Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes Ahmad Maslan gagal isytihar RM2 juta bermula 16 Oktober

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Perbicaraan kes Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan bermula 16 Oktober ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad menetapkan empat hari iaitu 16 dan 23 Oktober; 6 November serta 24 Disember untuk perbicaraan, semasa sebutan kes hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad, 54.

Hamidi memaklumkan mahkamah bahawa permohonan semakan untuk membatalkan dua pertuduhan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Ogos lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan Ahmad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan bekas timbalan menteri kewangan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya selepas berpuas hati permohonan tersebut adalah pramatang.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Maslan gagal batal tuduhan isytihar RM2 juta

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan untuk dibebaskan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa permohonan yang difailkan oleh Ahmad, 54, untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya pada 11 Februari lepas adalah pramatang.

Beliau turut berpandangan bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh ahli parlimen Pontian dan bekas timbalan menteri kewangan itu tidak cacat dan berasas.

Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua pihak selepas mempertimbangkan nas undang-undang.

“Oleh itu mahkamah menolak permohonan pemohon (Ahmad),” katanya

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin.

Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan pada 1, 2, 16 dan 23 Oktober serta 6 November dan 24 Disember depan selain menetapkan 4 September ini untuk sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria hadir bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, Ahmad yang berpakaian sut lengkap kelabu tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi.

Dia didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ahmad didakwa telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Permohonan Ahmad Maslan batal tuduhan gagal isytihar RM2 juta didengar 19 Jun

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Permohonan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan, gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan didengar 19 Jun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memberitahu Bernama tarikh baharu itu menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

“Pada 12 Mei lepas, pihak mahkamah telah menghubungi pihak pendakwaan dan peguam untuk memaklumkan tarikh baharu bagi mendengar permohonan itu.

“Mahkamah menetapkan 19 Jun ini bagi mendengar permohonan tertuduh dan juga untuk pengurusan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata mahkamah sebelum ini menetapkan 12 Jun untuk mendengar permohonan dan pengurusan kes tersebut namun tarikh itu telah ditukar.

Pada 21 Januari lepas Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib pada 2013 kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pendapatan sebenarnya kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa telah menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh telah memberi penyataan-penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM, iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahmad Maslan tidak mengaku gagal isytihar RM2 juta diberi Najib

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad, 54, yang memakai sut hitam mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 yang mana cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh telah memberi penyataan-penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahmad Maslan, Shahrir Samad ke mahkamah esok kes wang haram

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan diheret ke mahkamah atas pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata Ahmad ahli parlimen Pontian dan Shahrir yang merupakan bekas ahli parlimen Johor Bharu itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Masing-masing ditahan pada jam 10.10 dan jam 11.22 pagi ini di Ibu Pejabat SPRM.

“Shahrir dan Ahmad ditahan hari ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

“Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM dan semua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” kata SPRM.