Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelancaran 5G, Malaysia antara perintis di Asean

CYBERJAYA, 9 JAN: Malaysia sudah bersedia untuk melancarkan pengkomersilan teknologi generasi kelima (5G) pada suku ketiga tahun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Menurut beliau, pelaksanaan teknologi ini bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi dan memartabatkan Malaysia sebagai salah satu perintis 5G di rantau Asean.

“Pelaksanaan 5G agak berbeza dan aplikasinya menjangkau jauh daripada sekadar telefon pintar pengguna. 5G adalah untuk industri serta perniagaan. Sudah tentu, 5G juga tersedia untuk pengguna termasuk bagi akses tanpa wayar yang tetap,” katanya semasa memberi taklimat media mengenai 5G di sini hari ini.

Beliau ketika merujuk kepada penemuan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia mengenai kesan pelaksanaan 5G ke atas ekonomi Malaysia, menjelaskan penggunaan teknologi itu akan menyumbang sehingga RM12.7 bilion antara 2021 dan 2025 kepada ekonomi negara serta mampu mewujudkan lebih daripada 39,000 pekerjaan baharu.

Ditanya jika pasaran tempatan masih memerlukan 4G, Al-Ishsal memberitahu ia akan kekal relevan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan tidak akan digantikan oleh 5G dalam tempoh terdekat.

Katanya, SKMM menerima 100 kes penggunaan yang dicadangkan oleh kerajaan serta industri, di mana 72 kes penggunaan akan dilancarkan di tapak 56 tapak 5G secara langsung di Kedah, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang di bawah sembilan segmen menegak merangkumi pertanian, pendidikan, hiburan/media, penjagaan kesihatan digital, pembuatan dan pemprosesan, minyak & gas, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

SKMM, beserta pihak berkepentingan dan syarikat-syarikat seperti Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Petroliam Nasional Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, sedang menjalankan projek demonstrasi 5G di enam negeri yang melibatkan pelaburan awal sebanyak RM143 juta.

Kata Al-Ishsal lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan untuk merasmikan projek demonstrasi 5G Malaysia di Langkawi, Kedah, pada 19 Januari, melibatkan 11 penggunaan secara langsung di Pusat Arahan 5G Langkawi, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Sempena acara tersebut, SKMM juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia di Langkawi pada 20 Januari bagi membincangkan perkembangan dan prospek pelaksanaan 5G,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan syarikat labur RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G

CYBERJAYA, 30 SEPT: Sejumlah lapan syarikat telah komited untuk membuat pelaburan awal bernilai RM116 juta bagi projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, syarikat tersebut ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Bercakap dalam satu taklimat media mengenai Projek Demonstrasi Malaysia (Okt 2019-Mar 2020) di sini hari ini, beliau memberitahu syarikat-syarikat ini akan menonjolkan kes-kes kegunaan 5G di seluruh sembilan bidang iaitu pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan dan media, industri pemprosesan serta pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

“Akan ada 32 tapak 5G merentasi enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur yang akan berfungsi selama enam bulan, dengan 55 kes penggunaan 5G membabitkan sembilan bidang,” katanya.

Kes-kes penggunaan itu merangkumi lampu trafik pintar, tempat letak kereta pintar, diagnosis jarak jauh, pelancongan perubatan, konsultasi perubatan jarak jauh, pertanian pintar, penjejakan kenderaan dan pengawasan video pengawasan panorama 360° 5G.

Projek demonstrasi 5G ini akan memberi tumpuan kepada memudahkan dan memupuk pembangunan ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di negara ini bagi merangsang permintaan serta penggunaan teknologi untuk perniagaan dan pengguna.

“Kami berharap dapat mengkomersialkan beberapa kes penggunaan bermula pada suku ketiga 2020,” katanya lagi.

Al-Ishsal berkata, sokongan dan pelaburan yang agak padu daripada syarikat yang terlibat membuktikan komitmen industri ke arah mewujudkan penggunaan yang kukuh dan berdaya maju bagi aplikasi 5G yang akan mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup di kalangan rakyat Malaysia.

“SKMM berharap kes-kes penggunaan ini akan menarik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan 5G di Malaysia termasuk cadangan untuk kesalinghubungan di negeri-negeri lain,” tambahnya.

– BERNAMA