KUALA LUMPUR, 18 FEB: Elemen penguatkuasaan perlu dimasukkan sekiranya Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) dipinda bagi membasmi kegiatan mengemis memandangkan undang-undang sedia ada hanya terpakai bagi tujuan perlindungan dan pemulihan terhadap golongan tersebut.
Peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor berpendapat hukuman seperti denda, kompaun, denda khidmat masyarakat atau penjara wajar diperkenal terutama bagi aktiviti mengemis melibatkan elemen eksploitasi atau yang menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya.
“Akta sedia ada hanya terpakai untuk memberi perlindungan dan pemulihan terhadap golongan itu yang berumur 60 tahun ke atas dan 18 hingga 59 tahun yang dikategorikan miskin tegar, daif dan tiada keluarga selain bersifat memberi perlindungan dan pemulihan terhadap pengemis yang diselamatkan dalam operasi.
“Tetapi mengambil kira keadaan semasa dengan kegiatan mengemis semakin serius dan mempunyai unsur sindiket selain ada yang menganggap mengemis sudah seperti satu kerjaya dan bukan lagi mengemis untuk kelangsungan hidup, jadi penambahbaikan perlu dibuat bagi membendung kegiatan ini,” katanya kepada Bernama.
Bernama dalam laporan khas mengenai isu pengemis bermula Rabu menarik perhatian berkenaan isu kelompangan undang-undang yang menjadi antara punca aktiviti mengemis sukar dibendung malah beberapa bandar termasuk Kuala Lumpur menjadi ‘syurga’ buat mereka.
Di bawah Akta 183, pengemis yang dikategorikan sebagai papa akan dihantar ke rumah kebajikan selama tiga tahun dan mereka akan menjalani pemulihan dari segi sahsiah, kerohanian dan kemahiran.
Mengulas lanjut, Nur’Aminahtul Mardiah berkata tindakan penguatkuasaan yang lebih jelas terhadap pengemis warga asing juga perlu dipertimbangkan, namun berpendapat layanan adil perlu diberikan agar golongan itu tidak dilayan seperti penjenayah sebelum mengetahui situasi dan punca sebenar mereka memilih jalan untuk mengemis.
Memberi contoh peruntukan undang-undang di bawah Destitute Persons Act yang diguna pakai di Singapura dalam menangani isu pengemis, Nur’Aminahtul Mardiah berkata undang-undang yang digunakan disifatkan tegas namun pada sama masih melindungi golongan tersebut.
“Singapura mengenakan hukuman denda tidak melebihi $3,000 (kira-kira RM9,342) atau penjara tidak melebihi dua tahun kepada pengemis yang telah ditangkap mengemis sekurang-kurangnya dua kali sebelumnya dan akan diletakkan di rumah kebajikan, selain dokumentasi identiti direkodkan dengan gambar dan cap jari,” katanya.
Turut senada, peguam Muhammad Akram Dr Abdul Aziz, berpandangan bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan akta baharu sebaliknya hanya perlu menambah baik akta sedia ada.
“Apa yang kita perlukan bukannya lambakan Akta, tetapi undang-undang sedia ada yang dikemas kini supaya relevan dan boleh dikuatkuasakan secara efektif. (Dalam Akta 183) Hanya ada satu seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara (tiga bulan) iaitu Seksyen 11,” katanya.
Akram berpandangan undang-undang yang ingin dikuatkuasakan tidak perlu mengikut acuan negara lain yang lebih ketat dalam menangani isu tersebut, sebaliknya dikaji dan dirujuk berasaskan kepada latar belakang populasi negara.
“Saya percaya niat asal akta digubal adalah lebih kepada menjaga dan memulihkan orang papa atau mereka yang mengemis ini juga adalah berlandaskan persepsi bahawa mereka ini memerlukan bantuan dan tidak wajar dihukum, sebaliknya fokus kepada golongan yang mengambil kesempatan,” katanya.
Menurutnya, selain kelompongan undang-undang, mentaliti rakyat Malaysia juga perlu diubah dan tidak hanya digalas pihak berkuasa semata-mata.
“Sebagai pengamal undang-undang, saya merasakan isu seperti ini perlu dilihat secara holistik; kelompongan undang-undang hanyalah sebahagian daripada masalah.
“Mungkin pertambahan ‘pengemis jadian’ ini juga berpunca daripada sikap warga Malaysia yang kadang kala terlalu pemurah sehingga mereka diambil kesempatan,” katanya.
-BERNAMA