKATAN supaya dapat membentuk kerajaan baru buat Malaysia.

Categories
NASIONAL

Demi masa depan generasi akan datang

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan, Nik Omar Nik Aziz menyeru pengundi memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) demi masa depan negara.

Nik Omar turut mendoakan semua pengundi berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

“Peluang ini harus kita guna sebaik mungkin supaya kerajaaan dan pemimpin dapat melaksanakan tugas di bahu mereka.

“Ini peluang merubah negara Malaysia ke arah lebih baik.

“Saya merayu semua pengundi supaya fikirkan kehidupan kita dan generasi akan datang,” katanya.

Nik Omar berkata demikian ketika berucap menerusi lintas langsung pada himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat.

Categories
SELANGOR

Persempadanan semula: Jangan ingat BN boleh menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor dengan mewujudkan 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu tidak lagi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda bagi penggal 2013-2018, Shuhaimi Shafiei berkata, pengundi Melayu kini memilih menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti.

“Kawasan ini dahulu di bawah N49 Seri Andalas tetapi ia berubah kepada Sungai Kandis selepas berlaku pecahan persempadanan, mereka (BN) sangka dengan cara itu mereka boleh menang.

“BN boleh rancang, boleh pecah tetapi 33 kerusi Melayu akan kekal dengan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya N49 Sungai Kandis, di sini, semalam.

Jelasnya, senario sokongan Melayu kepada PAKATAN hari ini sudah jauh berbeza berbanding mood pengundi Melayu di awal proses persempadanan dijalankan pada 2016 lalu.

Katanya, pada masa ini, rata-rata pengundi Melayu tidak lagi teragak-agak menolak BN dan memberikan sokongannya kepada PAKATAN.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan terpaksa menunggu proses persempadanan semula diselesaikan sebelum beliau membubarkan parlimen.

Beliau dipercayai mengambil langkah itu selepas mengkaji pola undian masyarakat pada PRU-13 lalu di mana BN menguasai di kawasan majoriti Melayu.

Categories
NASIONAL

Akta berita palsu bebankan pengamal media?

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 APRIL: Akta Antiberita Tidak Benar disifatkan sebagai satu beban buat pengamal media kerana ia akan menjadi satu alat menutup sesuatu maklumat yang benar dari disebarkan, kata Penyampai Astro Awani, Nadzli Kahar.

Katanya, undang-undang ini lebih kepada isu politik kerana ia dilihat mengongkong petugas media untuk bebas membuat liputan saksama, adil dan benar kepada masyarakat menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Akta ini lebih kepada menahan maklumat berkaitan yang perlu diberitahu kepada rakyat, ia dijadikan undang-undang supaya masyarakat tidak berkongsi dan menyampaikan maklumat itu kepada orang lain,

“Akta ini juga membuatkan pengamal media tidak diajak berunding dan industri media tidak dipanggil pihak berkaitan untuk berbincang mengenai undang-undang ini, jadi apa yang kami faham tentang ‘fake news’ ini memang tiada,” katanya di Forum Demokrasi PRU14: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia, semalam.

Forum dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) itu bertempat di Universiti Selangor (UNISEL) bagi membincangkan siapa pilihan rakyat Malaysia menjelang PRU14.

Turut hadir sebagai ahli panel, Setiausaha Pakatan Harapan, Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi IDE, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

Categories
NASIONAL

Calon muda PAKATAN tekad bawa suara anak muda

OLEH HAZIQ ISMAIL

PETALING JAYA, 17 APR: Empat calon anak muda Pakatan Harapan (PAKATAN) bersedia membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi sekiranya berjaya memenangi kawasan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Calon Parlimen Paya Besar (Pahang), Asyraf Mustaqim Badrul Munir, berkata kuasa anak muda penting membina Malaysia yang pro rakyat.

“Generasi muda di Malaysia sedang berhadapan kebejatan luar biasa akibat polisi pentadbiran bermasalah oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Anak muda menanggung beban ekonomi menyebabkan kualiti hidup merosot walaupun menpunyai taraf pendidikan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Calon Pemuda PRU 14, di Ibu Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di sini, hari ini.

Sementara, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor (Kelantan) Hazmi Hassan pula  berpandangan, penglibatan anak muda pada pilihan raya kali ini lebih ramai berbanding PRU-13.

“Dengan adanya aku janji ini saya berharap anak muda terus melibatkan diri dalam politik.

“Saya bercakap tentang perubahan tetapi semasa pilihan raya jika tidak berkerjasama, kita akan terus dibawah pimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Bagi Young Syefura Othman yang bakal bertanding di DUN Ketari (Pahang) pula berharap kemenangan besar bakal berpihak kepada PAKATAN kerana sekarang adalah masa terbaik untuk golongan muda melakukan perubahan.

Keempat-empat calon anak muda ini sebelum itu menandatangani Aku Janji Deklarsi Bersama Anak Muda sebagai tanda sokongan kepada Deklarsi Kongres Anak Muda Malaysia 2017.

Categories
NASIONAL

Kerajaan umum 9 Mei hari kelepasan am tambahan

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 11 APR: Kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara sempena hari mengundi dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat Perdana Menteri memaklumkan, keputusan itu dibuat berikutan pengumuman hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jatuh pada hari bekerja.

“Ini bagi membolehkan rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pengisytiharan cuti umum ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak hendaklah mengisytiharkan hari berkaitan sebagai hari kelepasan am tambahan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Categories
NASIONAL

DAP setuju guna logo bersama pada PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: DAP bersetuju menggunakan satu logo yang dipersetujui bersama parti di dalam Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggunaan logo bersama itu akan diumumkan Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad di Johor Bahru, esok.

