Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Subang Jaya dipilih laksana Projek Demonstrasi 5G

SUBANG JAYA, 12 DIS: Subang Jaya menjadi lokasi terawal di Selangor yang dipilih Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas Langkawi bagi memulakan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) selama enam bulan.

Projek itu dimetrai selepas unit rumusan perniagaan perusahaan dan sektor awam TM, TM ONE bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Emperor Ballroom, Hotel Empire hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Selangor berbesar hati melaksanakannya selaras hasrat ke arah Negeri Pintar pada 2025.

“Ini adalah satu contoh yang baik bagaimana kolaborasi antara teknologi dengan agensi kerajaan akan membantu mempercepatkan proses perkhidmatan kepada rakyat, memperbanyakkan pemantauan dan sebagainya.

“MPSJ adalah tempat untuk kita memulakan beberapa projek perintis sebelum ini. Saya percaya ia boleh dikembang kepada aspek keselamatan seperti yang berjaya ditunjukkan di beberapa daerah,” katanya.

Projek 5GDP di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan pelaksanaan tiga kes gunaan iaitu penyelesaian Lampu Trafik Pintar, Parkir Pintar serta Keselamatan dan Pengawasan Pintar di SS15, Subang Jaya.

MoC itu menyaksikan TM ONE diwakili Naib Presiden Eksekutif Ahmad Taufek Omar manakala MPSJ diwakili Yang Dipertua TPr Noraini Roslan sambil disaksikan Amirudin, Pengerusi TM Rosli Man dan Ketua Pegawai Digital SKMM Gerard Lim.

Melalui memorandum itu, TM ONE dan MPSJ bersetuju untuk bekerjasama dalam pelaksanaan rangkaian 5G dengan melancarkan tiga kes gunaan yang berfungsi sepenuhnya sejak November 2019.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan syarikat labur RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G

CYBERJAYA, 30 SEPT: Sejumlah lapan syarikat telah komited untuk membuat pelaburan awal bernilai RM116 juta bagi projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, syarikat tersebut ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Bercakap dalam satu taklimat media mengenai Projek Demonstrasi Malaysia (Okt 2019-Mar 2020) di sini hari ini, beliau memberitahu syarikat-syarikat ini akan menonjolkan kes-kes kegunaan 5G di seluruh sembilan bidang iaitu pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan dan media, industri pemprosesan serta pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

“Akan ada 32 tapak 5G merentasi enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur yang akan berfungsi selama enam bulan, dengan 55 kes penggunaan 5G membabitkan sembilan bidang,” katanya.

Kes-kes penggunaan itu merangkumi lampu trafik pintar, tempat letak kereta pintar, diagnosis jarak jauh, pelancongan perubatan, konsultasi perubatan jarak jauh, pertanian pintar, penjejakan kenderaan dan pengawasan video pengawasan panorama 360° 5G.

Projek demonstrasi 5G ini akan memberi tumpuan kepada memudahkan dan memupuk pembangunan ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di negara ini bagi merangsang permintaan serta penggunaan teknologi untuk perniagaan dan pengguna.

“Kami berharap dapat mengkomersialkan beberapa kes penggunaan bermula pada suku ketiga 2020,” katanya lagi.

Al-Ishsal berkata, sokongan dan pelaburan yang agak padu daripada syarikat yang terlibat membuktikan komitmen industri ke arah mewujudkan penggunaan yang kukuh dan berdaya maju bagi aplikasi 5G yang akan mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup di kalangan rakyat Malaysia.

“SKMM berharap kes-kes penggunaan ini akan menarik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan 5G di Malaysia termasuk cadangan untuk kesalinghubungan di negeri-negeri lain,” tambahnya.

– BERNAMA