Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir takziah pemergian Datuk Ahmad A Talib

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga tokoh wartawan Datuk Ahmad A Talib, yang meninggal dunia hari ini, selepas bertarung dengan kanser hati.

Menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham, Yang di-Pertuan Agong berharap agar keluarga Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu, serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia kewartawanan negara amat dihargai, dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada negara,” demikian menurut hantaran di akaun rasmi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarham yang berusia 69 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada 5.42 petang.

Berita sedih itu dikongsikan oleh anak perempuan Allahyarham Sophia Ahmad, menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Kerjaya Allahyarham bermula sebagai wartawan kadet Perkhidmatan Berita Ekonomi di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1972, sebelum berhijrah dan berkhidmat di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) pada 1978, dan akhbar tempatan Berita Harian sekitar 1985.

Pada 1987, Ahmad dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita Harian dan pernah memegang beberapa jawatan utama seperti Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita; Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan, sekitar tahun 1991 hingga 1996.

Allahyarham seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times pada 1998 dan sebagai Pengurus Besar Kumpulan (Komunikasi dan Pemasaran Editorial) New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada 2004.

Beliau bersara awal daripada Kumpulan NSTP pada 2005.

Pada Julai 2009, Ahmad menyertai semula NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu dan Media Prima Bhd (MPB), seterusnya dilantik sebagai Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPB pada 2013.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan pengebumian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, PM adakan mesyuarat pra-kabinet menerusi sidang video

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini mengadakan mesyuarat mingguan Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

Mesyuarat itu diadakan menerusi sidang video berikutan negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik Covid-19.

Sidang video bersama Perdana Menteri, yang bermula pada 8.30 pagi berlangsung selama 45 minit.

Sedutan sidang video itu turut dimuat naik dalam laman Instagram Istana Negara.

Menurut Istana Negara dalam catatannya, pada akhir sesi itu, Seri Paduka menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta Maaf Zahir Batin kepada Perdana Menteri dan keluarga serta Jemaah Menteri dan anggota pentadbiran kerajaan.

Dalam ucapan balasnya, Muhyiddin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh Kerabat Diraja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong tinjau pelaksanaan PKP waktu malam

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencemar duli meninjau sendiri keadaan lalu lintas pada sebelah malam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga di sekitar Kuala Lumpur.

Istana Negara, menerusi laman Instagram, memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa berpuas hati apabila rakyat memberi kerjasama yang baik mematuhi PKP fasa tiga yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Turut dimuat naik bersama hantaran itu, video berdurasi 18 saat, yang memaparkan Seri Paduka Baginda menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda puas hati dengan sikap pematuhan yang ditunjukkan oleh rakyat.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan sokongan atas usaha kerajaan meneruskan PKP fasa tiga ini dan berharap rakyat dapat terus memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan diri dan terus berada di rumah.

Al-Sultan Abdullah turut berdoa semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera.

Sebelum ini, Seri Paduka Baginda pernah mencemar duli meninjau keadaan di ibu kota pada hari ketiga pelaksanaan PKP fasa satu dengan memandu sendiri kenderaan selain turut berkenan meninjau beberapa lokasi tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sekatan jalan raya.

Fasa pertama PKP bermula 18 hingga 31 Mac diikuti fasa kedua dari 1 hingga 14 April dan fasa ketiga dari 15 hingga 28 April ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong mesyuarat Pra-Kabinet dengan PM guna sidang video

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan sesi Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi sidang video di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sesi sidang video itu julung kali diadakan untuk Mesyuarat Pra-Kabinet berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula hari ini hingga 28 April, bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan supaya mesyuarat Pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan untuk Seri Paduka Baginda berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya berkenaan isu semasa.

“Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat kerana secara lazimnya, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Istana Melawati di Putrajaya untuk mesyuarat-mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata sesi itu berlangsung selama 45 minit dari pukul 8.30 pagi, dengan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mesra dan saling bertanya khabar, selain penuh teliti ketika perbincangan itu.

Beliau berkata dalam sidang video itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah di atas keprihatinan Seri Paduka supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan, mulai Mac hingga Ogos.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas sokongan Seri Paduka terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk Fasa Ketiga sehingga 28 April,” katanya.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 18 Mac lepas kerana pada minggu berikutnya Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga telah dinasihatkan untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari di Istana Negara bermula 25 Mac.

Ia susulan tujuh petugas Istana Negara disahkan positif Covid-19.