“Ini bukanlah keputusan mudah untuk DAP tetapi untuk kebaikan bersama PAKATAN, DAP bersetuju menggunakan satu logo bersama yang akan diumumkan Tun Dr Mahathir nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun penggunaan logo bersama itu tidak melibatkan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, penggunaan logo parti masing-masing di Sabah dan Sarawak disebabkan keistimewaan kuasa autonomi yang dimilik Sabah dan Sarawak.

PAKATAN merupakan satu konsesus empat parti utama Semenanjung Malaysia iaitu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara di Sabah, PAKATAN turut dianggotai Parti Warisan Sabah.

Categories
NASIONAL

YDP Dewan Rakyat sedia hadapi kemungkinan blok kiri menang PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Seri Panglima Pandikar Amin Mulia bersedia berhadapan kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata, beliau pasti tidak akan dipilih semula sebagai Yang Dipertuan Dewan Rakyat sekirnya pertukaran kerajaan berlaku.

“Saya sendiri juga sudah bersedia menghadapi kekecewaan sekiranya tidak dicalonkan sebagai Dipertua Dewan Rakyat selepas PRU-14 nanti.

“Manalah tahu, pihak yang menang nanti adalah pihak di sebelah kiri pula,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kata-katanya itu disambut dengan sorakan Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan terakhir itu.

Pandikar Amin turut menasihati supaya Ahli Parlimen lain juga jangan kecewa sekiranya tidak dicalonkan parti masing-masing pada PRU-14 nanti.

Jelasnya, sebagai ahli politik, mereka perlu menerima keputusan itu sebagai asam garam dalam politik.

Katanya, Persidangan Parlimen Ke-13 Malaysia yang bermula pada 24 Jun 2013 itu turut melalui pelbagai cabaran dan pengalaman pahit dan manis.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat kerana memberikan idea dan sumbangan sepanjang persidangan berlangsung,” katanya lagi.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini merupakan persidangan terakhir sebelum pembubaran parlimen yang dijangka berlaku esok.

Categories
NASIONAL

Maria Chin bertanding PRU-14, letak jawatan Pengerusi BERSIH

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 6 MAC: Maria Chin Abdullah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi BERSIH 2.0 dan mengumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Maria berkata, dia akan menawarkan diri sebagai ahli Parlimen dan calon bebas Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Keputusan berundur daripada Bersih 2.0 sebagai pengerusi adalah bagi menyahut cabaran baru dalam dunia politik sekali gus mengukuhkan reformasi agenda demokratik di negara ini.

“Saya juga tidak menyertai mana-mana parti politik supaya dapat kebebasan meneruskan agenda ini sekali gus membantu saya merealisasikannya.

“Walaupun memilih landasan PAKATAN, namun bertanding sebagai calon bebas dapat memberi saya tumpuan dalam mendorong agenda pembaharuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Maria melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi BERSIH 2.0 pada 4 Mac lalu selepas Jawatankuasa Pemandu menerima perletakan jawatannya yang mana semalam adalah hari terakhir beliau di pejabat.

Categories
NASIONAL

PAKATAN tidak akan guna strategi takutkan rakyat dalam PRU-14

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan menggunakan strategi menakutkan rakyat untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Sekreteriat Pakatan Harapan, Dato’ Saifuddin Abdullah mendakwa budaya menakut-nakutkan rakyat yang ada telah disemai dan dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Kita tidak akan menggunakan strategi menakutkan pengundi atau rakyat.

“Kita hanya akan guna istilah ‘takut’ yang sah sahaja seperti takut rasuah berleluasa, takutkan kezaliman dan takut kepada pimpinan kleptokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14 di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), semalam.

Menurutnya, jika budaya takut menebal, ia boleh mengakibatkan rakyat hilang fokus hingga terlupa perkara besar termasuk membawa perubahan kepada negara.

Katanya, pengundi Melayu beragama Islam sering dikaitkan dalam menentukan keputusan pilihan raya berbanding kumpulan bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

“Bagi BN, dia tak kisah sangat dapat undi dari bukan Melayu tetapi yang penting meraka akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin undi dan menang kawasan majoriti Melayu.

“Pakatan Harapan pula kena pertahankan undi sedia ada termasuk dari bukan Melayu selain mesti mendapatkan undi Melayu di kawasan Felda dan luar bandar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lagi janji ‘dicapati’, BN kompromi kualiti ubat untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 FEB: Rakyat dinasihatkan supaya tidak lagi percaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, rakyat perlu sedar bahawa banyak janji ditaburkan pada PRU-13 lalu gagal ditunaikan termasuk sektor yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kesihatan dan pengangkutan awam.

“Antara yang penting ialah kesihatan di mana Umno-BN berjanji membangunkan sistem nasional yang akan menyediakan akses penjagaan kesihatan berkualiti kepada semua rakyat.

“Ia hanyalah janji manis apabila kita melihat peruntukan kesihatan dipotong dengan teruk akibat masalah ekonomi dan kita mendapat aduan kualiti ubat juga dikompromi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, Umno-BN juga berjanji meningkatkan kecekapan pengangkutan awam termasuk meningkatkan jumlah permit teksi individu.

Bagaimanpun, sebaliknya nasib pemandu teksi semakin dianaktirikan apabila perkhidmatan Grab dan Uber semakin berkembang sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Umno-BN juga tidak mengambil sebarang usaha untuk menurunkan harga kereta seperti dalam manifesto PRU-13 lalu.