Categories
AGENDA SUKANKINI

Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari lahir pemain kualiti, jadi rebutan pasukan Liga Super

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Pemain yang dilahirkan oleh Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) terus mendapat kepercayaan pasukan Liga Super apabila kesemua 44 pelatih bagi sesi 2021 akademi itu berjaya mendapat tempat dalam lima pasukan liga berkenaan, sejak awal tahun ini.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam hantaran melalui Facebook rasminya hari ini memaklumkan daripada keseluruhan pelatih generasi ketiga AMD itu, 20 pemain telah memulakan latihan bersama Selangor FC.

Sementara bakinya sedang menjalani latihan bersama Sri Pahang FC (10), Johor Darul Ta’zim (enam), Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC dengan masing-masing empat pemain.

“Pihak AMD dan NFDP sangat berbangga dengan setiap pencapaian yang ditunjukkan dan akan sentiasa memantau perkembangan setiap peserta AMD bagi memastikan mereka terus bersaing dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa.

“Semoga kesemua graduan (pelatih) AMD akan terus berjaya dan diberikan peluang yang seluasnya bagi membantu menaikkan nama negara dalam arena bola sepak,” kata NFDP dalam hantaran itu.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus membukitkan produk AMD di bawah NFDP masih memberi impak yang besar dan sering mendapat perhatian pasukan gergasi bola sepak negara.

Setakat Januari 2022, keseluruhan pelatih AMD adalah seramai 118 orang merangkumi 34 pemain dari generasi pertama, 40 pemain generasi kedua dan 44 pemain generasi ketiga.

— BERNAMA

 

 

Categories
SUKANKINI

Akademi Merah Kuning sedia kongsi pengalaman bantu AMD

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kepincangan yang berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang sebagai perkara menyedihkan memandangkan ia menelan belanja besar hampir RM85 juta.

Katanya, kelemahan yang berlaku perlu dibaiki segera bagi mengembalikan peluang mencungkil bakat berpotensi untuk arena sukan bola sepak negara.

Beliau berkata, pengurusan AMD boleh menjadikan Akademi Merah Kuning yang dimiliki Selangor sebagai contoh memandangkan mereka kini mempunyai hampir 900 pelajar.

“Satu perkara yang sangat menyedihkan apabila kita sudah berbelanja lebih RM80 juta untuk pembangunan bola sepak.

“Kita ada Akademi Merah Kuning yang tidak sebesar atau semewah AMD tapi saya kira kelengkapan dan padang latihan kita berada dalam keadaan baik.

“Kita mempunyai hampir 900 pelajar dan ada beberapa pasukan elit yang sudah dibentuk,” katanya yang ditemui ketika meninjau proses pemilihan KEADILAN, di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan lawatan ke AMD dan melahirkan kekecewaann apabila institusi itu dilihat gagal menepati tujuan pembinaannya sebagai pusat latihan dalam melahirkan bakal pelapis Mokhtar Dahari, di negara ini.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat akademi itu selepas mendapat maklum balas pada sesi dialog bersama beberapa peminat bola sepak tanah air, di Kuala Lumpur yang memintanya membuat audit berkenaan peruntukan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Syed Saddiq berkata, faktor ketirisan juga dikesan berlaku di akademi berkenaan menyebabkan misi melahirkan pelapis negara gagal mencapai sasaran.