Seri Paduka berdua dan keluarga, dalam tempoh kuarantin itu turut menjalani beberapa proses saringan dan pengesanan jangkitan wabak itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah disahkan negatif Covid-19.

Ahmad Fadil berkata Muhyiddin turut melahirkan rasa syukur Seri Paduka dan keluarga bebas Covid-19 setelah selamat menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong titah rakyat bantu bendung wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Menitahkan rakyat Malaysia untuk sama-sama berperanan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak orang ramai membatalkan hasrat balik kampung serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

“Saya juga minta batalkan hasrat untuk balik kampung dan jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah,” titah Seri Paduka dalam Titah Diraja mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen utama negara malam ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan mencegah penularan Covid-19 bermula dengan amalan kebersihan diri masing-masing seperti kerap membasuh tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Rakyat diminta supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bermula pada 18 hingga 31 Mac, jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting,” titah Yang di-Pertuan Agong pada hari ketiga perintah kawalan itu dikuatkuasakan.

Al-Sultan Abdullah menasihati orang ramai untuk menangguhkan sebarang majlis perkahwinan sehingga keadaan pulih bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan menyebabkan risiko jangkitan Covid-19.

Mengajak rakyat memberi kerjasama sepenuhnya menjayakan tindakan kerajaan mengawal penularan wabak itu dalam tempoh dua minggu ini, Seri Paduka menitahkan rakyat supaya tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat patuh kepada arahan pihak berkuasa dan tidak menyebar berita palsu.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wababk ini, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sebanyak 130 kes positif Covid-19 baharu dikesan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes direkodkan di Malaysia sebanyak 1,030 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Agong zahir kebimbangan, titah rakyat bantu KKM

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan Covid-19 semalam.

Justeru, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut agar jangkitan Covid-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan Covid-19.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan penganjur-penganjur majlis menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta selain menyediakan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) yang mencukupi bagi kegunaan peserta.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan dan pemantauan berterusan oleh KKM serta agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksana secara berkesan.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas usaha KKM dalam menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

“Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini,” katanya.

Semalam, KKM mengesahkan penambahan 28 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus itu di Malaysia sebanyak 83 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir tiba di Istana Negara menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr Mahathir dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada 10.57 pagi.

Bernama masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung tujuan kehadiran Dr Mahathir di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual ahli-ahli Parlimen secara individu pada Isnin dan Selasa susulan kemelut politik negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) hilang kuasa.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.

Dr Mahathir pada Isnin, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa jam kemudian Seri Paduka melantiknya sebagai Perdana Menteri sementara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang siap siaga mengawal kesihatan dan keselamatan negara, berikutan kejadian jangkitan koronavirus 2019 di Malaysia.

Menerusi catatan terbaharu dalam akaun Facebook rasmi milik Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sewaktu berkenan menerima sembah maklum situasi semasa daripada pihak Kementerian Kesihatan.

“Baginda turut bertitah mengingatkan rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat dan berita palsu berkaitan kejadian jangkitan koronavirus tanpa usul periksa,” menurut catatan itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat perlu lebih bertanggungjawab guna teknologi, komunikasi alam maya – Agong

PEKAN, 7 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi moden dan komunikasi alam maya.

Seri Paduka bertitah kemajuan teknologi dan komunikasi tidak seharusnya disalah guna dalam perkara yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

“Perbuatan menyebar fitnah, berita palsu dan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan negara merupakan satu perbuatan terkutuk yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada sekalian rakyat untuk lebih bertanggungjawab dan menghargai keharmonian negara. Teknologi moden sewajarnya dijadikan alat untuk kesejahteraan rakyat dan mencipta kejayaan, bukannya merosakkan negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia di sini hari ini, yang keseluruhannya melibatkan 686 graduan yang masing-masing menerima ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar, Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Datuk Prof Dr Omar Osman, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.

Mengenai kemajuan teknologi moden dan komunikasi alam maya, Al-Sultan Abdullah bertitah institusi pengajian tinggi juga perlu melakukan pelbagai transformasi agar dapat menyediakan graduan untuk menghadapinya.

Titah Seri Paduka, kehadiran teknologi membawa revolusi perindustrian keempat yang memberi impak kepada kehidupan dan landskap dunia masa hadapan yang mana teknologi dan sistem maklumat akan menggantikan manusia dalam kebanyakan pekerjaan.

“Institusi pengajian tinggi hendaklah menawarkan kursus pelbagai disiplin yang menjurus kepada teknologi di samping menerapkan kemahiran inter-personal, komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor universiti itu juga menyentuh mengenai kata semangat tertera pada dinding dewan itu, yang menarik perhatian baginda kerana disifatkan sebagai ‘pesanan yang baik’.

