Categories
AGENDA NASIONAL

Amal by Malaysia Airlines jadual semula penerbangan penumpang di Arab Saudi

PUTRAJAYA, 1 MAC: Amal by Malaysia Airlines, perkhidmatan sewa khas syarikat penerbangan kebangsaan itu yang dikhususkan untuk jemaah haji dan umrah, menjadualkan semula penerbangan dua kali seharinya ketika ini antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jeddah (JED) dan Madinah (MED) untuk membawa pulang penumpangnya yang sudah berada di Arab Saudi.

Malaysia Airlines dalam kenyataan kepada Bernama semalam berkata 10 penerbangan akan dilakukan dalam tempoh 10 hari akan datang untuk tujuan itu.

“Keutamaan kami pada ketika ini adalah untuk membawa penumpang kami yang sudah berada di Arab Saudi pulang ke sisi keluarga mereka,” katanya.

Disebabkan penjadualan semula penerbangan itu, Malaysia Airlines berkata sesetengah penumpang mungkin perlu berlepas daripada bandaraya berbeza atau mungkin mengalami kelewatan penerbangan.

Penumpang yang terjejas bagaimanapun akan disediakan penginapan di hotel, makanan dan pengangkutan antara JED dan MED atau sebaliknya, sekiranya perlu,” katanya.

Semalam, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Agensi umrah mohon kerajaan Malaysia beri kelonggaran

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 13 FEB: Agensi perkhidmatan umrah dan haji berharap kerajaan Malaysia dapat berbincang dengan Arab Saudi bagi membantu menyelesaikan isu levi yang dikenakan jika seseorang ingin menunaikan umrah lebih kerap terutama membabitkan mutawwif bertugas.

Pengurus Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Dato Md Daud Che’ Ngah berkata, levi RM2,400 dikenakan Arab Saudi terpaksa dibayar bagi membolehkan seseorang melakukan ibadah umrah dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia termasuk kekangan daripada pihak imigresen yang tidak mengeluarkan pasport gantian, dalam tempoh enam bulan.

“Kita lihat kekerapan untuk pergi agak terbatas, maka kita terpaksa meminta mutawwif berkhidmat selama sebulan sesuai dengan tempoh visa dibenarkan sebagai penyelesaian. Selepas membawa dua kumpulan, dia (mutawwif) perlu kembali pulang.

“Apabila dia terhalang untuk pergi kali kedua, besar kemungkinan dia terpaksa pergi dengan pasport lama dan kita terpaksa membayar (levi). Kita memohon kerajaan khususnya kementerian memudahkan urusan.

“Kita juga minta imigresen longgarkan sekatan jika boleh (kebenaran) pergi berulang kali dan berkemampuan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘AMAL By Malaysia Airlines’ di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), semalam.

Mengulas berkenaan ‘AMAL By Malaysia Airlines’, Md Daud dan Andalusia menyambut baik usaha dilakukan syarikat penerbangan itu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan melalui pengisian ke arah keislaman buat jemaah umrah dan haji.

Katanya, sebagai tanda sokongan, Andalusia memajak 80 penerbangan MAS atas dasar kepercayaan kepada pentadbiran mereka yang memberi keprihatinan terhadap perkhidmatan ditawarkan.

Bagi Pengarah Urusan Fadlim Travel and Tours, Abdul Halim Salleh, pihaknya turut menyambut baik usaha dilakukan Malaysia Airlines dan perkembangan positif itu mampu melonjakkan perkhidmatan lebih baik buat pelanggan.

“Kita tengok usaha ini dapat memberikan pendahan baik buat jemaah. Daripada segi kekangan, buat masa ini semuanya lancar.

“Di pihak Fadlim Travel and Tours, setiap bulan kita mempunyai empat atau lima penerbangan. Setakat ini, kita membawa 5,000 jemaah setahun dan akan cuba meningkatkan ‘volume’ pada 2019 memandangkan mempunyai cawangan, di seluruh negara,” katanya.