Pesanan itu mengingatkan supaya seseorang tidak berputus asa walaupun berdepan kegagalan sebanyak 100 kali kerana ia bermaksud terdapat 100 kali peluang untuk mencuba dan sedikit inovasi dapat membawa kejayaan pada masa depan.

“Saya harap ini akan menjadi pendoman kepada anak muda supaya tidak takut dengan kegagalan… sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk kita berjaya dengan lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan tahniah kepada semua graduan dan ibu bapa serta pengurusan universiti itu yang pada hari ini, menyaksikan 18 graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana menerima skrol mereka.

Seri Paduka turut menyentuh mengenai kejayaan universiti yang kini menawarkan 45 program asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan pengajian pasca siswazah mengkhusus kepada eko-sistem otomotif, yang disifatkan baginda sebagai pencapaian membanggakan selepas dinaik taraf kepada universiti pada Oktober 2015.

“Saya telah disembah maklum bahawa universiti ini telah memperkenalkan pembelajaran pengalaman kampus maya yang membolehkan pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk mengikuti sesi pembelajaran.

“Universiti ini juga telah mengorak langkah dengan melancarkan program akademik menerusi kaedah pembelajaran berasaskan kerja yang dijayakan melalui kerjasama dengan Composite Technology Research Malaysia yang dapat memberi pendedahan yang lebih jelas kepada teknologi yang diguna pakai di dunia serba moden,” titah Seri Paduka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat lawat Abu Dhabi National Oil Company

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), pada Sabtu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di ibu pejabat ADNOC, Corniche Road pada pukul 3.00 petang, disambut Menteri Dalam Negeri (Minister of State) Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan barisan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Seri Paduka diiringi Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh; Duta Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta pegawai-pegawai kanan Petronas dan Istana Negara.

Menurut kenyataan Istana Negara, dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah diberi taklimat objektif penubuhan dan operasi ADNOC oleh Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan pegawai-pegawai pengurusan tertinggi syarikat itu.

ADNOC ialah syarikat minyak dan petrokimia nasional Abu Dhabi dan merupakan syarikat pengeluar minyak ke-12 terbesar di dunia dengan jumlah pengeluaran 3 juta tong minyak sehari.

Lawatan itu adalah antara atur cara Seri Paduka sempena lawatan peribadi empat hari ke Abu Dhabi. Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Abu Dhabi pada Sabtu.

Pada lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat penubuhan dan operasi Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI), serta kursus-kursus yang ditawarkan universiti itu oleh Dr Sultan Al Jaber, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBZUAI.

MBZUAI ditubuhkan pada Oktober lepas dan pada masa ini beroperasi di ADNOC.

Lawatan Seri Paduka berdua ke Abu Dhabi adalah di atas jemputan peribadi dan sebagai tetamu khas Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, bersempena perlumbaan Formula One Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix 2019, pusingan akhir musim ini yang berlangsung hari ini di Yas Marina Circuit, Yas Island.

Pada Isnin, Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan UAE di Zayed Sports City dan diikuti dengan majlis pertemuan semula (reunion) Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom yang dianjurkan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat pulang selepas lawatan dua hari ke Labuan

LABUAN, 27 NOV: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlepas pulang ke ibu negara hari ini selepas melakukan lawatan dua hari ke pusat perkhidmatan kewangan antarabangsa Labuan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di lapangan terbang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan ketua jabatan serta agensi kerajaan.

Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan yang diberikan dan menzahirkan harapan agar perpaduan kaum terus dipelihara.

Ini adalah lawatan sulung Sultan Abdullah ke Labuan sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Dalam lawatan bermula pada Selasa, Seri Paduka menyempurnakan perasmian Kompleks Darul Kifayah dan menghadiri Majlis Rahmah Bersama Rakyat di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Daud dinobat penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pakar perundangan syariah, Datuk Daud Muhammad hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Daud pada sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Daud menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Mereka ialah ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail; aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye; pelopor Hospital Mesra Ibadah, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Daud, 84, yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan, dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Beliau merupakan Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 hingga sekarang.

Daud yang pernah menerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kelantan 1432H/2011M melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam Kuliyah Al-Syariah Wal Qanun dan Diploma Perpustakaan daripada Universiti Al-Azhar.

Antara sumbangan Daud ialah sebagai panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta mantan Penolong Nazir Guru-Guru Agama Sekolah Rendah Kerajaan.

Turut berangkat pada sambutan tahun ini ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

– BERNAMA